in ,

Industri Muzik Malaysia Desak Sokongan Belanjawan 2026 dari Kerajaan

RIM Mahu Dana Lebih Besar Dan Polisi Kukuh Untuk Lonjakkan Industri Muzik Tempatan Ke Tahap Global

Industri muzik Malaysia kini berdiri di persimpangan penting — antara potensi besar dan cabaran struktur yang masih belum diselesaikan. Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil dengan gesaan tegas agar kerajaan memberi sokongan yang lebih kukuh dan berstrategi menjelang pengumuman Belanjawan 2026, supaya ekosistem muzik tempatan dapat terus berkembang sebagai salah satu enjin ekonomi digital negara.

Industri Muzik: Aset Digital Yang Semakin Bernilai

Menurut RIM, industri muzik tempatan bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan sebahagian daripada industri kreatif negara yang berpotensi besar untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Malah, Menteri Digital YB Gobind Singh Deo sebelum ini turut menegaskan bahawa rakaman muzik kini diiktiraf sebagai aset digital penting yang boleh menjadi antara tonggak utama kepada sistem kewangan masa depan negara.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, menjelaskan bahawa peningkatan dana untuk pembangunan industri muzik tempatan akan membawa manfaat ekonomi yang besar kepada Malaysia. Katanya, “Berdasarkan Kajian Impak Ekonomi Industri Muzik Malaysia yang dijalankan oleh PwC bagi tempoh 2016 hingga 2020, industri ini telah menjana hasil sebanyak RM19.4 bilion, menyumbang RM531 juta dalam cukai tahunan, dan menyokong 111,000 peluang pekerjaan setiap tahun.”

Tambah Rosmin, “Dengan peningkatan dana, manfaat ini bukan sahaja akan dirasai oleh pemuzik dan penerbit, tetapi juga oleh sektor berkaitan lain seperti acara muzik langsung, tempat hiburan, media penyiaran, dan pelancongan.”

Tahun 2024 Catat Rekod Pendapatan Tertinggi

RIM turut berkongsi bahawa tahun 2024 menjadi detik bersejarah apabila pendapatan industri muzik Malaysia mencapai RM339 juta, menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah industri muzik negara. Pendapatan ini datang daripada pelbagai sumber seperti platform digital dan media sosial — YouTube, Spotify, Apple Music, TikTok dan Facebook, serta kutipan daripada organisasi pengurusan kolektif (CMO) seperti MACP, PPM dan RPM.

Namun begitu, Rosmin menjelaskan bahawa angka ini belum termasuk hasil daripada sektor penerbitan muzik, acara langsung, dan pengurusan artis, kerana data masih belum lengkap. “Kalau semua itu dimasukkan sekali, jumlah sebenar pendapatan industri muzik Malaysia sebenarnya jauh lebih besar,” katanya.

Dana Kreatif Digital Dorong Kualiti Kandungan Muzik Tempatan

Rosmin turut menegaskan bahawa sokongan kerajaan melalui Dana Kreatif Digital Industri Muzik (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi telah memberi impak besar terhadap peningkatan kualiti muzik Malaysia. Beliau menyebut bahawa hasil daripada inisiatif DKK, artis seperti Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Hazama berjaya mendominasi senarai lima teratas dalam pelbagai kategori Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini.

Dayang Nurfaizah, misalnya, membawa pulang Anugerah Album Terbaik menerusi Belagu 2. Ini bukti jelas bahawa pelaburan kerajaan melalui dana DKK memang berkesan. Jika pemberian ini diteruskan untuk pemenang terpilih AIM23 dan AIM24, kita pasti akan melihat lebih banyak kandungan berkualiti yang mampu menembusi pasaran antarabangsa,” jelas Rosmin penuh harapan.

Potensi Besar Untuk Menembusi Pasaran Antarabangsa

Rosmin juga menekankan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan unik untuk menembusi pasaran global, khususnya di rantau Asia. “Kepelbagaian masyarakat Malaysia membolehkan kita hasilkan rakaman muzik dalam pelbagai bahasa – Melayu, Cina dan India – yang boleh diterima di pasaran besar seperti China, India dan Indonesia,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa lagu-lagu keagamaan Islam, khususnya dalam genre nasyid, juga berpotensi untuk menjadi eksport utama muzik Islamik global, jika disokong dengan dasar kerajaan yang betul dan usaha bersama antara sektor awam serta swasta. “Kita boleh belajar daripada kejayaan Korea Selatan dan Jepun yang berjaya memanfaatkan aset digital mereka hingga ke pentas dunia,” ujar Rosmin.

Belajar Dari Korea Selatan: K-Pop Sebagai Inspirasi

Sebagai contoh, Rosmin menjelaskan bahawa kerajaan Korea Selatan telah memainkan peranan aktif dalam membina ekosistem industri muzik mereka. Pelbagai dasar dan inisiatif diperkenalkan untuk meletakkan muzik sebagai sektor ekonomi strategik, dan hasilnya, K-Pop kini menjadi eksport utama negara itu.

Menurut laporan majalah kewangan terkenal Forbes, pelaburan kerajaan Korea Selatan dalam industri K-Pop meningkat mendadak dari 1 bilion Won pada 2009 kepada 319 bilion Won (USD280 juta) dalam tempoh empat tahun, dan dijangka melebihi 696 bilion Won (USD584 juta) pada tahun hadapan. “Itu menunjukkan bagaimana sebuah negara boleh menjadikan muzik sebagai pemacu ekonomi,” kata Rosmin.

Industri Muzik Malaysia Menuju Era Baharu

Menjelang tahun 2026, Rosmin percaya bahawa industri muzik Malaysia kini berada di posisi strategik untuk berkembang lebih jauh, bukan sahaja dalam konteks hiburan, tetapi sebagai aset digital berdaya saing di rantau Asia.

“Kalau kerajaan memberi keutamaan kepada dana pembangunan yang lebih besar, memperkukuh program pembangunan bakat tempatan, dan mempergiat promosi muzik tempatan ke luar negara, tidak mustahil Malaysia boleh menjadi kuasa besar kandungan digital Asia,” katanya menutup kenyataan.

Untuk maklumat lanjut mengenai usaha RIM, orang ramai boleh melayari www.rim.org.my atau mengikuti akaun rasmi mereka di Facebook (RecordingIndustryMalaysia) dan Instagram @recordingindustrymalaysia.

Apa Kata Budiey?

Budiey setuju sepenuhnya bahawa muzik bukan sekadar hiburan — ia adalah ekonomi, identiti, dan warisan digital negara. Tapi untuk capai potensi itu, Malaysia perlu keluar dari kerangka lama yang melihat industri ini sebagai hanya “budaya popular”. Kita perlukan pendekatan dasar yang strategikpelaburan jangka panjang, dan kesedaran bahawa artis juga adalah usahawan digital.

Kalau Korea boleh jadikan K-Pop simbol global dengan pelaburan berbilion Won, kenapa tidak Malaysia dengan nasyid, pop Melayu, dan muzik multibahasa kita sendiri? Sudah tiba masanya Belanjawan 2026 menjadi titik perubahan — dari sekadar menyokong ke arah benar-benar mengangkat muzik Malaysia ke pentas dunia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

RTM Raikan Deepavali Dengan 12 Program Istimewa di Saluran TV