in ,

Aliff Sahkan Sophia Albarakbah Aktres Dimaksudkan Bella Astillah

“Ketika ini, hanya fokus berlakon satu drama dan dia sahaja heroin saya.”

Demikian pengakuan aktor Aliff Aziz merujuk kepada Sophia Albarakbah apabila diminta mengesahkan nama pelakon wanita yang terjebak dalam masalah rumah tangganya sebagaimana pendedahan isterinya, Bella Astillah baru-baru ini.

Akur dengan situasi semasa, Aliff, 32, tidak dapat mengelak susulan hanya menjalani penggambaran untuk sebuah drama iaitu Ku Akad Kau Dengan Bismillah bersama Sophia ketika ini.

“Ketika ini, saya sedang fokus buat satu drama sahaja dan dia sahajalah heroin saya.

“Sepertinya semua orang pun sudah sedia maklum dan isteri saya pun tak sebut nama.

“Jadi lebih baik biarkan perkara yang sedang hangat diperkatakan ramai ketika ini begitu sahaja,” katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah di sini hari ini.

Aliff Sahkan Sophia Albarakbah Aktres Dimaksudkan Bella Astillah

Tentang hubungannya dengan Bella, pelantun lagu Sayang Sayang itu menjelaskan sudah berbincang secara terbuka dengan isterinya mengenai kontroversi yang melanda ketika ini.

“Saya faham keadaan Bella sedang rapuh tetapi kami terbuka untuk berbincang dan menyelesaikan perkara ini secara matang.

“Malah, saya juga tidak menafikan tentang semua perkara yang isteri sudah dedahkan.

“Saya kenal Bella, dia tidak akan keluarkan apa-apa kenyataan atau melenting tanpa usul periksa,” katanya lagi.

Dia juga tidak menolak kemungkinan kontroversi yang meledak itu berpunca atas kekhilafan sendiri yang lalai untuk menjaga batas hubungan walaupun berstatus suami orang.

“Tiada siapa menjangka kontroversi akan meledak. Saya anggap ini satu teguran daripada Tuhan apabila menjalani penggambaran supaya tidak lalai menjaga ikhtilat.

“Pada awal penggambaran, kami tidak ada sesi bacaan skrip jadi kami seolah terbawa-bawa perasaan ketika berlakon bersama,” jelasnya.

Enggan kontroversi berlarutan, bintang drama Cina Buta berkenaan juga akur dengan syarat isterinya untuk tidak lagi bergandingan dengan pelakon filem Miimaland itu dalam mana-mana projek kelak.

Mahu kemelut ini berakhir, Aliff berharap agar Sophia dapat menjernihkan keadaan dengan memberi penjelasan tentang kemelut yang hangat diperkatakan

“Saya tidak boleh memaksa tetapi berharap agar pihaknya juga dapat beri penjelasan terpulang kepada dia.

“Seperti yang isteri sudah katakan sebelum ini, saya menghormati dan akur permintaannya untuk tidak lagi berlakon dengan Sophia sekiranya hal itu boleh mengembalikan kepercayaan dan keyakinan terhadap saya,” jelasnya lagi.

Pada Isnin lalu, Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah mendedahkan heroin sebuah drama mengakui menyukai Aliff selepas mereka bergandingan dalam sebuah naskhah.

Tanpa mendedahkan nama, Bella bagaimanapun menasihatkan aktres tersebut menjaga maruah diri sebagai seorang wanita dan berhenti mengganggu lelaki berstatus suami orang.

Sejak beberapa minggu lalu, Bella yang juga peserta program Famili Duo beberapa kali berkongsi mengenai wanita perampas dalam media sosial miliknya sekali gus memberi bayangan rumah tangga mereka diganggu pihak ketiga.

Kontroversi sebegini bukan pertama kali melanda pasangan suami isteri itu kerana sebelum ini Aliff pernah terkait dengan isu curang bersama beberapa aktres wanita.

Bella juga pernah memfailkan perceraian pada Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh iddah.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna. –

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ibu Shuib Sudah Beri Restu, Suruh Cepat Kahwin Dengan Watie

Bella Astillah Akhirnya Dedah Mesej Perbualan Bersama Sophia AlBarakbah