Dunia media sosial Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kisah sensasi membabitkan pempengaruh terkenal, Siti Jamumall, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26 tahun, apabila beliau mengumumkan penceraian dengan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22 tahun, atau lebih dikenali sebagai Aiman Tak Kesah. Berita tersebut menjadi bualan hangat netizen yang rata-ratanya tidak menyangka pasangan ini akan berpisah, lebih-lebih lagi Siti sedang hamil lima bulan.
Namun, drama rumah tangga pasangan ini tidak berhenti di situ. Tidak sampai sehari selepas lafaz cerai dilafazkan, mereka mengambil keputusan untuk rujuk semula dalam tempoh 24 jam sahaja. Pasangan ini telah mengesahkan lafaz cerai dan rujuk tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu.
Menurut Siti, keputusan untuk berpisah pada awalnya disebabkan oleh tekanan emosi yang dialami ketika ini. “Selepas lafaz cerai berlaku, kami sudah rujuk semula. Disebabkan saya kini hamil lima bulan, mungkin juga emosi terbawa-bawa sehingga berlakunya perceraian itu,” jelas Siti secara jujur.
Tambah beliau lagi, situasi ini dilihatnya sebagai satu ujian dalam perkahwinannya dengan Aiman.
“Saya anggap ini adalah ujian perkahwinan dengan suami. Saya minta maaf dan akui silap saya pada suami. Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi dan berdoa semoga jodoh kami berkekalan hingga ke akhir hayat,”
– Siti Jamumall
Dalam pada itu, Siti turut meluahkan harapan agar insiden ini dapat menjadi satu ruang refleksi diri dan proses pembelajaran untuk lebih mengenali pasangan masing-masing. “Mungkin apa yang berlaku ini juga sebagai satu cara agar kami refleksi diri dan proses lebih mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Siti juga menegaskan supaya orang ramai menghentikan spekulasi yang tidak berasas mengenai hubungan rumah tangganya. “Terlalu ramai yang bertanya dan komen. Jadi, dengan kenyataan ini saya berharap segalanya sudah jelas serta tidak wujud sebarang spekulasi. Saya dan suami cuba belajar daripada kesilapan dan lakukan sehabis baik selepas ini. Apa yang sudah terjadi, biarlah berlalu. Kami mahu buka buku baru. Saya reda,” tambah Siti dengan tenang.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga di Satun, Thailand pada 1 Jun tahun lalu. Sebelum ini, Siti pernah melalui perkahwinan yang bertahan selama empat tahun sebelum bercerai. Hasil perkahwinan terdahulu, beliau dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 5 tahun dan Putra Aiman Zafran, 3 tahun.
Tonton Video di TikTok: https://vt.tiktok.com/ZShA6MM1k/
Apa Kata Budiey?
Perkahwinan adalah perjalanan yang penuh cabaran, tidak kira siapa pun kita. Budiey melihat tindakan Siti Jamumall untuk berkongsi secara terbuka sebagai langkah bijak supaya masyarakat tidak terus berspekulasi liar. Moga pasangan ini lebih matang dan kuat menghadapi cabaran pada masa depan. Kepada netizen pula, marilah kita ambil pengajaran bahawa setiap ujian rumah tangga itu lumrah, dan yang penting ialah kesediaan untuk saling memperbaiki diri.