in , ,

Ceria Popstar Musim Ke-5 Kembali Dengan Pengisian Hiburan & Komedi Terhebat

Musim Kelima Menjanjikan Pelbagai Kelainan Dengan Suntikan Elemen Kolaborasi Mega Bersama Program-Program Terbaik Terbitan Astro!

Saluran No. 1 Kanak-Kanak di Malaysia, Astro Ceria kembali menghiasi minggu anda dengan membawakan program televisyen realiti bakat nyanyian kegemaran ramai, ‘Ceria Popstar’padasetiap hari Rabu mulai 9 Jun ini, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ceria (611) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. Menariknya lagi, konsert pembuka tirai pada 9 Jun ini juga akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Prima (105). 

Pertama kali dilancarkan pada tahun 2013, program yang bakal bersiaran di musim kelima ini kekal menjadi platform utama pilihan bakat-bakat cilik tanah air untuk mempersembahkan kehebatan nyanyian masing-masing seterusnya membantu menggapai cita-cita mereka untuk menjadi sebahagian dari pelapis industri seni di masa akan datang. 

Seramai 10 orang peserta bakal beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing seterusnya merebut gelaran terulung, ‘Juara Ceria Popstar 2021’ dan membawa pulang hadiah kemenangan berbentuk wang tunai!

Juara musim ini akan membawa pulang wang tunai sejumlah RM20 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat pula masing-masing akan memenangi RM15 ribuRM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Ceria Popstar Musim Ke-5

Terdahulu, Astro Ceria menerima lebih dari seribu penyertaan dari pelbagai lapisan latar belakang bakat-bakat cilik berusia di antara 7 hingga 17 tahun yang dihantar secara atas talian dari 23 Mac hingga 3 April dengan menggunakan tanda pagar rasmi #CeriaPopstar2021.

Sesi uji bakat tertutup kemudiannya telah diadakan selama dua hari, 10 dan 11 April di sebuah hotel di ibu negara. 

Tambah menarik, ‘Ceria Popstar’ musim ini tampil lebih hebat dan unik apabila menyuntik elemen kolaborasi mega dengan program-program terhebat terbitan Astro seperti ‘Maharaja Lawak Mega’ dan ‘Gegar Vaganza’.

Menggabungkan genre komedi yang sarat dengan gelak tawa, program ini menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih segar dan kompak serta diyakini mampu menawan hati penonton yang sentiasa menginginkan pembaharuan dalam sajian kandungan yang ditawarkan. 

Dihoskan oleh penyampai radio ERA, stesen nombor satu negara, Danial Zaini bersama penyanyi, pelakon dan pengacara serba boleh, Shiha Zikir, ‘Ceria Popstar’ turut membariskan nama-nama hebat sebagai tonggak utama di sebalik produksi besarnya.

Buat julung kalinya, pengacara, pelakon dan pengarah versatil, Nabil Ahmad tidak lagi mengacarakan program ini, malahan kini beliau berada di posisi Juri Tetap bersama Dato’ AC Mizal, Elly Mazlein dan Ernie Zakri. 

Tugasan Guru Vokal pula dipertanggungjawabkan kepada penyanyi dan ‘award-winning’komposer, Hael Husaini dan Juara Gegar Vaganza (GV) musim kelima, Noryn Aziz. Sentuhan GV terus diperlihatkan lagi dalam ‘Ceria Popstar’ apabila dua juara (musim kedua dan musim keenam), Siti Nordiana dan Naqiu diberi kepercayaan untuk bertindak sebagai ‘Inspirer’ atau idola inspirasi kepada bakat-bakat yang terpilih.

Dalam pada itu, penyanyi, MimiFly pula ditugaskan sebagai Guru Koreografer untuk membantu dari aspek gerak tari peserta. 

Sebelum itu, di sesi uji bakat tertutup yang diadakan, pelakon dan pelawak popular yang turut merupakan pemain utama pentas ‘Maharaja Lawak Mega’, Sharif ZERO terlibat sebagai Juri Utama dan beliau telah ditemani penyanyi dan Naib Juara GV5, Dia Fadila.

