in ,

Telemovie EMAK PUNGUT Sempena Hari Ibu

“Apabila anak membenci seorang ibu, si ibu hanya akan menangis sambil berdoa, “Ya Tuhan, maafkan anakku, aku sangat menyayanginya”. Ini antara babak menghibakan dalam telemovie khas disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Hari Ibu yang disambut pada 10 Mei ini.

Telemovie bertajuk “Emak Pungut” ini disiarkan pada 10 Mei ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TVi menampilkan lakonan mantap Zamarul Hisyam, Elly Mazlein, Khaty Azian, dan Ezlisa Loy.

Ia menyingkap kisah perjalanan hidup watak Rubiah berlaku pada 28 tahun yang lepas sewaktu kematian suaminya. Rubiah hilang punca arah untuk bergantung memandangkan dia tidak bekerja dan terpaksa menanggung anak perempuannya , Raudhah yang ketika itu berusia 7 tahun. Rubiah dan anaknya juga telah dihalau keluar dari rumah sewa yang diduduki mereka selama ini setelah gagal membayar sewa.

Telemovie “Emak Pungut”, Khas Hari Ibu di TVi

Rubiah membawa Raudhah ke hentian teksi dan menipu anaknya itu dengan mengatakan yang mereka akan ke rumah saudara mara mereka. Namun, Rubiah telah mengambil keputusan meninggalkan Raudhah di hentian tersebut dengan harapan ada orang lain yang akan mengambil dan menjaga anaknya itu. Raudhah yang berusia tujuh tahun ketika itu dapat melihat dengan jelas sewaktu emaknya meninggalkannya dan menangis memanggil emaknya.

Kini setelah 28 tahun berlalu, Rubiah terlantar di rumah kebajikan dan adakalanya dia akan berlari keluar memanggil nama anaknya kerana terlalu rindu dan menyesal dengan perbuatannya. Suatu hari, ketika Suhada terlepas pandang, sekali lagi Makcik Rubiah berlari keluar dari pusat jagaan sambil memanggil-manggil anaknya dan tanpa disedari telah melintasi jalan raya. Azam yang sedang memandu ketika itu sedang berbual telefon dan tidak sempat membrek keretanya dan akhirnya melanggar Makcik Rubiah sehingga jatuh tergolek atas jalan.

Suhada yang baru tersedar Makcik Rubiah tiada di katilnya keluar mencari Makcik Rubiah dan terkejut melihat Azam sedang meriba Makcik Rubiah yang terbaring tidak sedarkan diri. Mereka sama-sama membawa Makcik Rubiah ke hospital. Mujurlah kecederaan yang dialami tidak parah dan Makcik Rubiah dibenarkan pulang selepas ditahan dua hari di wad. Suhada yang merupakan bekas kekasih Azam sebelum ini menceritakan serba sedikit latarbelakang makcik Rubiah. Azam jatuh simpati.

Disebabkan Azam telah kematian ibu bapanya sejak kecil, Azam bercadang untuk mengajak Makcik Rubiah tinggal di rumahnya dan menganggapnya sebagai emak. Pertemuan kembali Azam dan Suhada menimbulkan rasa curiga dan cemburu terhadap Raudhah. Raudhah mula menuduh Azam berlaku curang di belakangnya. Azam yang malas hendak bertekak dengan Raudhah hanya memekakkan telinga saja kerana baginya Suhada kini hanyalah sebagai kawan.

Kedatangan Rubiah ke rumah mereka, menimbulkan lagi rasa kurang senang Raudhah kerana jauh di sudut hatinya masih mengingati raut wajah emak yang pernah melahirkan dan meninggalkannya dulu. Namun, Raudhah hanya memendamkan saja dan merahsiakan dari pengetahuan suami dan anaknya. Namun, layanan Raudhah terhadap Rubiah jelas ketara menunjukkan rasa dendam dan kebencian.

Raudhah sengaja memasakkan lauk kampung kegemarannya yang pernah menjadi masakan emaknya suatu ketika dulu dan menghidangkan untuk ahli keluarganya tetapi untuk makcik Rubiah, Raudhah hidangkan bersama nasi yang berkerak. Makcik Rubiah mula mengesyaki yang Raudhah adalah anaknya dulu.

Satu hari ketika semua ahli keluarga yang lain tiada di rumah, Makcik Rubiah mengambil kesempatan tersebut untuk menyelongkar masuk bilik utama yang diduduki Raudhah untuk mencari bukti yang Raudhah adalah anak perempuannya yang terpisah dulu. Namun, perbuatan Rubiah telah disedari oleh Arissa yang pulang awal ketika itu. Rubiah panik dan memberi alasan yang dia sedang mengemas bilik tersebut. Namun, Raudhah pula yang pulang ketika itu mula menuduh Rubiah sengaja menyelongkar untuk mencuri walaupun dia tahu Rubiah sedang mencari bukti. Raudhah telah menghalau Rubiah keluar. Lalu apakah kesudahan drama penuh menyayat hati ini?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV2 Siar Rakaman Legenda Dato’ Dr Ahmad Nawab

Coffee Planet Perkenal Peluang Pekerjaan