Borneo Fashion Week (BFW) 2025 kembali dengan lebih besar, lebih berani dan lebih segar! Tahun ini, acara fesyen yang menjadi kebanggaan Malaysia akan berlangsung pada 10 hingga 11 Oktober di Pavilion Damansara Heights, lokasi baharu yang menjanjikan suasana penuh glamor dengan sentuhan moden. Acara ini bukan sekadar peragaan fesyen, tetapi sebuah perayaan budaya, kreativiti dan inovasi yang menghimpunkan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa dalam satu pentas.
BFW diasaskan oleh Stephanie Alcantara, figura yang bukan asing dalam dunia kecantikan dan fesyen — pemenang Mrs. Malaysia Classique Globe 23/24, naib juara Miss Malaysia 1990 dan finalis Dewi Remaja 1989. Beliau menekankan bahawa inspirasi di sebalik BFW adalah keinginan untuk memperjuangkan budaya masyarakat pribumisambil mengangkat kedudukan Asia dalam dunia haute couture global.
“Borneo Fashion Week bukan sekadar fesyen, ia tentang identiti, kebanggaan dan keberadaan,” ujar Stephanie dengan penuh semangat.
Tema “Fashion With Purpose” Menyatukan Kelestarian, Warisan Dan Kreativiti Kontemporari
Edisi kali ini tampil dengan tema “Fashion With Purpose”, sebuah konsep yang merangkumkan bukan sahaja keindahan rekaan tetapi juga tanggungjawab terhadap kelestarian alam dan pemeliharaan budaya. Pereka diwajibkan menghasilkan sekurang-kurangnya satu rekaan berkonsepkan lestari, bagi memastikan dunia fesyen tidak ketinggalan dalam kesedaran terhadap isu alam sekitar.
Menurut Stephanie, “Matlamat utama kami adalah untuk menjadikan Borneo Fashion Week bukan sekadar pentas peragaan. Ia merupakan sebuah platform penceritaan, memupuk kelestarian dan mengangkat warisan budaya.”
Beliau turut menambah, “Kami mahu memperjuangkan pereka dari Borneo dan Malaysia sambil menghubungkan mereka dengan pemain industri, media dan juga audiens antarabangsa.”
Fesyen Sebagai Medium Memelihara Budaya Dan Mengangkat Ekonomi Kreatif
Konsep “Fashion With Purpose” bukan sekadar slogan. Ia adalah manifestasi bagaimana fesyen mampu menjadi medium untuk melindungi warisan, memperkasa komuniti serta merangsang ekonomi kreatif. Dari tekstil tradisional Borneo hingga ke rekaan moden yang relevan di pentas antarabangsa, setiap koleksi yang dipersembahkan membawa mesej bahawa identiti tempatan boleh berdiri sama tinggi dengan standard global.
Stephanie menekankan, “‘Fashion With Purpose’ mencerminkan akar Borneo dan aspirasinya. Ia tentang bagaimana fesyen boleh memacu kelestarian sambil meraikan identiti dan kreativiti.”
Kerjasama Antarabangsa, Rangkaian Global Dan Sokongan Media
Salah satu kekuatan utama BFW 2025 adalah jaringan antarabangsa yang semakin kukuh. Acara ini bekerjasama dengan media global, pempengaruh fesyen antarabangsa serta jenama besar luar negara. Ini membuka peluang luas buat pereka muda tempatan untuk membina nama di pentas dunia.
Stephanie mendedahkan, “Kami kini dalam proses perbincangan dengan beberapa pereka fesyen dan jenama antarabangsa untuk menjadi sebahagian dari BFW 2025. Kolaborasi ini bukan sahaja meningkatkan prestij acara, malah memberi peluang kepada pereka tempatan untuk berhubung secara langsung dengan komuniti fesyen global.”
BFW juga memastikan pereka baharu diberikan pentas besar, liputan media yang setara dan peluang untuk memperluaskan rangkaian mereka, supaya suara kreatif baharu mendapat ruang sama rata dengan nama besar industri.
Menyulam Kelestarian Dalam Setiap Koleksi Dan Menjaga Warisan Budaya
BFW 2025 memberi penekanan tinggi terhadap kelestarian. Dari pemilihan material mesra alam hingga ke proses penghasilan yang eco-conscious, semuanya dirancang untuk mencipta impak positif. Pada masa sama, warisan budaya Borneo tetap diraikan dengan menampilkan motif tradisional, hasil seni pertukangan tangan dan tekstil unik dalam sentuhan moden.
Stephanie menegaskan, “Kelestarian bukan sekadar tema, ia disulam dalam keseluruhan acara — dari syarat pereka, pemilihan bahan, hinggalah ke produksi. Dalam masa yang sama, identiti budaya Borneo tetap menjadi nadi, memberi tradisi wajah baharu yang segar dan kontemporari.”
Acara ini turut disokong oleh rakan strategik seperti Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques dan Pavilion Damansara Heights, menjadikan BFW sebuah festival gaya hidup menyeluruh yang menggabungkan fesyen, inovasi, wellness dan budaya.
Senarai Pereka: Dari Malaysia Ke Vietnam, Singapura Dan Brunei
Tahun ini, senarai pereka yang menyertai BFW 2025 membuktikan keunikannya. Dari Malaysia, nama-nama besar dan baharu bergabung termasuk Angelique, Aldrin, Clarissima, Calvin Tho, December Teo, GC Jade, Inayad, Ocely, Saerah, Barzwang, Jayk, Wan Bynun, Even Ong, Penan Bag, Maswira Majid, Nasha Prive, dan Yacutha.
Selain itu, pereka dari Vietnam (Bianca, Gracie), Singapura (Hayden Ng, Indra Mubarak) dan Brunei (Bilang) turut menyertai, sekaligus membuktikan bahawa BFW adalah platform fesyen serantau dengan aura global.
Visi Jangka Panjang: Borneo Fashion Week Sebagai Hab Fesyen Asia
Stephanie turut menzahirkan visi jangka panjangnya untuk menjadikan BFW sebagai hab fesyen utama Asia.
“Visi saya adalah agar BFW diiktiraf secara global sebagai hub yang menyatukan budaya, kelestarian dan inovasi. Dengan kempen ‘Visit Malaysia 2026’, kami berharap BFW disenaraikan dalam kalendar tahunan MOTAC.”
Beliau menambah, “Dalam jangka masa panjang, saya mahu platform ini terus memupuk bakat tempatan, membuka jalan kerjasama global serta mencipta peluang ekonomi sebenar buat pereka dan pengkarya di seluruh Malaysia dan juga Borneo.”
Apa Kata Budiey?
BFW 2025 jelas bukan sekadar acara fesyen biasa. Ia adalah platform transformasi yang menyatukan budaya, inovasi, dan kelestarian dalam satu pentas gemilang. Apa yang Budiey nampak, inilah peluang besar untuk pereka Malaysia dan Borneo keluar dari zon selesa, berfikir lebih global tetapi tetap berpijak pada akar budaya.
Budiey rasa, langkah Stephanie membawa BFW ke Pavilion Damansara Heights sangat tepat — lokasi ini bukan sahaja premium, malah menempatkan acara ke dalam radar antarabangsa. Dengan gabungan warisan budaya yang megahdan rekaan moden yang progresif, BFW berpotensi untuk menjadi acara fesyen ikonik Asia dalam beberapa tahun akan datang.
Jadi, kalau anda peminat fesyen, inilah masanya untuk melihat sendiri bagaimana Borneo melangkah ke pentas global dengan penuh gaya dan makna.