in ,

Aruma Lancar Single Pertama Berjudul Muak, Penat Dengan Janji Palsu? 

Penyanyi muda bernama Aruma tampil dengan single pertama berjudul “Muak”.

Selaku label muzik prominen Indonesia, Sony Music Entertainment terus mekar dalam melahirkan bakat-bakat di persada muzik seiring zaman. Kali ini, penyanyi muda bernama Aruma tampil dengan single pertama berjudul “Muak”. 

Mendapat sentuhan M. Aditia Sahid dan Okto Sahid selaku komposer, lagu ini menceritakan tentang seseorang yang sudah muak dan kecewa dengan pasangan hidupnya kerana sering menabur janji palsu. 

“Penceritaan lagu ini adalah berdasarkan kisah cinta yang benar-benar terjadi, pada peringkat awal penuh semangat dan kemanisan, tapi lama-kelamaan sudah muak kerana sering diberi janji-janji palsu. Akhirnya, apabila sudah penat, kita akan berkata ‘cukup’ kerana sudah tidak mahu tertipu lagi dengan kata-kata manis,” kata Aruma membuka bicara. 

Untuk taruhan pertamanya ini, Keke Kananta dari Sony Music Indonesia (Bahagian Audio & Rakaman) telah memberikan senarai lagu untuk dipilih mengikut kesesuaian vokalnya. Ternyata pemilik nama lengkap Nidewi Aruman itu memilih lagu “Muak” sebagai batu loncatannya di bawah naungan label ternama berkenaan. 

ARUMA - MUAK - 02 resize

Bukan hanya berperanan sebagai pencipta lagu, M. Aditia Sahid juga menggalas tanggungjawab selaku produser dan terlibat dalam bunyian gitar, piano, string dan perkusi. Untuk proses ‘mixed & mastered’ pula, ia telah dilakukan oleh Ari “Aru” Renaldi. 

“Sebaik sahaja saya mendengar melodi dan lirik lagu ini, saya terus jatuh cinta dengannya. Saya pun membuat keputusan untuk jadikan ia sebagai single pertama. Sebagai seorang pendatang baharu, saya bernasib baik kerana proses rakaman berjalan dengan lancar. 

“Saya juga seronok kerana mendapat bantuan daripada jurulatih vokal Kamga, dia sangat baik dan selalu memberikan nasihat untuk saya memperbaiki diri. Sony Music juga tidak lokek dalam membantu saya, mereka datang memberi sokongan ketika proses rakaman selama enam jam,” tambah Aruma. 

Meskipun menuntut dalam jurusan rekaan produk di Institut Teknologi Bandung (ITB), namun Aruma sebenarnya tidak kekok dengan muzik. Dia telah mengikuti kelas piano dan belajar bermain gitar. Gadis yang dilahirkan pada 3 September 2003 di Bandung itu mula menyukai muzik dan suka bersenandung (humming) sendiri hingga karakter suaranya terbentuk. Selain itu, Aruma juga sering menyanyi pelbagai lagu dan berkongsi di media sosial, dari situlah puncanya dia dihubungi pihak Sony Music Indonesia. 

ARUMA - MUAK - 03 resize

“Ketika itu, Keke Kananta menghubungi saya menerusi Instagram. Dia menawarkan saya untuk menyertai Sony Music dan melancarkan single pertama. Saya sangat terkejut kerana ia merupakan satu peluang yang tak diduga. Kami kemudiannya berjumpa dan berbincang tentang perancangan yang akan dilakukan. 

“Semestinya, saya harus mendapatkan restu daripada ibu bapa memandangkan saya masih belajar di universiti. Saya sangat bersyukur kerana keluarga saya setuju dan memberi sokongan padu untuk berkecimpung dalam industri muzik,” katanya. 

Aruma kini menumpukan perhatian terhadap tiga genre kesukaannya iaitu folk, pop dan jazz. Bagaimanapun, Aruma yang juga seorang model dan memiliki hobi menyanyi, bermain instrumen muzik, serta melukis itu bersedia untuk mencabar diri dalam berekeperimentasi untuk karyanya. 

“Saya sentiasa suka melakukan perkara baru termasuklah muzik. Impian saya semoga suatu hari nanti saya dapat menghasilkan lagu yang mempunyai elemen klasik atau kesan bunyi yang natural. Saya pasti mereka akan memberi sentuhan yang unik terhadap lagu itu,” katanya lagi. 

ARUMA - MUAK - 05 resize

Dengan pelancaran “Muak”, Aruma berharap agar single pertamanya ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pencinta muzik di Indonesia dan Malaysia. 

“Saya harap lagu ini diterima dengan baik dan mesejnya dapat sampai kepada para pendengar. Saya juga mahu lagu ini menjadi sebahagian daripada kehidupan semua orang terutama ketika sedang berada dalam fasa muak atau ‘fed up’. Jika anda sudah penat dengan apa yang dialami, lagu ini hadir untuk menemani dan anda boleh menyanyi bersama ketika mendengarnya,” ujarnya. 

ARUMA - MUAK - 01 RESIZE

Single pertama Aruma, “Muak” kini boleh dinikmati di platform muzik digital. Jangan lepaskan peluang untuk mendegar dan menghayatinya! 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Wanita Dedah Niat Mahu Jadi Isteri Ke-3 Syamsul Yusof 

“Beraninya Awak!, Kifarah itu ada,” – Puteri Sarah Liyana