in

Fenomena Animasi CERITA-CERITA DIDI & FRIENDS Sempena Cuti Sekolah

Fenomena animasi Didi & Friends yang tercetus sejak tahun 2014 akan diperhebatkan lagi dengan kemunculan ‘Cerita-cerita Didi & Friends’ bersempena dengan musim cuti sekolah yang akan datang ini. Jika sebelum ini Didi dan rakan-rakan menghiburkan peminat mereka dengan animasi siri lagu kanak-kanak, kali ini menerusi ‘Cerita-cerita Didi & Friends’, mereka mengajak penonton belajar sambil berhibur dalam format penceritaan pula.

Dari kiri- Janice Lim, Hairul Faizal (Penerbit Digital Durian),  Sinan Ismail (Pengarah Digital Durian), Putri Yasmin Megat (Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-kanak Astro) dan Kabir Ariff

JOM BELAJAR DAN BERHIBUR DENGAN ‘CERITA-CERITA DIDI & FRIENDS’

‘Cerita-cerita Didi & Friends’ ini merupakan hasil kerjasama Astro dan Digital Durian Animation Studio Sdn. Bhd. (Digital Durian) yang bakal menemui peminat menerusi platform Astro First (saluran 480) mulai 16 Mac 2017.

Para pelanggan Astro First boleh menonton 20 episod penuh karya animasi terbaharu yang menampilkan karakter popular Didi, Nana, Jojo, Pak Atan, Bingo dan Tatak dengan langganan serendah RM15.90 (termasuk GST) pada bila-bila masa selama lima hari berturut-turut.

Untuk melebarkan lagi jangkauan Didi & Friends kepada peminatnya, kolaborasi strategik turut dijalinkan bersama TGV Cinemas bagi memberi peluang untuk mereka yang ingin merasai pengalaman berbeza menonton siri Didi & Friends di skrin wayang yang lebih besar. Justeru itu, sebanyak 12 episod ‘Tayangan Istimewa Cerita-cerita Didi & Friends’ akan ditayangkan di 13 pawagam TGV Cinemas terpilih di seluruh negara.

Bakal ditayangkan di saluran Astro First dan 13 pawagam TGV di seluruh negara

Sharmin Parameswaran, Penolong Kanan Naib Presiden, Saluran Astro First & Astro Best berkata, “Kehadiran kali pertama Didi & Friends di Astro First menerusi pelancaran 20 buah lagu baharu edisi karaoke pada Mei tahun lepas mendapat sambutan yang sangat hebat daripada penonton. Oleh itu, kami amat berbesar hati kerana sekali lagi berpeluang membawakan siri nurseri paling popular di Malaysia ini ke kaca televisyen penonton.

Kelainan yang ditampilkan ‘Cerita-cerita Didi & Friends’ daripada karya-karya terdahulu dengan menggabungkan elemen nyanyian dan lakonan merupakan percubaan berani dan ia adalah sesuatu yang baru buat penonton animasi ini. Justeru itu, ‘Cerita-cerita Didi & Friends’ adalah sebuah karya animasi yang mesti ditonton oleh setiap peminat Didi & Friends. Ia turut menyelitkan pelbagai kisah-kisah teladan yang boleh dimanfaatkan oleh adik-adik di luar sana khususnya”.

Kejayaan yang diraih oleh Didi & Friends sejak dari hari pertama ia diperkenalkan adalah cukup membanggakan sekali. Ia berjaya mengungguli carta Video Paling Popular di YouTube Malaysia 2016 menerusi klip video lagu ‘Rama-Rama’ dengan lebih 11 juta tontonan dan merupakan satu-satunya video dalam senarai 10 terbaik yang berkonsepkan ‘edutainment’ buat kanak-kanak. Selain itu, November tahun lalu juga menyaksikan animasi Didi & Friends meraih anugerah ‘Best of Media & Entertainment Technology’ di Malam Anugerah PIKOM ICT 2016.

Berdurasi selama 7 minit bagi setiap episod, ‘Cerita-cerita Didi & Friends’ memperlihatkan tambahan cerita pendek dalam setiap video lagu-lagu Didi & Friends yang popular. Setiap episod dimulakan dengan lagu selama 2 minit dan diikuti dengan cerita selama 5 minit. Setiap cerita pendek mengangkat nilai-nilai murni yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi mesej positif yang cuba disampaikan melalui lagu tersebut.

Antara tajuk cerita pendek yang terdapat dalam siri ‘Cerita-cerita Didi & Friends’ adalah ‘Mon Ke Sekolah’, ‘Jom Kitar Semula’, ‘Pulau Hokey Pokey’, ‘Jom ke Dunia Teko’, ‘Lembu Pak Atan’ dan banyak lagi.

