in

Astro Oasis Umum 12 Peserta Pencetus Ummah

Dewasa ini, pelbagai cara kreatif cuba ditonjolkan dalam aktiviti dakwah. Terbaru, Astro Oasis hadir dengan sebuah program berjudul Pencetus Ummah yang akan membawa penonton merasai pengalaman berbeza menonton para peserta yang menggunakan pelbagai cara kreatif dalam menyampaikan dakwah. Saksikan titik permulaan kreativiti berdakwah dalam abad ini bermula Khamis, 21 November 2013 di Astro Oasis (Saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (Saluran 135)

Pencetus Ummah merupakan sebuah program realiti Islamik terbaru di Astro Oasis yang membawa penonton membawa para peserta menggunakan pelbagai cara kreatif dalam menyampaikan dakwah. Bertemakan ‘Duniaku Dakwahku’, pelbagai cara kreatif yang tidak disangka ini boleh disimbolkan sebagai ‘Duniaku’ dimana para peserta program berusaha menggunakan pelbagai platfom yang wujud dalam ‘dunia’ ini untuk membawa mesej Islam dalam dakwah kepada manusia secara keseluruhan atau tertentu.

12 Peserta Pencetus Ummah

Tema ‘Duniaku Dakwahku’ Beri Peluang Peserta Serlah Kreativiti Dakwah

Pengurus Saluran Astro Oasis, Encik Namanzee Harris berkata, “Biarpun belum lagi memulakan siaran di televisyen, Pencetus Ummah sudahpun mendapat maklum balas yang amat positif di kalangan masyarakat. Ini dizahirkan dengan sambut an para peserta di kesemua lokasi sesi ujibakat serta kehadiran para penonton sewaktu rakaman program Inspirasi Pencetus Ummah dijalankan. Selain itu, program Detik Pencetus Ummah yang mula disiarkan di Astro Oasis sejak September yang lalu turut mendapat jumlah tontonan yang amat memberangsangkan.

Semua ini seolah-olah memberi tanda positif bahawa program Pencetus Ummah mampu untuk mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Justeru, kami merasakan tanggungjawab yang lebih besar untuk memberikan yang terbaik kepada para penonton terutamanya daripada sudut kandungan dan pengisian program ini. Para peserta Pencetus Ummah ini akan diberi penekanan daripada segi pengucapan awam dan keupayaan menerbitkan karisma dalam penyampaian dakwah menerusi metodologi yang berbeza.“

Seramai 12 orang peserta Pencetus Ummah yang terpilih adalah Attan Thowi Yusof, 31, Kedah; Fakhrul Islam Md Zarin, 24, Melaka; Mohd Fakhrurrazzi Mohd Hanapi, 29, Selangor; Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, 32, Selangor; Mohd Hafidz Mohd Zawawi, 27, Kelantan; Hishammuddin Iberahim, 35, Kedah; Izzat Fathi Hisham, 24, Perak; Shahrul Hamid M.P.H. Seeni Md, 38, Pulau Pinang; Mohd Sufian Mohd Isa, 28, Selangor; Mohd Zainudin Mohamed Zaini, 32, Perak; Salman Maslori, 31, Kuala Lumpur; Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, 20, Kuala Lumpur.

Pada majlis sidang media Pencetus Ummah ini juga, pihak Astro Oasis turut memperkenalkan barisan Murabbi (fasilitator) yang terdiri daripada Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Ustaz Zulkefli Hamat dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Razak dan juga pengacara, Ustaz Dr. Ridhuan Tee Abdullah.

Rangkaian program-program Pencetus Ummah mula bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) melalui Kalam Pencetus Ummah bermula 10 Oktober yang memaparkan episod khas khusus untuk pendakwah dan motivator terkenal di Malaysia iaitu Ustaz Halin Baharim, Ustaz Kazim Elias, Prof. Izzi Hj Ali, Prof. Zaharuddin Abd. Rahman dan Ustazah Siti Nor Bahyah yang bercerita mengenai pengalaman berdakwah dan berceramah serta komen mengenati Program Pencetus Ummah.

