in

Bellflower Sinopsis

BELLFLOWER SINOPSIS
Bellflower mengikuti kisah dua rakan yang menghabiskan masa membina senjata penuju api di samping senjata pemusnah massa lain dengan harapan bahawa satu malapetaka yang maha dahsyat akan berlaku, yang bakal membuka jalan untuk ketibaan pasukan imaginasi mereka, Mother Medusa.

Namun, sementara mereka menanti kemusnahan ini, pengembaraan mereka bertukar menjadi penuh peristiwa tanpa disangka-sangka, apabila mereka bertemu dengan seorang gadis yang penuh karisma, dan seorang daripada mereka jatuh cinta dengannya. Persahabatan dengan rakan-rakan yang baru mereka temui ini terjalin dengan pantas dan bermulalah pengembaraan yang sarat dengan pengkhianatan, cinta, kebencian dan keganasan ekstrem yang akhirnya membawa kepada kemusnahan yang jauh lebih dahsyat daripada malapetaka khayalan mereka.

PENGEMBARAAN GENG PEMBIKIN FILEM YANG POKAI, BERBAHAYA, DAN SUKA MELANGGAR UNDANG-UNDANG, ‘COATWOLF’
Coatwolf telah mendapat $5,000 daripada tugasan terakhir dan mula bersiap sedia untuk memulakan projek baharu yang kelihatan begitu sukar dan hampir mustahil. Namun, mereka tetap nekad untuk melaksanakannya. Penggambaran utama Bellflower bermula secara rasmi pada bulan Julai 2008 di sekitar Oxnard dan Ventura, California. Pejabat penerbitan / ruang istirahat dan kediaman para pelakon dan kru adalah bahagian bangunan pejabat yang ditinggalkan, yang mengandungi satu bilik mandi, satu dapur dan beberapa pejabat kosong yang dilengkapi katil. Inilah yang menjadi kediaman bagi pasukan Coatwolf selama lebih dua tahun.

Bajet yang mereka ada hampir habis dibelanjakan dengan agak pantas. Tidak lama kemudian mereka tidak lagi mampu membayar balik wang petrol atau menyediakan makanan untuk para pelakon dan kru mereka yang sangat kecil bilangannya. Mereka juga tiada permit atau kebenaran yang sah di sisi undang-undang, lantaran itu, mereka tidak mengikuti sebarang protokol.

Beberapa kali sepanjang proses penerbitan, projek ini kelihatan hampir pasti gagal: Kamera yang bermasalah, masalah kenderaan, waran tangkap yang dikeluarkan kepada Evan Glodell, masalah lokasi, dan juga pelakon serta kru…

Beberapa kenderaan yang dibina khas telah digunakan dalam filem ini, namun tiada satu pun yang berdaftar atau dilindungi insurans. Jadi mereka terpaksa menanggung risiko yang besar apabila memandunya di atas lebuh raya atau jalan raya. Senjata penuju api yang berfungsi sepenuhnya, perlu digunakan beberapa kali sepanjang penggambaran filem ini. Meskipun secara teori senjata ini boleh disifatkan sebagai senjata pemusnah massa, ada kalanya, mereka terpaksa membawa senjata ini merentasi kejiranan yang dipenuhi penduduk.

Dalam satu adegan, api yang keluar daripada kereta ‘Medusa’ hampir menyebabkan dawai elektrik terbakar semasa penggambaran. Kru dan pelakon juga sentiasa terdedah pada kemungkinan sistem ekzos penuju api tidak berfungsi dengan betul dan menyebabkan letupan. Bukan itu sahaja, mereka

juga terpaksa meletupkan tangki berisi propana dengan slug senapang twelve-gauge semasa ia sedang terbakar. Semua ini menyebabkan semua yang terlibat sentiasa berasa tidak selesa dan diselubungi kecemasan… Pendek kata, keseluruhan penggambaran filem ini sememangnya mengundang bencana, yang digarap oleh jurutera pintar dan gila, Evan Glodell.

Mujurlah, tidak sekalipun berlaku peristiwa yang menyebabkan maut, kecederaan atau mengakibatkan penggambaran perlu dihentikan. Justeru, usaha untuk menghasilkan juga filem ini diteruskan dengan penuh gigih. Akhirnya tibalah masa untuk mereka melakukan penggambaran adegan terakhir pada penghujung Oktober 2008 yang lalu. Penggambaran filem Bellflower akhirnya selesai juga, namun ia tidak diiringi sebarang majlis istimewa atau keraian. Penggambaran berlangsung selama 90 hari.

Mereka semua tahu mereka telah melakukan sesuatu yang luar biasa dan istimewa, namun mereka semua pokai – pokai wang, pokai tenaga dan pokai emosi. Tibalah masa untuk kembali ke realiti kehidupan.

BIODATA EVAN GLODELL
Penulis/ Pengarah/ Pemegang watak ‘Woodrow’
Evans berasal dari Wisconsin, namun berpindah ke California dengan sekumpulan rakan karib ketika usia beliau mencecah 20an, dalam usaha mengejar impian untuk menjadi pembikin filem. Beliau dan saudara lelaki beliau telah menubuhkan Brothers Glodell yang akhirnya berkembang menjadi kultus yang digilai di internet, hasil daripada video pendek yang pelik dan menggelikan hati, yang sesetengahnya menggunakan pelakon Bellflower, Jessie Wiseman dan Vincent Grashaw. Lama kelamaan apabila ahli lain mula menyertai Coatwolf, termasuk Tyler Dawson dan Joel Hodge, Evan berusaha untuk memulakan, STIM TV di mana beliau mencipta konsep dan berlakon dalam sitkom penuh sinis dan ada kalanya menyeramkan, BOSS OF THE GLORY. Evan pernah mengarah pelbagai video muzik, dan yang paling terkenal ialah LET ME UP, oleh Cursive. Semasa beliau bekerja sebagai juru sinematografi, Evan telah melakukan penggambaran filem seram PLACEBO dan filem pendek SAVANNA, yang telah ditayangkan semasa Festival Filem Beverly Hills dan memenangi anugerah “Kecemerlangan dalam Filem” dalam Pertandingan Accolade.

BELLFLOWER, yang merupakan kisah peribadi yang penuh aksi dan menggunakan banyak peristiwa sebenar, adalah hasil arahan filem panjang Evan Glodell yang sulung! Penggambaran bermula awal 2008 sebaik sahaja sistem optik Format Ultra Besar ‘Coatwolf Model II’ inovatif yang dibuat khusus untuk filem ini, siap dibina. Bellflower merupakan hasil titik peluh cetusan cinta Evan yang mendalam terhadap perfileman, sehinggakan beliau sanggup mengorbankan hampir segala- galanya, termasuk harta benda peribadi beliau, dan beliau perlu tinggal di sayap bangunan pejabat yang terbiar untuk membiayai filem ini. Evan merupakan penulis yang prolifik dan ketika ini, sudah pun menggarap satu siri filem panjang yang akan diusahakan selepas Bellflower: TALES FROM THE APOCALYPSE.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Indie Bellflower di Sundance Channel

Program Terbaru Astro Sempena Bulan Puasa 2012