in

Animasi BoBoiBoy 3D di TV3

SAKSIKAN AKSI HEBAT SUPERHERO & 3 SAHABAT MENENTANG SETERU!
Siri Animasi 3D TV3 Bakal Menjadi Ikon Si Cilik

Unik, membanggakan dan pastinya sangat menghiburkan! Satu pencapaian besar untuk industri animasi tempatan sepanjang dua dekad apabila diserikan dengan kehadiran pelbagai siri animasi yang telah mendapat tempat di hati penonton pelbagai usia. Kini, bersiap sedia pula dengan kemunculan siri animasi 3D terbaru, BoBoiBoy, yang bakal bersiaran di kaca TV3!

Dibawakan dengan kerjasama Captain Munch dan dijana oleh pembabitan kreatif 30 orang juruanimasi professional, BoBoiBoy mempamerkan aksi menarik watak superhero memburu satu misi yang dijangkakan mampu meledakkan satu fenomena baru serta menjadi kegilaan kanak-kanak dan juga golongan dewasa. Dihasilkan dengan teknik animasi dan terperinci, siri animasi 3D ini bakal menyusul menggantikan siri aksi superhero “Kamen Rider Dragon Knight” bermula 13 Mac 2011, sebanyak 13 episod pada setiap hari Ahad jam 7.00malam.

Terbitan Animonsta Studios Sdn. Bhd., siri animasi 3D ini dijayakan hasil kerja keras sekumpulan tenaga mahir yang diterajui oleh Mohd Nizam b Abd Razak sebagai Pengarah Urusan, Mohd Safwan b Abd Karim, Pengarah Eksekutif, Muhammad Anas b Abd Aziz sebagai Pengarah Kreatif, dan Pengarah Penerbitan, Kee Yong Pin. Seperti yang telah di war-warkan, BoBoiBoy juga turut mendapat perhatian eksklusif dari Disney Channel yang akan turut menyiarkan siri ini di saluran mereka tidak lama lagi.

Sokongan daripada Multimedia Development Corporation (MDeC) menerusi grant BCi2 dan MAC3, salah satu inisiatif MDeC dalam menyediakan lokasi, kemudahan perisian dan hardware untuk syarikat-syarikat baru juga banyak membantu Animonsta Sdn. Bhd. untuk merealisasikan musim pertama BoBoiBoy. Manakala nadi dan penggerak, watak-watak dalam BoBoiBoy ini direalisasikan oleh suara latar indicidu berbakat seperti Nur Fathiah sebagai BoBoiBoy, Nur Sarah Alisya (YaYa), Yap Ee Jean (Ying) dan Dzubir Mohammed Zakaria (Gopal).

BoBoiBoy mengisahkan tentang kisah seorang kanak-kanak yang datang untuk bersama datuknya, Tok Aba, yang menyara hidup dengan menjual segala jenis produk coklat di gerai bergerak miliknya. Disebabkan gerai coklat Tok Aba sangat popular dan produknya digemari ramai, BoBoiBoy berpeluang untuk berkawan dengan Gopal, Ying dan YaYa. Perkenalan mereka kemudiannya berubah menjadi sebuah persahabatan akrab, dan akitiviti harian mereka dilakukan bersama dengan penuh ceria dan menyeronokkan.

Namun, pada satu hari BoBoiBoy mendapat tahu bahawa satu makhluk asing bergelar Adu Du sedang cuba untuk mencuri hasil koko milik Tok Aba, dan percubaan Adu Du berjaya dipatahkan oleh BoBoiBoy. Rupa-rupanya, biji koko tersebut boleh digunakan sebagai satu sumber tenaga yang sangat kuat setelah diubah ke dalam bentuk cecair. Makhluk asing mendapati bahawa penemuan ini sangat penting bagi mereka yang sedang kehabisan punca tenaga, dan ini akan menyebabkan segala teknologi canggih ciptaan mereka tidak dapat berfungsi lagi.

Lebih menarik, hanya minuman coklat panas istimewa milik Tok Aba sahaja yang cukup berkuasa berbanding biji cecair koko yang lain, hanya kerana terdapat satu resipi rahsia yang hanya diketahui oleh Tok Aba.

Setelah mengetahui tentang perkara ini, sang Maharaja memerintahkan Adu Du untuk mencuri resipi rahsia Tok Aba. Akan tetapi, misinya menjadi lebih sukar dengan kehadiran BoBoiBoy dan rakan-rakannya yang sangat gemarkan coklat dan sering bersantai di gerai Tok Aba. Demi menjayakan misi ini, sang Maharaja telah menghantar pelbagai peralatan serba canggih kepada Adu Du, tetapi BoBoiBoy telah menjumpainya dengan secara tidak sengaja. Peralatan canggih tersebut telah mengubah BoBoiBoy dan rakannya menjadi sekumpulan adiwira!

Kini, BoBoiBoy, Gopal, Ying dan YaYa menjalani aktiviti mereka dengan penuh keseronokkan dan hidup menjadi lebih menarik, seperti apa yang akan dilakukan oleh kanak-kanak yang mempunyai kuasa hebat, pada kebiasaannya. Semestinya, kuasa tersebut juga akan digunakan sepenuhnya untuk menentang Adu Du yang tidak pernah berputus asa untuk merampas kembali peralatan canggih miliknya, seterusnya mencuri resipi rahsia Tok Aba.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan siri animasi 3D ini yang pastinya menjanjikan satu pengalaman baru kepada semua penonton di segenap lapisan umur. Saksikan dan alami sendiri segala keseronokkan dan keceriaan di dalam BoBoiBoy mulai 13 Mac 2011, setiap hari Ahad, jam 7.00 malam, hanya di TV3!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Demam Filem Thriller Sepanjang April Ini

Peraduan Dialog Paling Kelakar Tak Hingat Filem CUN!