Bayangkan satu malam di mana kenangan lama bertaut dengan semangat baharu, diiringi irama yang membuai jiwa, dan semua tetamu diajak berdansa tanpa rasa segan. Malam Pesta Ronggeng pada 15 dan 16 Ogos ini bakal menjadi satu acara yang benar-benar membawa kita ‘throwback’ ke zaman kegemilangan muzik klasik, namun tetap segar dan relevan untuk generasi masa kini.
Persembahan Eksklusif Yang Menghimpun Dua Generasi
Acara aneka nostalgia ini diterajui oleh Aruel & The Fasola, yang bukan calang-calang dalam membangkitkan suasana klasik penuh gaya. Sejak 2022, kumpulan ini memang sudah terkenal dalam kalangan ‘underground’ dan ‘private events’, namun inilah kali pertama mereka beraksi di pentas arus perdana dengan skala sebesar ini.
Kata Aruel, “Kami, Aruel & The Fasola, mula aktif membuat persembahan sejak 2022 hanya secara ‘private’ dan ‘underground’. Namun, kini dengan sokongan ramai dan peluang besar ini, kami sangat terharu. Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur atas peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak penganjur serta semua yang terlibat. Pastinya kami ingin memberikan persembahan yang maksimal untuk semua yang bakal hadir. Kami benar-benar teruja dan berterima kasih kepada semua.”
Apa yang menarik, persembahan malam itu akan diiringi oleh 10 pemuzik termasuk penyanyi latar – satu kombinasi yang memang rare untuk pentas hiburan tempatan sekarang. Aruel menambah lagi, “Kami bawakan gubahan muzik dengan gabungan elemen klasik dan moden agar lebih segar untuk didengar semua tetamu. Ia bukan sahaja mengekalkan keaslian karya lama tetapi turut memberi sentuhan baharu supaya relevan kepada generasi masa kini.”
Malam Istimewa Bertemakan ‘Buloh Inn’ Dan Nostalgia Era P. Ramlee
Kalau anda pernah dengar suasana eksklusif ‘Buloh Inn’, begitulah vibes yang akan dihidangkan malam itu. Lagu-lagu pilihan bukan calang-calang – semuanya karya era 40-an hingga 60-an, terutama karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma. Nostalgia dijamin, tetapi dengan muzik yang segar dan bernafas baru.
Konsep ‘ronggeng’ juga diberi nafas lebih meluas oleh Aruel & The Fasola. “Dalam sudut kebudayaan, memang wujud istilah ‘tarian ronggeng’. Namun bagi kami, Aruel & The Fasola, ronggeng itu kami gambarkan dengan suasana tari menari yang mana muzik kami mempunyai elemen Malay Jazz dan klasik serta suntikan latin seperti Cha Cha, Rumba, Bossa dan Twist pasti akan menukarkan malam itu menjadi malam tari menari untuk semua yang hadir,” jelas Aruel. Jadi, jangan terkejut kalau malam tu ramai yang bangun dan terus berdansa!
Misi Hidupkan Budaya Tari & Muzik Lama Untuk Generasi Baharu
Bukan sekadar hiburan semata-mata, acara ini punya misi besar untuk memperkenalkan keindahan muzik klasik dan budaya tari menari kepada generasi muda. Penganjur, Datin Riza Che Umar, berkata, “Objektif utama penganjuran acara ini adalah untuk mengembalikan memori indah muzik klasik kepada generasi baharu sambil meraikan peminat muzik lama. Jadi, Malam Pesta Ronggeng ini diadakan untuk mencipta ruang hiburan yang bukan sahaja eksklusif tetapi juga mengekalkan elemen seni budaya tempatan yang semakin dilupakan. Kami ingin semua tetamu merasai keunikan muzik klasik dengan sentuhan moden dalam suasana penuh gaya.”
Tambah Riza lagi, sambutan jualan tiket amat memberangsangkan dan pihak penganjur mensasarkan 50 meja untuk dua malam persembahan. “Alhamdulillah, setakat ini, sambutan jualan tiket amat memberangsangkan dengan sasaran 50 meja untuk dua malam persembahan. Kami optimis untuk melihat kehadiran penuh bagi kedua-dua malam ini.”
Malam Pesta Ronggeng: Eksklusif, Mesra Budaya, Dan Bakal Jadi Acara Berkala
Jangan terkejut kalau selepas malam magis ini, Malam Pesta Ronggeng akan dijadikan acara berkala. Menurut Riza, “Insya-Allah, kami merancang untuk mengadakan acara seperti ini setiap empat bulan sekali supaya hiburan berkonsep klasik terus mendapat tempat di hati penggemar seni tanah air.”
Harga Tiket & Cara Pembelian
Kalau anda nak rasa sendiri kehangatan malam penuh nostalgia ini, tiket telah mula dijual dengan beberapa pakej pilihan:
DIAMOND (VIP) : RM8000 / RM800 seorang (termasuk makan malam & merchandise rasmi)
PLATINUM : RM6000 / RM600 seorang (termasuk makan malam & merchandise rasmi)
GOLD : RM4000 / RM400 seorang (termasuk makan malam & merchandise rasmi)
Untuk pembelian tiket atau meja, boleh terus hubungi: SNI: 012 662 4079, HATTA: 018 223 9934, JOE: 017 470 5455
Apa Kata Budiey?
Terus-terang, inilah acara yang patut dihadiri oleh penggemar muzik klasik, pencinta seni budaya dan sesiapa saja yang mahu lari sebentar dari ‘routine’ harian. Budiey suka bila ada usaha sebegini untuk mengangkat kembali muzik lama dan menyalurkan semangat ‘malam tari menari’ dengan cara moden yang penuh gaya.
Budaya lama ini bukan saja wajar dipelihara, malah perlu diteruskan agar tak pupus ditelan zaman. Bagi Budiey, Malam Pesta Ronggeng adalah bukti bahawa muzik klasik dan tradisi boleh kekal relevan dan diterima semua, asalkan ada keberanian untuk bereksperimen dan membawa perubahan segar. Jangan lepaskan peluang – sekali-sekala, kita semua perlu ‘ronggeng’ juga!