in , ,

airasia Super App & Google Cloud Jalin Kerjasama Pacu Pertumbuhan Digital

Ekosistem inovasi bersama yang dikuasakan oleh pengkomputeran awan bagi keupayaan dan bakat untuk memenuhi keperluan pengguna di seluruh aspek kehidupan

Mountain View, California dan Kuala Lumpur, Malaysia, Apr. 8, 2022 – airasia Super App, platform perjalanan digital dan gaya hidup untuk semua di Asia Tenggara, dan Google Cloud hari ini mengumumkan kerjasama strategik selama lima tahun. Kerjasama ini memacu visi airasia Super App dalam membangunkan ekosistem inovasi bersama di mana semua perniagaan boleh mengambil bahagian untuk memberi perkhidmatan keperluan harian kepada penduduk di rantau ini. Kedua-dua buah organisasi akan menggabungkan kecekapan teras untuk memupuk bakat teknologi, mencipta bersama perisian untuk inovasi terbuka, menyampaikan kecerdasan data bagi pihak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) pada platformnya, dan memastikannya boleh diakses oleh semua pengguna di bandar dan luar bandar.

airasia Super App yang beroperasi di Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, merupakan sebahagian daripada tonggak digital Capital A. Platform ini menawarkan tempahan penerbangan dan hotel, e-dagang, penghantaran makanan dan bungkusan, perkhidmatan pengangkutan, kewangan dan kesihatan, pendidikan atas permintaan dan banyak lagi, disokong oleh program ganjaran bersepadu dan dompet mudah alih. Walaupun beberapa perkhidmatan masih sedang dilancarkan di pelbagai pasaran di seluruh Asean, platform tersebut telah menjadi aplikasi gaya hidup pilihan untuk 51 juta pengguna. Sejak penubuhannya pada tahun 2020, airasia Super App telah menjadi salah satu daripada tiga buah syarikat teknologi unikorn yang berpangkalan di Malaysia, menurut Credit Suisse.

Google+Cloud+And+Airasia+Super+App+At+Google'S+Global+Headquarters+In+Mountain+View,+California+-+8+Apr+2022

“Lima tahun lalu, apabila saya memutuskan untuk membawa perjalanan digital kami ke peringkat seterusnya, saya mencari rakan kongsi yang boleh membantu kami mencapainya, sama seperti bagaimana Airbus dan General Electric membantu kami berkembang daripada sebuah syarikat kecil dengan dua buah pesawat kepada syarikat penerbangan keempat terbesar di Asia. Di Amerika Syarikat, saya bertemu dengan Diane Greene dari Google Cloud, dan bermulalah perjalanan digital kami seterusnya. Bersama Thomas dan pasukannya, kami bakal menjadi memacu arena platform digital sebagaimana kami memacu industri penerbangan. Walaupun kami bukan pemain industri digital terawal, tetapi dengan Super App sebagai pusat ekosistem e-dagang, logistik dan teknologi kewangan, kami berazam untuk menawarkan 700 juta orang di Asean keterangkuman, kebolehcapaian dan lebih nilai,” kata Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A.

“Dengan bantuan Google, ekosistem kami bukan sahaja bersifat keuntungan, tetapi juga membina dan memperkaya komuniti untuk pelanggan serta rakan kongsi seperti restoran, syarikat penerbangan, hotel dan pemandu. Saya berbesar hati untuk membuktikan kepada dunia bagaimana airasia dan semua aset Capital A akan mengubah Asean dan menawarkan lebih nilai, bukan sahaja dalam urus niaga tetapi dalam menghubungkan Asean. Kami bukanlah berevolusi tetapi menjadi revolusi dan saya berbangga untuk bekerjasama dengan Google,” tambah Tan Sri Tony Fernandes.
Kerjasama strategik dan usaha pembinaan ekosistem ini merangkumi empat teras:

Memupuk kecekapan dan inovasi bersama bakat: airasia Super App dan Google Cloud akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pengkomputeran Awan (CCoE) yang terdiri daripada ahli teknologi AirAsia Allstars dan Google Cloud. CCoE akan memupuk kecekapan merentas semua unit perniagaan airasia Super App untuk memacu pembangunan produk, menerima perubahan dan meningkatkan bakat. Ini termasuk amalan terbaik daripada Site Reliability Engineering (SRE) dan MLOps oleh Google Cloud, supaya kakitangan dan graduan AirAsia Academy boleh memperkukuh keupayaan teknikal mereka dan memenuhi keperluan perniagaan yang berkembang pesat. Sebagai lanjutan daripada pasukan pembangunan produk Google Cloud, CCoE juga akan memacu usaha inovasi bersama untuk membentuk kemajuan teknologi di rantau ini dan seterusnya.

Memastikan akses pengguna yang lancar pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, pada mana-mana peranti: Dengan memanfaatkan infrastruktur Google Cloud yang selamat dan boleh diperkembang serta perkhidmatan mikro termaju, teknologi tanpa pelayan dan rangkaian, CCoE akan meningkatkan aplikasi airasia Super App supaya ia kekal teguh, dipercayai dan boleh menampung lebih banyak ciri dan perkhidmatan yang akan ditambah secara berterusan. Ini memastikan platform tersebut berjalan lancar apabila diakses oleh jumlah pengguna yang tinggi pada bila-bila masa, termasuk di kawasan luar bandar dengan sambungan internet yang tidak stabil atau menggunakan telefon pintar kos rendah dengan kekurangan kapasiti.

