Bersedialah untuk sebuah festival muzik yang bakal menggoncang tanah air, kerana buat pertama kalinya, Latihan Pestapora Malaysia bakal berlangsung pada 26 Julai 2025! Acara ini membawa nafas segar buat peminat muzik tempatan dengan kehadiran barisan artis terkenal dari Malaysia dan Indonesia.
Dengan penganjuran oleh Hitman Solutions dan kolaborasi bersama Boss Creator dari Indonesia, majlis sidang media khas telah pun berlangsung di The Campus Ampang, menyaksikan pengumuman rasmi lineup yang bikin peminat tak senang duduk.
Lineup Gempak: Dari Feast Ke Pamungkas, Bittersweet Ke Bunkface
Kalau sebelum ni kita cuma dengar nama Pestapora di Jakarta, kali ini peminat tempatan boleh melompat kegembiraan! Antara nama besar dari seberang yang akan beraksi ialah .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji, dan Pamungkas.
Tak ketinggalan juga barisan artis kebanggaan Malaysia seperti Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, dan Salammusik. Gabungan ini membawa pelbagai genre — dari pop, rock, alternatif, hip-hop hinggalah ke indie, memberi kepuasan kepada pelbagai selera muzik.
Pihak penganjur, Rohit Rampal, CEO Hitman Group, berkongsi dengan penuh semangat: “Setiap tahun ribuan peminat Pestapora dari Malaysia akan ke Jakarta untuk hadir ke festival tersebut. Melihat keupayaannya menyatukan orang ramai melalui muzik, kami mahu rakyat Malaysia turut merasai magisnya.”
Menariknya, lebih 2,000 tiket telah terjual walaupun lineup belum diumumkan, membuktikan betapa kuatnya nama Pestapora di hati peminat. “Latihan Pestapora adalah seperti ‘preview’ kepada rakyat Malaysia yang tidak berpeluang untuk terbang ke Jakarta serta untuk peminat yang ingin bersiap sedia untuk acara utama,” tambah Rohit.
Lebih Dari Sekadar Konsert: Perpaduan Budaya Nusantara
Festival ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu platform kolaborasi budaya Nusantara. Seperti kata Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan pengasas bersama Boss Creator: “Latihan Pestapora Malaysia dapat menjadi fasilitator buat para penggiat seni dan komuniti dari kedua-dua negara untuk saling memperkenalkan dan menonjolkan karya masing-masing kepada para peminat.” Inilah peluang emas untuk peminat tempatan menyaksikan seni muzik lintas negara yang jarang-jarang kita nikmati di sini.
Rakan Strategik Dan Penaja, Tulang Belakang Festival
Kejayaan acara besar begini takkan tercapai tanpa sokongan padu. Antara rakan rasmi yang turut memeriahkan acara ini termasuk ERA FM, ERA SARAWAK, ERA SABAH, HITZ FM, SINAR FM, MIX, THR GEGAR, SYOK, serta World of Buzz dan Lobak Merah sebagai rakan media. Dari segi pelancongan pula, Batik Air dan BookCabinhadir sebagai rakan strategik, manakala Sunway Putra Hotel menjadi hotel rasmi. Universal Music Malaysiamenyumbang sokongan industri, Tapao Fest sebagai rakan strategik, dan The Campus Ampang sebagai lokasi sidang media.
Maklumat Tiket: Jangan Lepaskan Peluang
Berikut info penting buat anda yang sudah gatal tangan nak beli tiket:
- General Admission – RM129 ke atas
- Rockzone – RM199 ke atas
- Kanak-kanak – RM70
- Akses Express Lane – tambahan RM100
Tiket boleh didapatkan di laman web rasmi www.latihanpestaporamalaysia.com. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi +6012-2655783 atau emel ke [email protected].
Apa Kata Budiey?
Secara peribadi, Budiey rasa Latihan Pestapora Malaysia ini ibarat angin segar buat industri muzik tempatan. Bukan selalu kita dapat lihat pentas yang menghimpunkan artis pelbagai genre, pelbagai bahasa, dan pelbagai budaya dalam satu acara. Ia bukan sahaja mendekatkan peminat dengan idola mereka, tetapi juga membuka ruang untuk pertukaran seni dan kreativiti. Bagi Budiey, ini satu langkah berani yang patut dijadikan acara tahunan, malah wajar dijadikan contoh oleh penganjur tempatan lain. Jadi, buat korang yang masih ragu-ragu nak beli tiket — ini masa untuk bertindak! Jangan tunggu sampai habis, nanti cuma boleh gigit jari.