AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) sekali lagi mencipta sejarah dengan melancarkan penerbangan pertama dari Kota Kinabalu ke Fukuoka melalui Taipei, menandakan satu lagi langkah strategik dalam usaha memperkukuh peranan Kota Kinabalu sebagai hab penerbangan serantau. Pelancaran ini bukan sekadar membuka laluan baharu, tetapi juga menjadi jambatan penting menghubungkan Asia Tenggara dan Asia Timur.
Penerbangan sulung AK1510 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 15 Ogos 2025, jam 7:40 pagi, sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka pada jam 3:15 petang waktu tempatan. Dari Taipei ke Fukuoka, faktor muatan mencecah 100%, manakala penerbangan ke Taipei pula mencatatkan lebih 80%. Ini membuktikan bahawa permintaan terhadap laluan ini sangat tinggi walaupun baru dilancarkan.
Sepanjang hentian di Taipei, para penumpang yang menuju ke Fukuoka diraikan oleh Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, bersama kru penerbangan dalam suasana penuh mesra dan meriah.
Menyokong Pelancongan Dan Ekonomi Sabah
Laluan baharu ini adalah laluan bebas kelima AirAsia Malaysia dan menjadi pintu masuk penting bagi pelancong antarabangsa ke Sabah. Menurut Dato’ Kapten Fareh Mazputra, pembukaan laluan ini bukan sahaja memperluas pilihan perjalanan, tetapi juga membuka peluang pelancongan dan perdagangan baharu antara Kota Kinabalu, Taipei, dan Fukuoka.
“Kami berbesar hati untuk melancarkan laluan bebas kelima pertama dari Taipei ke Fukuoka. Ini adalah pencapaian penting bagi AirAsia Malaysia dalam usaha mengembangkan kehadiran di Jepun. Kami yakin sambungan baharu ini akan meningkatkan peluang pelancongan dan perniagaan sambil menawarkan lebih nilai dan kemudahan dengan tambang berpatutan,” jelas beliau.
Pandangan Pemain Industri Antarabangsa
Pelancaran ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Encik Bruce Chen Ph.D, Konsul Jeneral Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Fukuoka, menyifatkan laluan ini sebagai penghubung penting antara Jepun, Taiwan, dan Malaysia.
“Perkhidmatan ini meningkatkan kemudahan perjalanan dan membuka peluang pertukaran budaya, pelancongan, dan perniagaan. Saya berharap ia akan mengukuhkan lagi kerjasama antara ketiga-tiga negara,” katanya.
Sementara itu, Shinji Tagawa, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Fukuoka International Airport Co., Ltd., menegaskan bahawa pemilihan Fukuoka sebagai destinasi pertama AirAsia di Jepun adalah sesuatu yang amat dihargai.
“Kami sedang memperkukuh peranan sebagai hab antarabangsa dengan pembesaran terminal dan penambahan landasan kedua. Laluan ini akan memberi manfaat besar kepada pelancongan, perniagaan, kebudayaan, pendidikan, dan lain-lain,” ujar beliau.
Puan Syaliza Abd. Aziz, Pengarah Tourism Malaysia di Jepun, turut menganggap laluan ini sebagai strategi tepat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pengembangan ini menjadi jambatan bermakna dalam memperkukuh hubungan antara Jepun dan Malaysia, serta menawarkan lebih banyak peluang pertukaran budaya dan pelancongan,” katanya.
Jadual Penerbangan Dan Tawaran Harga Promosi
Laluan baharu ini akan dikendalikan setiap hari menggunakan pesawat Airbus A320 (termasuk A320neo) dengan kapasiti 186 tempat duduk, termasuk 42 Hot Seats.
Tambang promosi bermula pada 16 hingga 18 Ogos 2025 untuk tempoh perjalanan dari 16 Ogos hingga 15 Disember 2025 di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE:
- Kota Kinabalu → Fukuoka: Dari RM679* sehala
- Taipei → Fukuoka: Dari TWD2,990* sehala
- Fukuoka → Kota Kinabalu: Dari JPY23,990* sehala
- Fukuoka → Taipei: Dari JPY15,900* sehala
(*Tambang termasuk semua cukai dan caj, tertakluk kepada terma dan syarat)
Apa Kata Budiey?
Pada pandangan Budiey, laluan baharu ini bukan sekadar menambah opsyen perjalanan, tetapi juga membuka ruang ekonomi yang lebih besar kepada sektor pelancongan dan perniagaan di Sabah. Kehadiran AirAsia sebagai peneraju penerbangan tambang rendah memberi peluang kepada lebih ramai pelancong untuk meneroka keindahan Fukuoka dan pada masa sama menarik pelancong Jepun ke Kota Kinabalu.
Budiey yakin jika promosi pelancongan dilakukan secara agresif — termasuk kolaborasi dengan influencer, penggiat media, dan kempen media sosial kreatif — laluan ini mampu menjadi game changer yang melonjakkan nama Sabah di peta pelancongan Asia.