Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus melangkah ke hadapan dengan memperkukuh kandungan siarannya menerusi pelancaran segmen terbaharu berjudul “TRAXX Trade Talk” (TTT) di TRAXXfm, stesen radio berbahasa Inggeris milik RTM. Segmen ini mula bersiaran sejak 2 September 2025 dan dilancarkan secara rasmi pada 9 Oktober 2025 oleh Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman di ibu negara. TTT merupakan hasil kerjasama antara Seksyen Berita Radio dan Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM, menandakan satu langkah strategik untuk menjadikan siaran RTM lebih relevan dengan denyut nadi ekonomi semasa.
Disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.45 pagi dan 6.45 petang, segmen ini disasarkan kepada kumpulan PMEB (Professional, Manager, Executive dan Business) yang mencari maklumat ekonomi dan pasaran secara cepat, padat serta mudah difahami. Menariknya, TTT dikendalikan oleh trio penyampai TRAXXfm yang cukup dikenali – Double D, Otto dan Els, bersama pembaca berita RTM yang berpengalaman dalam penyiaran bahasa Inggeris.
Kandungan TTT Sentuh Isu Ekonomi, ESG, Dan Inovasi Pasaran Global
TRAXX Trade Talk tidak sekadar menyiarkan laporan ekonomi biasa. Segmen ini membawa pendekatan lebih komprehensif dengan fokus kepada isu-isu ekonomi utama, trend pasaran global dan sektor digital. Antara topik menarik yang dibincangkan termasuk ekonomi digital, environmental, social and governance (ESG), kelestarian perniagaan, rantaian bekalan global, inovasi teknologi, dan perkembangan komoditi dunia.
Pendengar turut menerima kemas kini harian mengenai pergerakan Bursa Malaysia, prestasi Ringgit berbanding mata wang utama dunia, serta harga komoditi semasa seperti minyak mentah dan emas. Semua ini disampaikan dengan gaya yang santai tetapi padat dengan fakta — menjadikan TTT sebagai satu sumber maklumat yang bukan sahaja berguna untuk ahli korporat, tetapi juga untuk individu yang ingin memahami perkembangan ekonomi dengan lebih mendalam.
Dalam ucapannya semasa majlis pelancaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menekankan kepentingan strategik segmen ini untuk menjadikan RTM kekal relevan di era digital. Katanya,
“TRAXX Trade Talk bukan sekadar segmen radio. Ia adalah simbol transformasi RTM untuk lebih digital, inklusif, dan bersinergi dengan industri. Kita mahu pendengar profesional melihat RTM sebagai sumber maklumat ekonomi yang boleh dipercayai dan mudah diakses setiap hari.”
TRAXXfm Terus Kukuhkan Peranan Sebagai Stesen Radio Profesional Negara
Dengan frekuensi 90.3 MHz di Lembah Klang dan 100.1 MHz di Selangor, TRAXXfm terus memainkan peranan penting sebagai penyiar awam berbahasa Inggeris yang menawarkan gabungan hiburan dan informasi. Ia bukan sahaja menyiarkan muzik kontemporari, tetapi turut mengetengahkan program bual bicara, gaya hidup, dan berita ekonomi yang relevan untuk pendengar bandar dan profesional muda.
Selain TRAXX Trade Talk, stesen ini juga memperkenalkan beberapa segmen lain yang memperkukuh kandungan ekonomi dan keusahawanan:
- Market Recap (Isnin) – bersama CGS International Securities Malaysia, memberi rumusan pasaran saham mingguan.
- Mind Your Business (Rabu) – mengetengahkan peluang perniagaan baharu serta kisah inspirasi usahawan tempatan.
- Tech-Time (Khamis) – segmen kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang membuka ruang untuk inovator dan usahawan teknologi berkongsi idea serta peluang dalam bidang sains dan inovasi.
Kesemua segmen ini bersiaran dalam TRAXX Morning Show (6.00 – 10.00 pagi) dan TRAXX Evening Drive (3.00 – 8.00 malam) — menjadikan TRAXXfm bukan sekadar hiburan telinga, tetapi juga sumber ilmu harian buat mereka yang mahu kekal ‘in the know’.
TRAXX Trade Talk Jadi Nadi Baharu RTM Dalam Era Digital
Langkah RTM memperkenalkan segmen seperti TTT mencerminkan keupayaan organisasi ini membaca perubahan landskap media dan keperluan masyarakat moden. Dalam dunia yang semakin pantas dan sarat dengan maklumat, pendengar kini mencari kandungan yang cepat, tepat dan berautoriti. TRAXX Trade Talk hadir tepat pada waktunya untuk mengisi ruang itu.
Program ini juga menjadi sebahagian daripada strategi penjenamaan semula RTM yang ingin menampilkan wajah baharu — lebih berani, profesional, dan berpaksikan data serta digitalisasi. Usaha seperti ini membuktikan bahawa stesen radio tradisional masih mempunyai kekuatan tersendiri apabila digabungkan dengan analisis bernas dan pendekatan penyiaran moden.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, pelancaran TRAXX Trade Talk adalah satu langkah progresif yang sangat wajar dan bijak oleh RTM. Dalam suasana media yang semakin kompetitif, keupayaan RTM menyesuaikan diri dengan keperluan golongan profesional dan urban adalah satu bukti bahawa stesen awam ini masih bernafas segar. Segmen seperti TTT bukan sekadar memberi info, tapi membina kredibiliti dan kepercayaan.
Budiey berharap selepas ini, RTM akan memperluas lagi segmen seperti ini dalam pelbagai bahasa – agar kandungan ekonomi dan pasaran tempatan dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Malaysia tanpa halangan bahasa. Dan siapa tahu, mungkin satu hari nanti TRAXX Trade Talk akan ada versi podcast khas di platform digital. Itu barulah forward-thinking broadcasting!