Sinan Ismail, Pengasas Digital Durian pula berkata, “Penerbitan ‘Cerita-cerita Didi & Friends’ adalah untuk peminat-peminat Didi & Friends. Ramai ibu bapa yang meminta kami memanjangkan kandungan dan menjadikan Didi & Friends dalam format cerita.

Alhamdulillah, bermula 16 Mac ini, peminat-peminat dapat menonton apa yang mereka minta.

Kami sangat teruja kerana buat pertama kalinya, Didi & Friends boleh ditonton di skrin wayang. Kami berharap pengalaman membawa anak-anak ke panggung wayang menjadi satu pengalaman keluarga yang indah dan sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Mungkin ada ibu bapa yang akan turut menyanyi dan menari bersama anak-anak di panggung wayang atau di rumah sambil menonton ‘Cerita-cerita Didi & Friends’.

Sinan turut menambah, “Sejak mula ditayangkan melalui platform YouTube pada tahun 2014, Didi & Friends telah melalui beberapa fasa penambahbaikan terutama daripada segi kualiti dan pengisian kandungan. Untuk memastikan kandungan yang disampaikan bermanfaat untuk kanak-kanak pra-sekolah, kami mendapatkan khidmat Dr. Mariani dan Dr. Nazri, pakar pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Malaya sebagai perunding pendidikan.

Sempena cuti persekolahan, selain daripada tayangan ‘Cerita-cerita Didi &Friends’ di TGV Cinemas dan Astro First, terdapat juga Mini Karnival Didi & Friends yang akan berlangsung mulai 21 hingga 26 Mac 2017 bertempat di IOI City Mall. Terdapat pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung yang hadir dan barangan cenderahati Didi & Friends akan turut dijual.

Peminat setia animasi ini juga boleh mendapatkan barangan cenderahati dari Didi & Friends seperti bantal, botol air, set alat tulis dan pelbagai lagi boleh didapati di kedai konsep Didi & Friends yang pertama dibuka di pusat membeli belah Metrojaya The Curve, Mutiara Damansara.

Sebagai alternatif, ia juga boleh didapatkan di hampir 200 pasaraya dan pusat membeli belah di seluruh Malaysia seperti Giant, Tesco, Aeon, Parkson, Sogo, Toyworld, Hamley’s, Toys’R Us serta menerusi laman sesawang 3ciety, Lazada, Gem5 & iSooka.
Bukan itu sahaja, peminat juga boleh memuat turun aplikasi Didi & Friends Playtown di Android Play Store dan IOS App Store.

TAYANGAN ISTIMEWA ‘CERITA-CERITA DIDI & FRIENDS’ DI TGV CINEMAS

INFORMASI TAYANGAN PAWAGAM

Genre : Edutainment
Episod : 12 episod
Durasi keseluruhan : 74 minit
Tarikh tayangan : Bermula 16 Mac 2017
Lokasi TGV Cinemas : TGV AU2 Setiawangsa, TGV KLCC, TGV Sunway Pyramid, TGV Seremban 2, TGV Bukit Tinggi, TGV 1st Avenue, TGV Kinta City, TGV Tebrau City, TGV Mesra Mall, TGV Vivacity, TGV D’Pulze, TGV 1 Utama, TGV Bukit Mertajam

HARGA TIKET

Dewasa : RM14
Kanak-kanak : RM9
(3 tahun ke atas)
*percuma bagi kanak-kanak di bawah usia 3 tahun

Pakej istimewa : RM20 untuk tiket seorang dewasa beserta sekotak popcorn edisi
khas Didi & Friends

MENGENAI TAYANGAN

Sempena cuti sekolah yang bakal tiba, 13 buah TGV Cinemas di seluruh negara akan menayangkan 12 episod ‘Cerita-cerita Didi & Friends’. Bagi memberi pengalaman tontonan menyeronokkan buat penonton, dewan tayangan di beberapa cawangan TGV Cinemas terpilih akan dihiasi dengan dekorasi bertemakan animasi Didi & Friends.

Selain itu, bersesuaian dengan peminat siri animasi ini yang rata-rata terdiri daripada golongan kanak-kanak, semua dewan tayangan menggunakan pencahayaan yang lebih terang daripada kebiasaan. Menarik lagi, jika bertuah, penonton berpeluang beramah mesra bersama maskot Didi yang akan membuat kemunculan mengejut semasa tayangan pada masa-masa tertentu. Penonton juga boleh membawa pulang cenderahati Didi & Friends yang boleh didapati di TGV AU2 Setiawangsa, TGV 1 Utama, TGV Sunway Pyramid dan TGV KLCC.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apa Yang Korang Perlu Tahu Tentang Peruntukan Bagasi Kabin Airasia

Call Me Honey Again, I Dare You