in , ,

Adib Zahar Optimis Buka Tirai 2022, Lancar Single ‘Waktu’ Di Tahun Baru

Nampaknya lembaran tahun 2021 ditutup dengan lebih indah lagi bermakna bagi pendatang baharu Adib Zahar apabila berjaya melancarkan single kedua berjudul WAKTU di saluran Youtube tanggal 31 Disember.

Selepas melancarkan single pertama berjudul AKUR pada awal tahun 2021, single WAKTU yang dilancarkan ini pastinya menjadi titik tolak untuk Adib Zahar memulakan langkah untuk memperkenalkan karya beliau seterusnya mengembangkan lagi karier sebagai penyanyi lagu yang bermesejkan islamik.

Lagu WAKTU dicipta oleh Kuroy dan Kamarul . Lirik dicipta oleh Kuroy dan diterbitkan oleh Ramzul Ikbar, Amman (Damai) dan Kamarul dari Produksi Karya Positif. Manakala susunan muzik dibuat oleh Abu Bakar Othman dari Quantize Studio.

Menurut Adib Zahar, lagu ini cukup bermakna buat dirinya kerana dapat memberi semangat untuk meneruskan kehidupan dengan jiwa yang lebih positif dan juga menjadi peringatan buat diri agar mengingati mati.

ADIB ZAHAR

“Selepas lagu ini berjaya disiapkan, perasaan saya bercampur baur, ada rasa gembira kerana ini adalah kali pertama saya melancarkan lagu di label muzik yang baru. Ada juga rasa teruja untuk melihat respon dari pendengar,”

“Selain itu saya bersyukur dapat memulakan tahun baru dengan karya lagu yang baru. Setelah mencurahkan tenaga untuk lagu ini, saya tertanya-tanya juga sama ada lagu ini diterima oleh peminat muzik atau sebaliknya,” ujar Adib

Adib Zahar akui setiap impian tidak semestinya berjalan dengan lancar. Pasti akan datang cubaan dan cabaran tersendiri. Bercerita tentang cabaran, Adib terpaksa menempuh kesulitan semasa proses rakaman kerana pada masa itu beliau berada dalam keadaan yang tidak berapa baik .

“Semasa rakaman saya di studio, sebenarnya saya tidak berapa sihat kerana ada sedikit selesema dan juga sakit tekak . Ini sedikit sebanyak mengganggu mutu vokal, Namun itu bukan menjadi sebab untuk saya berhenti malah saya tetap gagahkan diri untuk melontarkan vokal dan menyiapkan lagu ini,”

Di sebalik langkah pertama label Produksi Karya Positif, sebenarnya Adib Zahar merupakan antara orang yang bertanggungjawab memastikan segalanya berjalan lancar.

“Harapan saya agar Produksi Karya Positif yang merupakan label muzik yang baru menapak dalam industri ini akan berkembang maju dan lagu-lagu yang dihasilkan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat dan seterusnya memberi manfaat buat para pendengar.,”

Sebagai permulaan untuk tahun 2022 ini, Produksi Karya Positif akan memfokuskan untuk membangunkan bakat nyanyian oleh Kamarul dan Adib Zahar sendiri.

Bercakap tentang keunikan lagu WAKTU, keistimewaannya terletak pada irama yang menjentik emosi pendengar kerana liriknya mempunyai maksud yang mendalam kerana menekankan betapa penting menghargai masa dan setiap peluang yang ada.

Lagu ini berkisahkan kita sebagai seorang manusia yang sering dikaitkan dengan masa . Salah satu nikmat yang Tuhan berikan kepada manusia adalah masa lapang. Tuhan telah berpesan pada kita bahawa setiap manusia pasti akan merasai kerugian sekiranya tidak menggunakan masa dengan betul. Semakin manusia meningkat umur semakin dekat manusia dengan kematian.

Persoalannya adakah kita menggunakan masa dengan baik? Hidup di dunia ini sementara dan kematian itu pasti. Seandainya Tuhan izinkan kita dengan peroleh masa lapang, hargailah masa dengan sebaiknya. Semoga menjadi peringatan buat diri kita.