Bersama mereka menjurikan sesi tersebut adalah Siti Nordiana dan juga MimiFly. Episod istimewa ‘Uji Bakat Popstar’ telah disiarkan secara eksklusif di Astro Ceria pada Rabu, 26 Mei dan 2 Jun, jam 9.00 malam. 

 “Sebagai peneraju utama kandungan hiburan kanak-kanak di Malaysia, Astro Ceria sentiasa berusaha untuk menyajikan kandungan terbaik bagi sajian seisi keluarga. Salah satu misi utama kami adalah untuk mencungkil bakat-bakat baharu bagi mewarnai dunia si cilik seterusnya menggilap bakat mereka ini untuk menjadi salah seorang pemain utama industri di masa akan datang.  Di penganjuran ‘Ceria Popstar’ musim kali ini, kami mencari yang terunggul di kalangan terbaik, justeru format kali ini tampil sedikit berbeza dari musim-musim sebelumnya kerana kami menerapkan banyak elemen baru yang lebih segar dan memiliki faktor komersial tambahan bagi menambat hati penonton, bukan sahaja di kalangan kanak-kanak malahan mereka di peringkat umur dewasa juga.  

Dalam pada negara kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Astro sebagai salah satu sektor perkhidmatan penting negara atau ‘essential’ perlu terus berusaha menyajikan program-program terbaik untuk pelanggan kami di luar sana. Kami perlu peka dengan saranan pihak Kerajaan yang menyeru agar kita terus berada di rumah demi mengekang seterusnya memutuskan rantaian COVID-19 yang dilihat semakin membimbangkan saban hari. Justeru, sajian kandungan yang ditawarkan kepada penonton perlu lebih segar, penuh variasi dan kreatif serta menarik bagi membantu menghiburkan hati semua yang menontonnya. Kami juga turut teruja apabila program ‘Ceria Popstar’ musim ini diraikan dengan kehadiran tenaga pengajar yang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing. 

Selain dari itu, kami juga yakin, keputusan produksi untuk menyuntik elemen komedi juga wajar dipuji kerana kami lihat, aspek gelak tawa dalam sesebuah program memainkan peranan penting dalam memenangi hati penonton terutamanya di kala dunia sedang mengharungi fasa pandemik ini. Mudah-mudahan, dengan adanya ‘Ceria Popstar’, ia sedikit sebanyak mampu mengukir senyuman di kalangan penonton dan mengurangkan sedikit keresahan yang ada pada diri masing-masing.” 

Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong

Senarai Peserta

Ceria Popstar Musim Ke-5
Ceria Popstar Musim Ke-5
Ceria Popstar Musim Ke-5
Ceria Popstar Musim Ke-5
Ceria Popstar Musim Ke-5
Ceria Popstar Musim Ke-5
Ceria Popstar Musim Ke-5
Ceria Popstar Musim Ke-5
Ceria Popstar Musim Ke-5

Konsert Mingguan ‘Ceria Popstar’ akan berlangsung selama lapan (8) minggu, mulai 9 Jun ini. Berdurasi selama satu (1) jam untuk setiap episod, keempat-empat Juri Tetap, Nabil Ahmad, Dato’ AC Mizal, Elly Mazlein dan Ernie Zakri bersama seorang Juri Jemputan akan mengadili setiap persembahan peserta. Namun begitu, untuk Konsert Akhir kelak, format penjurian akan dibahagikan kepada dua, yang mana nasib para peserta akan diadili berdasarkan pemarkahan oleh barisan juri dan undian peminat secara atas talian di www.astroceria.com.my/CeriaPopstar2021. Laman sesawang rasmi ‘Ceria Popstar’ akan menemui peminat pada akhir Jun ini dan anda boleh membuat undian untuk Konsert Akhir bermula dari 21 hingga 28 Julai 2021. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

JOOX Malaysia Berkolaborasi Bersama Naim Daniel Lancar Lagu Remix BELIEVERS Alan Walker

Siti Nordiana Terkenang Kisah Silam, Akui Single DERITA ITU Menguji Emosi