Artis Popular di Shout! Awards

SHOUT! AWARDS
PENGANUGERAHAN ‘TERGEMPAQ’ UNTUK YANG TERBARU DALAM INDUSTRI HIBURAN MALAYSIA!

Pastikan anda bersedia untuk berhibur dengan barisan artis dan selebriti popular di Shout! Awards…

Kuala Lumpur, 1 July 2009 – Sudahkah anda bersedia untuk menghitung detik-detik ke anugerah hip Shout! Awards? Shout! Awards merupakan sebuah anugerah baru yang sedang hangat diperkata-katakan dan bakal disiarkan secara eksklusif di 8TV kurang dari 3 minggu dari sekarang!

Setiap anugerah pastinya tidak lengkap tanpa persembahan memukau dan menghiburkan dari artis-artis popular. Pada malam Shout! Awards nanti rakyat Malaysia bakal menyaksikan penampilan artis-artis popular Malaysia dan juga penampilan khas artis antarabangsa! 

Sudahkah anda bersedia untuk bersama-sama meraikan anugerah paling hip bersama-sama dengan artis-artis dan selebriti-selebriti popular?

Shout! Awards bakal membariskan persembahan dari artis-artis yang cukup hebat antaranya Pop Shuvit, One Buck Short, Jin Hackman, Reza Salleh, Komplot, Caprice, Estranged, Shila, Bunkface, Mia Palencia, Pesawat, Paolo Delfino, Nikki, Joe Flizzow, Rahim Maarof dan ramai lagi!

Anugerah ini turut diserikan oleh selebriti-selebriti popular sebagai penyampai antaranya ialah Juliana Evans, Deborah Henry, Paul Moss, Fazura, Alif Satar, Yasmin Ahmad, Smek, Chong Sisters, Diana Rosdi, Jojo Struys, Nabil (Raja Lawak 2), Syafinaz Selamat, Jien, Marion, Afdlin Shauki, One Nation Emcee, Love Me Butch, Dato’ Sri Tony Fernandez dan Sarah Lian.

Shout! Awards merupakan sebuah rancangan anugerah yang diadakan untuk meraikan mereka-mereka yang terlibat di dalam industri muzik, filem, TV dan radio. 17 Julai 2009 ini Shout! Awards akan disiarkan secara langsung dari Stadium Putra Bukit Jalil eksklusif di saluran hip 8TV. Pengacara terkenal yang acapkali dikenali oleh  peminat setia 8TV iaitu Marion Caunter dan Jien akan bergandingan bersama muka  baru yang sedang meningkat naik iaitu Sarah, telah diberi tanggungjawab untuk mengacarakan anugerah yang julung-julung kali diadakan ini.

Apa yang lebih menarik, penyanyi terkenal antarabangsa Sean Kingston akan diterbangkan khas untuk membuat persembahan di Shout! Awards. Inilah peluang anda untuk menyaksikan sendiri persembahan bertenaga dan menghiburkan dari Sean Kingston!

“Kami cukup gembira dan berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran Sean Kingston di Shout! Awards nanti. Bukan sekadar membuat penampilan istimewa, Sean Kingston juga bakal beraksi di pentas Shout! Awards nanti,” ujar Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV.

“Kehadiran artis popular antarabangsa ini pastinya menjadikan anugerah ini sebagai anugerah yang paling hangat diperkatakan!. Selain Sean Kingston, Shout! Awards turut membariskan artis-artis tempatan popular yang turut serta membuat persembahan,” tambah Izham lagi.

Untuk mengundi artis kegemaran anda bagi setiap kategori, anda boleh mengundi secara online dengan melayari laman web utama www.shoutawards.com.my

Anda juga boleh mengundi menerusi SMS dengan menaip SHOUT <jarak> <Kod Undian> dan hantar ke 33399.

Pemenang bagi setiap kategori akan ditentukan oleh undian daripada rakyat Malaysia menerusi undian secara ‘online’ dan SMS. 50% akan dikira daripada undian secara ‘online’ manakala 50% yang berikutnya akan dikira melalui undian SMS. Seterusnya undian akan dikumpul dan diaudit oleh pihak berkecuali.

Undian telah dibuka sejak 8 Jun 2009 dan akan ditutup pada 16 Julai 2009.

Shout! Awards mengalu-alukan penaja utama  Hotlink FlyFM selaku radio rasmi.