Rakaman program Inspirasi Pencetus Ummah pula akan bersiaran pada 7 dan 14 November 2013, pada hari Khamis jam 9.00 malam. Bual Bicara khas ini melibatkan ahli panel terkenal yang juga merupakan pengacara dan tenaga pengajar (Murabbi) kepada peserta Pencetus Ummah diikuti episod khas menceritakan latar belakang 12 orang peserta Pencetus Ummah akan disiarkan dalam Prolog Pencetus Ummah setiap Jumaat hingga Rabu mulai 15 hingga 20 November, pada jam 9.00pm.

Serambi Pencetus Ummah akan bersiaran setiap hari Isnin hingga Rabu pada jam 9.00 malam yang memaparkan aktiviti harian dan mingguan peserta Pencetus Ummah termasuklah persediaan untuk Mimbar Pencetus Ummah, aktiviti luar peserta bersama penaja dan sebagainya.

Program Mimbar Pencetus Ummah yang akan bersiaran pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam bermula 21 November ini merupakan malam persembahan mingguan peserta dengan tajuk yang telah diberikan. Mereka akan menerima kritikan dan komen daripada pihak juri selain selingan persembahan artis. Peserta yang mendapat markah terendah mungkin akan disingkirkan daripada Pencetus Ummah.

Juara Pencetus Ummah bakal memenangi hadiah utama iaitu wang tunai RM50,000 dan sebuah kereta. Naib juara pula akan memenangi wang tunai RM30,000 manakala tempat ketiga dan keempat bakal membawa pulang wang saguhati sebanyak RM10,000 setiap seorang.

Namanzee menambah, “Kami berasa amat terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap program ini. Di kesempatan ini kami ingin mengalu-alukan kehadiran Len Fa Medical Supplies (M) Sdn Bhd mempromosi produk Harwany – Pati Ikan Haruan selaku penaja serta THR Gegar dan Sinar FM selaku radio rasmi. Kami juga berbesar hati kerana kesudian pihak Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS) yang sudi untuk bekerjasama bagi menjayakan program ini. Sesungguhnya, kehadiran penajaan sebegini menunjukkan sokongan berterusan masyarakat terhadap program dakwah seumpama ini.”

Pencetus Ummah turut memperkenalkan pendekatan media baru dengan pelbagai aplikasi menarik untuk mendekati penonton dan peminat secara lebih dekat dengan dakwah yang disampaikan para peserta, dan Murabbi Pencetus Ummah. Terbaru, aplikasi Astro Oasis diperkenalkan di mana para pengguna telefon bimbit boleh mendapatkan info terkini rancangan dan panduan agama serta pembelajaran yang boleh dimuat turun secara percuma bermula 25 November ini untuk pengguna Android dan iOS manakala segmen Tanyalah Pencetus Ummah memberi peluang kepada penonton untuk mengemukakan sebarang kemusykilan untuk dijawab oleh ahli panel dan pendakwah berkaliber menerusi platform digital seperti Facebook bermula 28 November 2013 ini.

Saksikan titik permulaan kreativiti berdakwah dalam abad ini bermula Khamis, 21 November 2013 di Astro Oasis (Saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (Saluran 135).

Para peserta bergambar bersama Pengurus Saluran, para penaja, Murabbi dan Altimet dan Ayie Ilusi yang menyanyikan lagu tema Pencetus Ummah

Dari kiri_ Dr Ridhuan Tee Abdullah (Pengacara) dan para Murabbi - Ustaz Zulkefli Hamat, Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, Ustaz Tarmizi Abdul Razak

Pengacara_ Dr Ridhuan Tee Abdullah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

GALAXY Note 10.1 2014 Edition

eBay.com.my The One-Stop Shop For Holidays