Ramai peminat muzik Nusantara sudah lama menantikan janji ini, dan kini ia bakal menjadi nyata. Tur Sama Sama, yang sebelum ini mencetuskan fenomena di Indonesia, akhirnya akan mendarat di Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025 di Idea Live Arena. Malam itu akan menyaksikan lima pemuzik berkaliber tinggi iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf tampil bersama-sama dalam sebuah konsert yang dijanjikan penuh magis, kolaborasi luar biasa dan pengalaman yang sukar diulang kembali.
Ketika menutup persembahan terakhir mereka di Bogor pada Mei lalu, Tulus sempat berjanji kepada ribuan penonton bahawa jelajah ini tidak akan berhenti di Indonesia sahaja. “Khabar baiknya adalah kami akan melanjutkan perjalanan. Kita bakal pergi ke Malaysia,” ujar Tulus yang disambut sorakan padu peminat. Janji itu kini ditepati apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi kelima selepas Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor.
Kuala Lumpur Jadi Destinasi Perdana Tur Sama Sama Di Luar Indonesia
Idea Live Arena, yang kini semakin sinonim dengan acara berskala besar, bakal menjadi saksi kepada pertemuan lima figura paling berpengaruh dalam industri muzik Nusantara. Menurut pihak penganjur bersama iaitu PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu, dan Thrive, Kuala Lumpur dipilih kerana peminat di Malaysia terkenal dengan apresiasi tinggi terhadap muzik alternatif dan indie dari seberang.
“Tentu sahaja pengumuman Tur Sama Sama yang bakal diselenggarakan di Idea Live Arena menjadi sebuah mimpi besar yang hampir direalisasikan kami selaku penganjur setelah mendapat sambutan hangat di Indonesia,” jelas Udzir Harris dari Thrive. Sementara itu, Bram Tulong dari ExpoIndo menambah, “Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi, Idgitaf akan bertandang ke sini membawa tema kolaborasi tak biasa di Tur Sama Sama juga adalah janji kerana sedar apresiasi peminat terhadap mereka cukup besar.”
Format Persembahan Dinamik Dari Solo, Duet Hingga Kuintet
Apa yang menjadikan Tur Sama Sama ini berbeza daripada konsert biasa adalah formatnya yang dinamik dan penuh eksperimen. Peminat bukan sahaja akan mendengar lagu-lagu popular dari setiap artis, tetapi juga melihat mereka bertukar lagu, berduet secara spontan, beraksi dalam trio bahkan kuintet, sesuatu yang jarang berlaku dalam konsert solo.
Sal Priadi sendiri mengakui betapa istimewanya konsep ini. “Kami sangat tidak sabar untuk berkongsi persembahan dalam format kolaborasi yang tidak pernah kami lakukan di pentas selain Tur Sama Sama. Selamat menikmati format dinamik dari solo, duet, trio, hingga kuintet kami.”
Konsert ini dijangka menjadi ruang eksplorasi muzik yang segar, di mana setiap lagu akan diberi nafas baharu melalui susunan muzik khas yang dicipta khusus untuk tur ini. Ia bakal menjadi medan eksperimen yang membuatkan peminat dapat melihat sisi lain setiap artis kesayangan mereka.
Tiket Bermula Dari RM228 Dengan 11 Kategori Eksklusif
Berita baik untuk peminat, tiket pra-penjualan (presale) telah dibuka mulai 29 September 2025. Harga tiket bermula dari RM228 dan menawarkan 11 kategori berbeza iaitu Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite. Tiket boleh didapati menerusi BBO Events dan samasamatur.com.
Menurut Tiur Tobing dari Tiga Dua Satu, “Sampai jumpa di Tur Sama Sama di Idea Live Arena pada 5 Disember 2025. Jangan sampai tidak membeli tiketnya kerana anda akan rugi terlepas momen sebuah tur kolaborasi paling epik di tahun ini.”
Bagi peminat tegar, kategori tiket premium seperti Emerald Extra dan Group Suite dijangka menjadi rebutan kerana menawarkan pengalaman menonton lebih eksklusif, termasuk lokasi tempat duduk strategik serta kemudahan tambahan.
Kejayaan Di Empat Kota Indonesia Jadi Pemanas Suasana
Tur Sama Sama sebelum ini sudah membuktikan kehebatannya dengan kejayaan luar biasa di Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor. Sambutan hangat penonton yang memenuhi setiap lokasi membuktikan bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan biasa, sebaliknya ia adalah perayaan muzik yang penuh jiwa, emosi dan keintiman.
Bermula dari persembahan penuh tenaga Tulus, kehangatan vokal Sal Priadi, kelunakan suara Dere, keunikan Kunto Aji hingga keaslian Idgitaf, setiap kota di Indonesia menjadi saksi bahawa projek kolaboratif ini adalah sesuatu yang benar-benar “langka”.
Disokong Oleh Tourism Malaysia Dan Rakan Strategik Lain
Menariknya, Tur Sama Sama di Kuala Lumpur turut mendapat sokongan Tourism Malaysia di bawah kempen Cuti-Cuti Malaysia, menandakan acara ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga menyumbang kepada tarikan pelancongan negara. Turut menjadi rakan strategik adalah myBCA sebagai bank rasmi, stesen radio popular ERA, Sinar dan THR Gegar, serta Astro Gempak sebagai platform digital rasmi. Kolaborasi padu ini menjadikan acara ini lebih besar skalanya dan memberi impak meluas kepada industri hiburan Malaysia.
Apa Kata Budiey?
Budiey melihat Tur Sama Sama sebagai salah satu acara muzik paling epik yang akan menggegarkan Kuala Lumpur tahun ini. Kehadiran lima nama besar muzik Nusantara dalam satu malam dengan format persembahan yang unik, segar dan kolaboratif menjadikannya konsert yang wajib ditonton. Budiey yakin, peminat bukan sahaja akan disajikan dengan lagu-lagu hits, tetapi juga pengalaman muzik eksperimental yang memberi sentuhan berbeza pada karya mereka.
Dengan tiket bermula RM228 yang sudah mula dijual, jangan tunggu lama. Kalau terlepas, memang akan menyesal kerana inilah peluang keemasan untuk merasai satu malam penuh magis di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025.
Soalannya sekarang, adakah anda sudah bersedia untuk jadi sebahagian daripada sejarah muzik Nusantara ini?