in , ,

Aamir Khan Dalam Filem GHAJINI Slot Bollygood di TV2

Slot yang menyiarkan tayangan filem-filem terbaik Hindustan di TV2, Bollygood bakal berkongsi dengan penggemar filem menarik yang mengetengahkan lakonan mantap aktor Aamir Khan menerusi filem bertajuk “Ghajini”pada 20 Mac ini, pukul 9.30 malam di TV2.

Bergandingan dengan pelakon lain termasuklah Jiah Khan dan Asin Thottumkal, Aamir Khan tampil matang dalam filem yang mengangkat nilai moral dan kesungguhan seseorang individu itu dalam menegakkan kebenaran bagi mengelakkan kejahatan berlaku berterusan.

Ia memaparkan kisah cinta tragis pasangan Sanjay Singhania, seorang pemilik syarikat Air Voice telah jatuh cinta dengan Kalpana, seorang peragawati yang cantik dan berbudi bahasa. Peribadi Kalpana yang ceria sering memberi layanan yang baik terhadap masyarakat di sekelilingnya. 

ghajini poster

Hubungannya dengan Kalpana terjalin secara tak sengaja dan pada masa sama gosip cinta antara mereka menyumbang kepada keuntungan besar syarikatnya. Sanjay Singhania yang pada awalnya mahu mendapatkan penjelasan tentang isu menggunakan gosip tersebut bagi meraih publisiti percuma itu terpesona dan jatuh cinta pandang pertama kepada Kalpana.

Sejak itu hubungan mereka semakin rapat. Sanjay Singhania menyamar sebagai Sachin dan banyak meluangkan masa dengan Kalpana. Pada suatu saat Sachin membantu Kalpana menghadiri sebuah pesta tahun baru yang diadakan oleh syarikat iklannya sebagai Sanjay Singhania. Namun Kalpana tak pernah mengetahui soal itu. 

Dalam perjalanan pulang menaiki bas, Sachin meluahkan cintanya pada Kalpana. Dia yakin memilih Kalpana kerana gadis itu mampu membuatnya makan dan minum di tepi jalan dan naik kenderaan awam. Dia sedar hubungannya dengan Kalpana penuh ikhlas tanpa bersandarkan harta. 

Kalpana berjanji untuk memberikan jawapan pada keesokkan harinya. Sanjay sangat tertekan dan tidak dapat tidur menunggu jawapan daripada Kalpana. Esok harinya, Kalpana dengan yakin menerima cinta Sanjay. 

Urusan perniagaan mendesak Sanjay untuk ke London dan meninggalkan Kalpana untuk tempoh yang agak lama. Pada masa sama dia menipu Kalpana dengan memberikan alasan mahu pulang kampung kerana ibunya sakit. Kalpana mengizinkannya pergi. 

Tapi selang beberapa minit sebelum Sanjay berangkat, Kalpana mengajaknya bertemu. Sanjay begitu terkejut kerana Kalpana memberikan sejumlah wang yang banyak untuk kos mengubati ibunya. Kalpana berterus-terang mengatakan wang itu diperolehi daripada hasil jualan kereta yang baru dibelinya. Sanjay sangat bersyukur mempunyai kekasih sebaik Kalpana.

Di dalam pesawat menuju London, dia mencurahkan perasaan dalam diarinya. Sementara itu, Kalpana berdepan masalah ketika berangkat ke Goa untuk menjalani penggambaran iklan. Sikap baiknya menyelamatkan seorang anak dari mangsa pemerdagangan manusia telah mangakibatkannya dibunuh ketua penjahat Kumpulan Ghajini Dharmatma. Lebih memilukan lagi semua terjadi di depan mata Sanjay sendiri. 

Semasa cubaan untuk menyelamatkan Kalpana, Sanjay telah dibelasah teruk di atas kepalanya yang menyebabkan beliau mengalami keadaan hilang ingatan jangka pendek (frequent short term memory loss).

Seterusnya semasa Sanjay hilang ingatan, beliau giat berusaha untuk mencari gerangan pembunuh Kalpana. Pada masa yang sama seorang pelajar kedoktoran, Sunita yang tertarik dengan keadaan kesihatan Sanjay berusaha untuk membongkar misteri tersebut. Dia akhirnya membantu Sanjay untuk menumpaskan pembunuh Kalpana termasuk Ghajini Dharmatma.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Live Crowdfunding Powered By Pitchin At Wild Digital Southeast Asia 2019

Peraduan Menangi Goodie Bag Cindy’s Recipe Sempena Pet World Malaysia 2019