in ,

HASNOL RAHMAT, DAYANG NAZILA, KUNA DALAM SLOT TELEMOVIE RAYA RTM2

MERIAHKAN AIDILFITRI ANDA BERSAMA SLOT TELEMOVIE RAYA RTM2 YANG MENYAJIKAN EMPAT DRAMA HEBAT.

Bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah membariskan empat buah telemovie hebat buat tatapan anda semua sempena cuti hari lebaran yang mulia. Antaranya, ‘Mengejar Syawal’, ‘Sesuci Al Fitri’, ‘Hasanah’ dan juga ‘Tasbih Terakhir’. Diharap ia dapat membantu anda mengisi hari cuti anda seisi keluarga.

Tirai akan dibuka pada 1 Oktober 2008 (Rabu), jam 12.30 tengah malam di RTM2. Menerusi drama ‘Mengejar Syawal’, penonton akan dibawa mengikuti kisah yang berlaku menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri. Suatu insiden berlaku dalam kehidupan tiga watak utamanya yang hendak pulang ke kampung di saat-saat akhir. Dalam perjalanan pelbagai insiden terpaksa mereka lalui. Mereka bertiga sedar bahawa keharmonian bersama keluarga dan keinsafan diri itu yang lebih utama. Telemovie hebat terbitan Television Airtime Services ini dibintangi oleh Hasnol Rahmat, Kuniey, Kuna, Kismar dan Shahrul Nizam

Pada keesokan harinya, 2 Oktober 2008 (Khamis) pada jam 12.30 tengah malam menerusi RTM2 dengan menampilkan sebuah drama terbitan Bright Network Sdn. Bhd. bertajuk ‘Sesuci Al Fitri’.  ‘Sesuci Al Fitri’ berkisar tentang Ayub seorang guru yang tinggal bersama isterinya Zainab dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Azman. Kawasan kejiranan mereka mempunyai pelbagai kaum iaitu Cina, India dan Sikh. Jirannya, Shanti dan Rajendran mempunyai seorang anak dan Shanti sedang mengandung enam bulan. Sikap Rajendran yang kaki judi dan kaki botol menyebabkan rumah tangga mereka tidak aman dan anaknya Raju menjadi mangsa. Anak yang dilahir disusukan oleh Zainab lantaran Shanti menghidap penyakit kanser. Anak-anaknya dijaga oleh Zainab sehingga dewasa manakala Rajendran dimasukkan dalam penjara.

Barisan pelakon popular tanah air yang menjayakan drama ini adalah Shaharuddin Thamby, Safura Ya’cob, Kencana Devi, Ramasundram, A.J Abiraman, Irfan Roslan, C. Kumaresan dan Vilasanee. 

Sementara itu,  pada 3 Oktober 2008 (Jumaat), jam 12.30 tengah malam, para peminat setia RTM2 akan dihidangkan dengan sebuah cereka berjudul ‘Hasanah’. Cereka terbitan syarikat Television Airtime Services ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak bernama Hasanah berusia 10 tahun yang juga merupakan anak yatim. Hasanah tinggal bersama neneknya, Mak Jah. Hasanah seorang kanak-kanak yang cerdik, rajin dan penyabar. Dia amat merindui ibunya, sehinggalah dia menyedari hakikat bahawa kasih sayang Allah s.w.t dan masyarakat kepadanya sebenarnya pengganti kepada kasih sayang ibu yang dirinduinya selama ini.

Antara pelakon yang menjayakan drama ini adalah Dayang Nazila, Elyssa Murni, Johari Azmi, Afida Es dan Fathil Dani.

Sebagai penutup tirai, slot Telemovie Raya akan menghidangkan drama ‘Tasbih Terakhir’  yang membariskan pelakon berbakat seperti Nasir Bilal Khan, Helmi Husaini, Jasmin Hamid, Safura Ya’cob, Sidek Husin dan Zack Taipan. 

‘Tasbih Terakhir’ yang merupakan sebuah drama hasil terbitan Enuja Production Sdn. Bhd. mengisahkan tentang seoran remaja lelaki bernama Mohd Asraf yang berusia 14 tahun. Dia merupakan seorang remaja yang matang daripada usianya. Asraf membuat pelbagai kerja sambilan lantaran ayahnya telah meninggal dunia manakala ibunya bekerja sebagai pembantu rumah bagi menyara hidup mereka berdua.

Kemudian ibunya berkahwin lain dan sedari itu kehidupan mereka kembali seperti biasa. Tetapi segalanya berubah apabila ibunya meninggal dunia dan ayah tirinya berkahwin lain. Asraf dihalau dari rumah dan melibatkan diri dengan najis dadah. Keadaan Asraf semakin kritikal sehinggalah dia bertemu dengan Haji Rusdi. Asraf kembali ke rumah ayah tirinya dan melihat keadaan ayah tirinya nazak dan menghembuskan nafas pada pagi hari raya.

Pastikan anda semua tidak akan melepaskan peluang keemasan ini bagi menonton semua program menarik dan menghiburkan yang disajikan khas untuk anda sempena Hari Raya Aidilfitri menerusi RTM2 yang menggunakan tagline “Meriah Aidilfitri”. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lirik Mari Beraya – Metadome All Stars

FORUM PERDANA & DOKU KHAS AIDILFITRI, SEMBANG PAGI RAYA