in

Ada Sebab Aliff Syukri Beli Hotel di Lombok & London

HEBAT… Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman baru-baru ini didapati telah menambahkan asetnya apabila difahamkan berjaya membeli syer dalam sektor hartanah.

Apa yang menarik, selebriti popular tersebut meluaskan empayar menerusi pemilikan dua buah hotel luar negara masing-masing terletak di Lombok, Indonesia dan London, Britain, lapor sebuah portal berita tempatan hari ini,

Peneraju filem Badang itu memberitahu beliau buat keputusan untuk beli aset berkenaan memandangkan saingan sengit dihadapinya dalam mengusahakan perniagaan kosmetik miliknya di bawah D’Herbs Healthy Sdn. Bhd.

Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman

“Sekarang ini, sesiapa sahaja bebas boleh menjual produk kosmetik. Malah, makcik ‘bawang’ di belakang rumah saya pun ada jual produk kosmetik sendiri. Persaingan memang ada di mana-mana tanpa ada batasan.

“Jadi, saya tidak boleh bergantung dengan hasil jualan produk kosmetik semata-mata. Perlu ada perniagaan alternatif untuk cambahkan pendapatan. Satu sumber sahaja tidak memadai,” kata jutawan berusia 31 tahun itu.

Menurut bintang realiti rancangan Oh Abang Kosmetik itu lagi, selain masih rancak menyusun strategi agar produk kosmetiknya kekal relevan di samping menceburi bidang perhotelan, Aliff Syukri juga fokus untuk projek lain.

Ini termasuk usaha untuk membangunkan perniagaan makanan yang baharu diusahakannya melalui bisnes Restoran Romah Makan Terlajak Laris yang dilancarkan sekitar Januari lalu melibatkan pelaburan RM200,000.

Jelas beliau, premis tersebut yang terletak di Kota Damansara, Selangor dengan menyediakan lebih 40 menu tradisional pelbagai cita rasa Melayu semakin mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan.

“Setelah beberapa bulan beroperasi, Alhamdulillah restoran saya sentiasa penuh dan sudah mempunyai pelanggan tetap. Selain bisnes restoran, saya turut mengeluarkan produk makanan di bawah jenama D’Herbs Terlajak Sedap.

“Menerusi perniagaan berasaskan makanan ini, saya mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menjadi ejen atau stokis,” jelas beliau. Terdahulu, Aliff Syukri sebelum ini sudah memiliki Sugeh Group of Resorts.

Syarikat berkenaan giat mengusahakan Sugeh Hill Exclusive Eco Resort yang terletak di atas tanah seluas lapan ekar di Janda Baik, Pahang bernilai RM13 juta selain Sugeh Village Country House di Sungai Buloh, Selangor.

Dalam pada itu, Aliff Syukri turut melancarkan koleksi tudung jenama AliffbySha meliibatkan kolaborasi selebriti Nadia Annuar, Joy Revfa, Uyaina Arshad, Nabila Razali dan isteri beliau, Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid.

Koleksi tudung bawal satin silk berharga RM99 itu terjual melebihi 10,000 helai sebulan. Kualiti menjadi faktor utama dengan menggunakan fabrik kualiti tinggi diimport khas dari Korea Selatan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ERA Cari Bakat Nyanyian Menerusi COVER STAR ERA

Bapa Elfira Suruh Henti Keluarkan Statement, Ini Jawapan Sufian