in , ,

Adegan Intim Filem Killmaster Lulus Tanpa Potongan, Diklasifikasi P16 Oleh LPF

Killmaster Hidupkan Semula Pesona Filem Perisik Bergaya Elegan Adegan Intim Lulus Tanpa Potongan, Diklasifikasi P16 Oleh LPF. Filem Perisik Asia Yang Sarat Dengan Glamor, Intrik Dan Lokasi Eksotik

Filem Killmaster hadir bukan sekadar untuk menghiburkan penonton dengan aksi seorang ejen rahsia, tetapi juga mengangkat kembali keindahan sinema klasik yang penuh gaya, glamor dan elegan. Menampilkan latar lokasi utama di pulau eksotik Ibiza, Sepanyol, filem ini membawa penonton menyusuri perjalanan mendebarkan seorang ejen Asia bernama Alex Wong, yang dikenali dengan nama kod “Killmaster”. Dikenali kerana ketepatannya dalam menyingkirkan ancaman global, misi terbaharu Alex membawanya dari Asia ke Eropah sebelum bertembung dengan pemimpin berkuasa di Sepanyol.

Inspirasi Dari Era Keemasan Filem James Bond

Pengarah merangkap penerbit, Julian Cheah, jelas mahu menghidupkan semula suasana elegan ala filem James Bond era Roger Moore. Killmaster juga membangkitkan nostalgia klasik seperti To Catch a Thief, dengan penggambaran yang sarat dengan gaya hidup mewah, pakaian berkelas, dan lokasi memukau. Adegan kembang api dalam filem ini misalnya, dibikin seolah-olah mengimbau kembali era keemasan Hollywood yang penuh romantik dan mempersona.

Julian Cheah menjelaskan, “Killmaster bukan sekadar filem perisik—ia adalah perayaan keindahan dan glamor dalam sinema. Kami mahu cipta alternatif kepada filem moden yang terlalu keras dan ganas, dengan mengembalikan pesona, gaya, dan kehalusan yang digemari penonton dekad lalu.

Filem Killmaster

Barisan Pelakon Menyuntik Karisma Layar Perak

Filem ini diterajui Julian Cheah sendiri yang turut membintangi, bergandingan dengan Monica de Caro. Chemistry di antara kedua-duanya menimbulkan aura klasik yang jarang dilihat dalam filem moden. Dari tuxedo mewah hinggalah gaun labuh bergaya, setiap perincian kostum telah direka untuk melengkapkan keindahan lokasi Ibiza. Penonton dibawa masuk ke dunia yang bukan sahaja penuh dengan intrik perisik, tetapi juga sarat dengan keanggunan.

Muzik Inspirasi John Barry Membawa Aura Nostalgia

Tidak lengkap sebuah filem perisik tanpa skor muzik yang kuat. Untuk Killmaster, produksi memberi penghormatan kepada John Barry, komposer ikonik yang membentuk identiti filem Bond pada tahun 1960-an dan 1970-an. Runut bunyi filem ini menyuntik rasa nostalgik, tetapi tetap segar dengan sentuhan moden. Kesannya, penonton bukan sekadar melihat kisah perisik, malah merasai sendiri keanggunan muzik yang melatari perjalanan cerita.

Filem Killmaster

Adegan Intim Lulus Tanpa Potongan, Diklasifikasi P16 Oleh LPF

Menariknya, walaupun terdapat adegan intim dalam filem ini, Julian Cheah menegaskan bahawa Lembaga Penapis Filem (LPF) telah meluluskannya tanpa sebarang potongan. Malah, Killmaster diklasifikasikan sebagai P16, bermaksud hanya penonton berusia 16 tahun ke atas dibenarkan menonton.

Julian menambah, “Filem ini 100 peratus lulus tanpa sebarang potongan. LPF sudah meneliti dengan teliti dan meluluskan klasifikasi P16.

Kenyataan ini membuktikan Killmaster masih menjaga sensitiviti penonton Malaysia walaupun tampil berani dengan elemen dewasa yang jarang kita lihat dalam filem perisik tempatan.

Lokasi Eksotik Ibiza Dan Malaysia Sebagai Tarikan Utama

Selain menjalani penggambaran di Malaysia, produksi Killmaster turut memilih Ibiza, Sepanyol sebagai lokasi utama. Gabungan lanskap tropika Malaysia dan keindahan eksotik Sepanyol menjadikan filem ini sarat dengan visual menakjubkan. Ini sekali gus menempatkan Killmaster sebagai filem perisik yang menonjol dengan identiti unik Asia tetapi bertaraf antarabangsa.

Filem Killmaster

Julian Cheah, Penggiat Seni Serba Boleh

Buat yang belum mengenali Julian Cheah, beliau bukan sahaja seorang pelakon, tetapi juga pengarah, penerbit, penulis skrip dan novelis. Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar serta penerbit eksekutif di sebuah stesen televisyen. Sepanjang kerjayanya, Julian telah menghasilkan hampir 30 filem dengan genre berbeza termasuk aksi, thriller, seram, komedi dan filem seni.

Antara karya beliau ialah The Hired KillerPrince Of The CityKiller ClownMimpi NgeriKeluarga Pak IbrahimAntara Kita dan drama sejarah Mah’s Journey. Buku tulisannya bertajuk The Gallant: When The Angels Dare pula membuktikan sisi kreatifnya melangkaui layar perak.

Apa Kata Budiey?

Budiey melihat Killmaster sebagai sebuah percubaan berani untuk mengangkat kembali elemen glamor dalam filem perisik yang semakin pudar hari ini. Pada zaman di mana kebanyakan filem thriller lebih menekankan aksi ganas dan realiti suram, Killmaster datang dengan wajah berbeza—lebih romantis, lebih bergaya, dan lebih mengutamakan estetika visual.

Dengan sentuhan klasik yang dipadankan dengan naratif moden, Killmaster berpotensi menjadi titik kebangkitan kepada genre perisik Asia. Malah, ia boleh menjadi inspirasi buat pembikin filem tempatan untuk tidak takut mencuba gabungan antara lokasi antarabangsa, fesyen bergaya, dan runut bunyi ikonik.

Budiey percaya, Killmaster akan menarik minat bukan sahaja pencinta filem klasik, tetapi juga penonton muda yang mahukan pengalaman menonton filem yang lebih elegan, stylish dan penuh jiwa.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Halsey Umum Konsert Jelajah ‘Back To Badlands Tour 2025’