Adib turut menambah, lagu ini adalah hasil perjuangannya bukan hanya sebagai penyanyi, malah sebagai pencipta lirik lagu. Beliau bersyukur kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

“Saya sangat bersyukur ramai yang memberi respon yang baik ketika saya mula mencipta karya melalui lagu malah ramai yang menyokong untuk teruskan berkarya . Terima kasih buat mak abah serta keluarga atas setiap teguran ketika timbulnya kesilapan daripada saya secara langsung atau pun tidak langsung sewaktu di dalam proses penghasilan lagu WAKTU ini. Terima kasih juga buat rakan rakan atas kata kata semangat sewaktu saya hampir berputus asa dalam meneruskan perjuangan dakwah melalui lagu ini disebabkan pelbagai khilaf yang datang daripada diri saya sendiri. Saya juga menghargai semua pihak yang terlibat khususnya Kamarul yang banyak membantu dalam menyiapkan lagu WAKTU. Tidak dilupakan juga buat Amman (Damai and Friends) selaku pembimbing sewaktu rakaman berlangsung dan pihak Quantize Studio yang membantu dalam menghasilkan lagu. Terima kasih atas bantuan yang diberikan.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Altaf Azrie dan Norman Haqeem dari Atap Studio Production yang terlibat dalam membantu untuk menyiapkan video muzik WAKTU walaupun dalam masa yang singkat dan ada juga cabaran yang menimpa sewaktu rakaman video berlangsung, mereka tetap memberikan memberi kualiti hasil video yang sangat baik

ADIB ZAHAR

Namun begitu, saya juga seorang manusia yang tidak mampu memuaskan hati semua orang. Sekiranya ada pihak yang tidak berapa gemar dengan karya yang saya cipta. Saya berlapang dada untuk menerima segala teguran agar menjadi penambahbaikan buat diri saya pada masa akan datang,”

Untuk pengetahuan, video muzik WAKTU telah menjalani pengambaran di sekitar Rawang dan mengambil masa satu hari untuk disiapkan daripada pagi sampai petang.

Dalam video muzik, Adib juga menyelitkan kata-kata hikmah daripada Imam Ghazali dan juga terjemahan al-Quran yang berkaitan dengan pentingnya untuk menghargai masa dan kehidupan.

Dalam video muzik WAKTU, Adib Zahar cuba untuk menghayati lagu ini dengan penuh emosi yang menyemarakkan lagi nuansa indah lagu ini supaya mesej yang mahu disampaikan akan sampai ke dalam lubuk hati pendengar.

“Bertepatan dengan kedatangan tahun baru 2022, kita sedar yang umur kita semakin meningkat, dalam masa yang sama kematian juga semakin menghampiri. Di dalam lagu ini, terselit juga peringatan mengenai betapa penting kita dalam membuat persiapan amalan kebaikan yang banyak sebelum ajal menjelma untuk persediaan hari akhirat kelak.

“Harapan saya, semoga lagu ini memberi peringatan dan manfaat kepada pendengar. Saya memohon maaf atas segala kekurangan. Saya akan melakukan penambahbaikan dari segi vokal dan irama lagu pada masa akan datang” ujar Adib Zahar.

Bertanyakan perancangan pada tahun 2022, Adib Zahar mengatakan beliau mahu melancarkan banyak lagi lagu-lagu yang berkonsepkan islamik dan mungkin menggunakan genre yang berlainan daripada sebelum ini.

Lagu WAKTU boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify.

Sementara itu, video muzik WAKTU boleh ditonton di saluran Youtube Karya Positif.

ADIB ZAHAR

LIRIK LAGU WAKTU

Lahirmu di atur waktu
Disambut belaian ibu
Lena mu dalam dakapan si ayah
Bisikan seruan lima waktu
Gemersik suara di cuping mu

Waktu demi waktu yang berlalu
Dari bulan beralih ke tahun
Umur kau nan menggunung
Tanpa kau sedari
Hampir singkatnya waktu mu dulu

*chorus
Kau titipku dengan surat cinta mu
Kerugian ku kerna berlalu waktu
Kau tegur ku
Waktu kan menikam mu
Cukup kah dengan bekalan amal mu

*ulang chorus

Saat takkan menunggui mu
Kematian akan menjemput mu
Kau yang digelar hamba
Selama kau di dunia

Pasti akan kembali
Kepada yang Maha Esa
Bersediakah dirimu
Untuk BertemuNya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ganti Noraniza Idris di SFMM36, Amsyar Lee

Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar, Ubati Kekecewaan Peminat