in ,

Berlatih Di Melaka Menang Di Jepun, Hidilyn Diaz Sumbang Emas Pertama Buat Filipina

Hidily Diaz, nama yang kini sudah tercatat dalam sejarah baharu sukan Olimpik apabila berjaya merangkul emas pertama untuk negaranya Filipina melalui acara angkat berat wanita kategori 55kg.

Kemenangan ini lebih manis apabila dia memandang ke belakang dan melihat liku-liku yang perlu dihadapinya sebelum berangkat ke Tokyo, Jepun untuk mencabar nama-nama besar dalam sukan angkat berat.

Tahun lalu, sewaktu dunia diserang dengan wabak COVID-19. Diaz tersangkut di Malaysia dan terpaksa berlatih secara senyap di dalam satu pangsapuri di ibu kota Kuala Lumpur selepas perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia bagi membendung wabak COVID-19.

Kehadirannya ke Malaysia pada Februari 2020 adalah atas saranan ketua jurulatihnya, Gao Kaiwen bagi menajamkan lagi bakatnya dan memperbaiki diri menjelang sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung pada tahun lalu, tetapi siapa sangka pandemik COVID-19 telah menangguhkan acara besar tersebut.

Hidilyn Diaz

Diaz yang tiada pilihan lain terpaksa akur dan berlatih secara senyap di pangsapuri di Kuala Lumpur setelah gimnasium ditutup dan mereka tidak mempunyai akses kepada peralatan angkat berat dan ketidakpastian sama ada sukan ini akan diadakan atau tidak.

Setelah berbulan-bulan berada di Kuala Lumpur, pada Oktober tahun lalu, Diaz dan pasukannya berpindah ke kawasan perkampungan di Jasin, Melaka. Dia ditawarkan untuk tinggal dan berlatih di rumah salah seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia.  Tempat latihannya dipenuhi dengan pokok pisang dan rambutan serta terletak di belakang rumah membuatkan harapan untuk memenangi emas sedikit kabur.

Namun itu bukanlah alasan untuk dia patah semangat. Dia yang berumur 30 tahun tidak mahu situasi pandemik dan keadaan gimnasium yang tidak lengkap menjadi halangan baginya untuk memenangi emas pertama buat Filipina.

Kesan kepada masalah itu dapat dilihat apabila Diaz hanya mampu memperoleh tempat keempat di Kejohanan Asia di Tashkent pada April tahun ini. Pertandingan pertamanya selepas tersekat lama di Kuala Lumpur.

Setelah kembali, dia dikuarantin 10 hari. Enam hari dikurung di bilik hotel, manakala empat hari terakhir di rumah. Dia memanfaatkan masa yang ada dengan menggunakan basikal senaman, dumbbell dan gelang getah untuk mengekalkan kecergasan dan kekuatannya.

Dia kemudiannya meneruskan latihan seperti biasa. Cuaca panas terik dengan gimnasium yang terbuka berbanding tempat latihan di gimnasium yang ada penghawa dingin tidak menjadi alasan untuk dia bermalas-malasan. Dia juga turut disertai oleh anak-anak tempatan yang turut bersenam bersamanya, mereka kadang-kadang bergurau senda minta diajari oleh Diaz.

“Sudah tentu tekanan sangat tinggi… semua orang mengharapkan saya memenangi pingat emas di Tokyo. Saya terima keadaan ini. Saya hanya memberitahu diri saya untuk fokus pada teknik, fokus pada kerja yang akan datang. Saya tidak mahu berjanji untuk menang emas, saya hanya mahu melakukannya,” kata Diaz ketika ditemubual oleh pemberita pada Mei lalu.

Setelah berbulan-bulan menghadapi nasib yang tidak pasti, akhirnya kerja keras Diaz berbayar. Dia akhirnya menyumbang emas pertama dalam sejarah negaranya dalam sukan angkat berat dan lagu kebangsaan Filipina, Lupang Hinirang  berkumandang buat pertama kali di bumi Tokyo.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aznil Nawawi | 23

Aznil Hj Nawawi Terasa Hati Dengan Surat ‘Ugutan’ LHDN, Ini Sebabnya

Ahmad Fedtri Yahya | 24

Abang Ahmad Fedtri Yahya Meninggal Dunia Akibat Dijangkiti COVID-19