in

Agihan Royalti Penyanyi & Pemuzik Dilunaskan Hujung Tahun

Agihan royalti kepada penyanyi dan pemuzik yang terkesan berikutan pembubaran Music Rights Malaysia Berhad (MRM) pada 10 Julai lepas akan dilakukan selewat-lewatnya Dis ini.

Perkara itu dipersetujui Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan PRISM Performers Verification and Claims Committee (PPVCC) hasil satu mesyuarat yang diadakan pada 5 Okt lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam kenyataan bersama memaklumkan, mereka amat prihatin dengan isu berkenaan dan berharap proses agihan royalti itu dapat diselesaikan segera.

“KPDNHEP dan KKMM komited membangunkan industri kreatif dengan memberi keutamaan kepada kemudahan menjalankan perniagaan dan berusaha bersama-sama menangani isu ini berdasarkan undang-undang,”

Ia turut memaklumkan beberapa rundingan juga sedang berjalan dan berharap pihak terlibat dapat mematuhi tempoh yang ditetapkan bagi memastikan tiada kelewatan timbul.

“Bagi mendapat penyelesaian terbaik, ahli PRISM harus memberi sokongan dan kerjasama kepada MDI selaku pemegang amanah untuk mengesahkan nama ahli PRISM yang benar-benar layak menerima tunggakan royalti,”

Isu berkenaan juga boleh dikemukakan oleh pihak yang terlibat kepada Tribunal Hak Cipta, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sekiranya tiada persetujuan dicapai.

Tribunal Hak Cipta boleh menentukan isu yang dikemukakan pihak berkaitan, termasuk aduan oleh pencipta karya, pengendali, individu atau organisasi, rayuan oleh badan yang berlesen dan permohonan daripada mana-mana individu. 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, Tribunal Hak Cipta boleh dihubungi melalui: e-mel : [email protected] atau talian telefon 03-2299 8921/03-2299 8411 (Setiausaha, Tribunal Hak Cipta) serta laman web : www.myipo.gov.my/en/copyright-tribunal/

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tiada Rumah Selepas Ibu Meninggal, Bos Besar Shell Tawar Kerja Kepada Pemuda Ini

Panorama Papar Perkongsian Kebun Komuniti & Lanskap Akuatik