in ,

Astro Hari Sukan Get Fit Sempena Hari Sukan Negara

Lebih 600 staf dan personaliti Astro bersama atlet-atlet kebangsaan menyertai sebuah acara larian hari ini dalam menyatakan sokongan mereka terhadap ‘Hari Sukan Negara’, sebuah inisiatif oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

Bersempena Hari Sukan Negara yang buat julung kalinya diadakan pada 10 Oktober ini, Astro telah menganjurkan ‘Astro Hari Sukan Get Fit’, di mana para peserta perlu menamatkan larian sejauh 3 km dan satu siri cabaran senaman yang berlangsung di Pusat Penyiaran Asia Astro, Bukit Jalil.

Astro Hari Sukan Get Fit Sempena Hari Sukan Negara Photo _Tn81464.Jpg

ASTRO ANJUR ACARA LARIAN BERSAMA ATLET KEBANGSAAN BAGI MENYOKONG HARI SUKAN NEGARA

Mengetuai para peserta adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang turut bersama berlari bersama staf dan personaliti Astro serta atlet ternama tanahair. Antara atlet yang hadir memberikan sokongan adalah dari sukan badminton (Dato’Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann), bola sepak (Hasnizam Uzir dan Asmawi Bakiri), tenpin boling (Shalin Zulkifly), squash (Zulhijjah Azan dan Rachel Arnold), lempar cakera (Mohd Irfan Shamsuddin), renang, (Khoo Cai Lin), karate (Syakilla Salni), hoki (Izad Hakimi) serta ramai lagi.

Personaliti Astro dari program seperti Akademi Fantasia (Firman dan Aman), Astro Star Quest (Uriah See dan Geraldine Gan) dan Astro Vaanavil (Denes Kumar dan Ganteeban), barisan pengulas sukan Astro Arena (Zainal Abidin Rawop, Hafizal Hamad dan Sharon Wee), penyampai-penyampai Astro Radio (Ean dari hitz fm, Ray dari ERA fm, Wang Chun Ping dari MELODY FM dan Ram dari THR Raaga) dan beberapa lagi selebriti turut bersama-sama memeriahkan acara ini dan menyatakan sokongan padu mereka terhadap ‘Hari Sukan Negara’.

Khairy Jamaluddin berkata, “Saya berasa teruja melihat semangat yang ditunjukkan Warga Astro dan atlet-atlet tanahair kita dalam menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan. Kementerian Belia dan Sukan percaya bahawa stesen penyiar seperti Astro dan semangat membara atlet kebangsaan Malaysia mampu mendorong jutaan rakyat Malaysia menyertai lebih 10,000 aktiviti yang akan berlangsung pada Hari Sukan Negara 10 Oktober ini.”

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Kay berkata, “ Astro gembira dapat memainkan peranan dalam menjayakan ‘Hari Sukan Negara’. Astro akan membantu meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang kehidupan yang sihat dan membudayakan sukan menerusi platform TV, Radio dan Digital kami. Kami akan terus komited untuk berkerjasama dengan kementerian dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan dalam meningkatkan mutu sukan tanahair.”

Untuk maklumat lanjut berkaitan ‘Hari Sukan Negara’, layari laman sesawang https://harisukannegara.my.

Astro Hari Sukan Get Fit Sempena Hari Sukan Negara Photo _Tn81262.Jpg

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dunlopillo Menginovasi Standard Baru Kemewahan

Apa Yang Menarik Dalam Drama Bersiri KELUARGA PONTIMAU?