in ,

Apa Ada Pada Filem 4 Madu

Kalau Allayarham ada buat filem Madu Tiga, tapi pengarah tersohor A Razak Mohaideen lagi dahsyat bila bikin filem 4 Madu.

Filem 4 Madu yang akan menemui penonton pada Hari Raya Aidilfitri nanti adalah hasil buah tangan ke-30 Profesor Madya A Razak Mohaideen yang cuba mengungkap konflik hidup bermadu daripada perspektif wanita menerusi terjemahan citra hitam dan putih mereka yang melalui episod kehidupan itu.

Penulis skrip filem itu, Shukor Mohaideen berkata, 4 Madu cuba memperbetulkan pandangan umum mengenai pengamal poligami.

Bagaimanapun, mereka memilih untuk mengungkap persoalan itu dalam bentuk komedi ringan namun sarat pengajaran jika dihayati dan ditonton dengan pemikiran rasional.

Persoalan itu diungkap menerusi watak adik beradik tiri berwajah seiras iaitu Azlan dan Azrul yang dijayakan pelakon komedi popular, Saiful Apek.
Mereka dipertemukan sebaik menerima surat peguam yang menyatakan bapa mereka meninggalkan wasiat wang tunai sebanyak RM50 juta. Wasiat yang ditujukan kepada mereka berdua itu datang bersama beberapa syarat lain yang perlu dituruti. Mereka dikehendaki mencari calon isteri berstatus anak yatim piatu dalam tempoh tiga bulan.

Selepas itu, mereka perlu berkahwin dua dengan janda yang mempunyai tiga anak serta beberapa syarat lain. Hanya selepas kesemua syarat dipatuhi, baru harta yang ditinggalkan menjadi milik mereka.

Selain Saiful Apek, 4 Madu dilakonkan oleh Rozita Che Wan; Fasha Sandha; Rosnah Mat Aris; Marsha Milan Londoh; Sazzy Falak, Datuk Rahim Razali; Almy Nadia; Ayu Raudhah dan Bienda. 4 Madu juga menampilkan kelainan apabila Razak menggunakan teknik ‘double acting’ menyaksikan Apek menjadi dua individu berbeza.

Kepakaran dan teknologi komputer ketika suntingan dimanfaatkan Razak untuk menampakkan adegan berkenaan berlaku seperti realiti.

Ketika penggambaran, Razak juga kelihatan menggunakan benang di skrin televisyen kecil untuk melihat lakonan Apek yang dirakam semula berada di kedudukan yang sama.

Filem yang menelan kos keseluruhan RM1.5 juta itu menjalani penggambaran selama 25 hari di Bagan Lalang, Sepang dan sekitar Kuala Lumpur bermula 7 Jun 2009.

Gambar sekitar pengambaran filem 4 Madu

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Jom Menonton Filem KILLERS

The Biggest Loser Asia Season 2 Auditions