Matthew Willsher, Ketua Pegawai Pemasaran Maxis Communications Berhad berkata, “Hotlink gembira kerana dapat turut serta dalam acara anugerah yang menguja dan tersendiri ini, yang memberi pengiktirafan kepada yang terbaik dalam hiburan di Malaysia – sama ada dalam bidang muzik, televisyen, radio atau filem. Anugerah Shout! 8TV dan Hotlink sememangnya pasangan yang serasi bila membabitkan usaha untuk meraikan, menyokong dan mempromosi yang terbaik yang ada pada Malaysia. Hotlink juga menyediakan beberapa tawaran instimewa untuk para pelanggan kami, supaya mereka dapat turut serta pada malam pelancaran anugerah yang menguja ini.”

Ada tiga cara untuk mengambil bahagian. Pertama, 12 pelanggan Hotlink dan Maxis yang dipilih khas (berserta dengan pasangan mereka) yang mengundi melalui SMS menjelang malam anugerah tersebut akan dapat menikmati segala kegemilangan dan glamor pada malam itu dengan sambutan permaidani merah. Selain daripada itu, mereka juga akan mendapat dandanan kecantikan istimewa daripada Hotlink, dimana  mereka berpeluang untuk menjadi “bintang” pada malam itu.

Kedua, para anggota Kelab Belia Hotlink boleh mendapat empat tiket ke Anugerah Shout! dengan hanya menebus 100 mata daripada Ganjaran Hotlink melalui www.hotlink.com.my. Tiket diberi berasaskan siapa dulu dia dapat, jadi para pelanggan Hotlink adalah digalakkan supaya mendapatnya segera pada 17 Julai 2009 di Stadium Putra Bukit Jalil bermula jam 4.30 petang.

Akhir sekali, sempena meraikan Shout! Awards, Hotlink kini menawarkan 17 pakej nada dering istimewa. Setiap pakej mengandungi tiga lagu calon Anugerah Shout! Para peminat boleh memuat-turunkan lagu artis tempatan kegemaran mereka dengan hanya RM5 setiap pakej atau bundle, dan setiap muat-turun boleh ditebus untuk mendapat tiket ke Anugerah Shout!

Kepada sesiapa yang berminat untuk menghadiri Shout! Awards, anda boleh mendapatkan pas-pas percuma di salah satu siri jelajah kami pada 5 Julai 2009 ini di One Utama.  Siri jelajah ini bakal diserikan dengan persembahan dari artis-artis terkenal. Anda juga berpeluang untuk beramah mesra dengan artis-artis terkenal dan berpeluang mendapatkan pas-pas eksklusif ke Shout! Awards secara PERCUMA!

Pas-pas eksklusif ini juga boleh didapati secara PERCUMA di bilik pengawal  Sri Pentas bermula 13 Julai 2009 ini dari 3.00 petang hingga 5.00 petang. Anda juga boleh memenangi pas-pas percuma ini menerusi 8TV Quickie, 8 TEAM, FlyFM, Facebook, Myspace dan melalui peraduan-peraduan di surat khabar dan majalah-majalah hiburan Malaysia.

Anda juga berpeluang untuk berbual bersama dengan finalis-finalis Shout! Awards menerusi Star Chat setiap Selasa, 2.00 – 3.00 petang di www.gua.com.my Julai ini.

Shout! Awards diadakan untuk memberi penghargaan kepada mereka yang telah banyak mempengaruhi industri Muzik, Filem, TV dan Radio tanahair. Rancangan yang akan berlangsung selama 2 ½ jam ini akan menyaksikan penganugerahan bagi mereka yang telah memberi revolusi baru dalam industri hiburan tempatan.

Ia juga merupakan satu platform yang baik untuk peminat memilih dan melihat ke mana arah tuju industri hiburan Malaysia.

Shout! Awards merangkumi anugerah khas untuk TV, Filem, Radio dan Muzik dan turut menyelitkan persembahan-persembahan bertenaga dari artis dan band tempatan dalam kolaborasi yang cukup menarik dan menghiburkan!

Untuk maklumat lanjut sila layari www.shoutawards.com.my atau www.8tv.com.my.

Jangan ketinggalan!

8TV juga boleh ditonton melalui saluran 708 di Astro.

Kini, anda juga boleh menikmati rancangan kegemaran anda melalui telefon bimbit anda dengan melayari www.8tv.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Pencalonan Anugerah Shout! Awards 2008

Stephen Gately Passed Away