Menggunakan data untuk memacu pertumbuhan MSME: Dengan menggunakan analitis terkemuka Google Cloud, pembelajaran mesin dan teknologi kecerdasan buatan, saintis data CCoE boleh mengumpul dan menganalisis set data dalam masa nyata mengenai keperluan pelanggan dan trend terkini. Ini termasuk pemahaman dalam pemulihan sektor pelancongan dan corak penggunaan sekitar perkhidmatan penghantaran makanan, pengangkutan dan banyak lagi. Data tersebut akan membolehkan platform tersebut memberikan perkhidmatan yang diperibadikan kepada pengguna bagi pihak PKS dan membantu mengembangkan aliran perniagaan.

Memperkasakan rakan kongsi dan perniagaan untuk berinovasi bersama: Dengan menggunakan prinsip dan infrastruktur sumber terbuka Google Cloud, CCoE akan membangunkan satu set kit pembangunan perisian (SDK) yang boleh digunakan oleh rakan kongsi ekosistem dan pembangun perisian lain untuk mencipta ciri dan perkhidmatan baharu bagi pengguna airasia Super App dengan lebih pantas dan menjimatkan. Ini termasuk komponen perisian boleh guna semula untuk sistem biometrik, bot sembang, e-dompet, tempahan perjalanan dalam talian dan banyak lagi. Google juga akan memanfaatkan rangkaian serantau airasia Super App untuk mengembangkan komuniti pembangunnya di Asia Tenggara.

“Untuk memberi manfaat kepada semua orang di seluruh komuniti Asia Tenggara, airasia Super App mestilah ringkas dan mudah digunakan di samping menawarkan reka bentuk inklusif, kebolehoperasian dan pemperibadian,” kata Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App. “Oleh itu, penting bagi kami memanfaatkan pengalaman Google dalam membina platform dan ekosistem global untuk melengkapkan dan melibatkan lebih ramai bakat, usahawan dan rakan kongsi yang boleh menyediakan penyelesaian khusus untuk kehidupan pengguna kami. Apa yang kami umumkan hari ini hanyalah permulaan dan kami tidak sabar untuk meneroka inisiatif inovasi bersama selanjutnya dengan Google, sama ada dalam perancangan perjalanan secara digital, kereta pandu sendiri, permainan pengkomputeran awan, pelaburan permulaan atau menyokong kakitangan barisan hadapan yang melalui Google Workspace.”

“Aplikasi super telah membantu perniagaan kecil berkembang maju dan merangsang ekonomi. Malah, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan 70 peratus daripada nilai ekonomi baharu yang dijana dalam dekad akan datang akan didorong oleh model perniagaan platform digital,” kata Thomas Kurian, Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud. “airasia Super App ialah contoh inspirasi syarikat berinovasi menggunakan teknologi yang mengutamakan pengkomputeran awan untuk berhubung dengan pelanggan mereka secara lebih baik. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Tony dan pasukannya untuk mengembangkan lagi bakat dan ekosistem inovasi terbuka bagik memenuhi keperluan gaya hidup digital yang pelbagai di seluruh Asia Tenggara.”


Mengenai airasia Super App

airasia Super App ialah platform sehenti untuk perkhidmatan perjalanan, e-dagang dan teknologi kewangan yang menawarkan pengguna lebih daripada 15 jenis produk dan perkhidmatan. Dikuasakan oleh data dan teknologi, airasia Super App memanfaatkan ekosistem digitalnya yang mempunyai seramai 51 juta pengguna dan 40 juta muat turun untuk menjana pengalaman pengguna yang diperibadikan dan lancar dalam era baharu digital. Pengguna juga boleh menikmati ciri perbualan masa nyata, menyertai komuniti, permainan digital dan banyak lagi. Daripada keperluan perjalanan kepada keperluan gaya hidup seharian, semuanya tersedia di airasia Super App. Muat turun airasia Super App melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.


Mengenai Google Cloud

Google Cloud mempercepatkan keupayaan setiap organisasi untuk mengubah perniagaannya secara digital. Kami menawarkan penyelesaian gred perusahaan yang memanfaatkan teknologi canggih Google – semuanya di awanan terbersih dalam industri. Pelanggan di lebih daripada 200 negara dan wilayah beralih ke Google Cloud sebagai rakan kongsi mereka yang dipercayai untuk membolehkan pertumbuhan dan menyelesaikan masalah perniagaan mereka yang paling kritikal.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trending Viral Hiasan | 17

Pemangkin Perubahan! Generasi YouTube Meraikan Pencipta Kandungan Wanita

Aizat Amdan 2021 | 18

“Dia Ajak Saya Solat Bersama, Terus Jatuh Hati,” – Bakal Isteri Aizat Amdan