Ayer Keroh, 26 September 2025 – Buat pertama kalinya, Tourism Malaysia memperkenalkan Visit Malaysia Travel Meet 2025 (VMTM 2025), sebuah program berskala besar yang diadakan sempena World Tourism Day dan World Tourism Conference 2025. Acara gergasi ini berlangsung dari 26 hingga 28 September di Melaka International Trade Centre (MITC), sekali gus membuka jalan untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
VMTM 2025 menjadi platform unik untuk menghubungkan pelbagai pihak – dari penggiat industri pelancongan hingga pengguna umum – melalui dua segmen utama: B2B (business-to-business) yang melibatkan syarikat korporat dan pemain industri, serta B2C (business-to-consumer) yang terbuka kepada orang ramai. Dengan lebih 180 pempamermenawarkan pakej pelancongan eksklusif pada harga istimewa, pameran ini dilihat sebagai enjin penggerak untuk memperkasa industri pelancongan domestik.
Perasmian Bersejarah Oleh Ketua Menteri Melaka
Acara ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, dengan kehadiran YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Perasmian ini bukan sekadar simbolik, malah menandakan titik penting dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan unggul di mata dunia.
Menurut Ab Rauf dalam ucapannya, “Alhamdulillah, esok akan tercatat satu lagi lembaran bersejarah buat negeri Melaka apabila lebih 155 delegasi antarabangsa bersama ahli-ahli United Nations World Tourism Organization (UNWTO) akan berkampung di bumi bersejarah ini, bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia.”
Beliau menegaskan bahawa VMTM 2025 bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi “jambatan untuk memperluas rangkaian antarabangsa, merintis peluang pelaburan baharu serta ruang kolaborasi yang mampu melonjakkan industri pelancongan negara kita ke tahap yang lebih tinggi.”
Menyemarakkan Pelancongan Domestik Dengan Sasaran Tinggi
Tourism Malaysia meletakkan sasaran besar – 280 juta pelawat domestik pada tahun 2025, sebagai langkah awal menuju VM2026. VMTM 2025 diharap menjadi pemangkin yang memperkasa pelancongan interstate dan intrastate, dengan penawaran pakej merangkumi aktiviti pengembaraan seperti sukan air, pelancongan alam semula jadi, taman tema serta pengalaman budaya.
Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati persembahan artis tanah air, tarian kebudayaan, aktiviti kraf tradisional, makanan warisan serta cabutan bertuah – menjadikan acara ini lebih daripada sekadar pameran, tetapi sebuah festival pelancongan untuk seisi keluarga.
Inisiatif Dan Pencapaian Melaka Sebagai Negeri Pelancongan
Melaka terus membuktikan reputasinya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang hidup dengan sejarah dan budaya. Pada tahun 2024, negeri ini mencatat 15 juta pelancong, peningkatan 74.21% berbanding tahun sebelumnya, dengan hasil pendapatan pelancongan berjumlah RM12.68 bilion. Tahun 2025 pula disasarkan lebih 16.5 juta pelancong dengan hasil bernilai RM17.97 bilion.
Ab Rauf turut mengumumkan pelbagai inisiatif menarik seperti:
- Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir yang menggamit hampir 4 juta pengunjung sehingga Julai 2025, kini diperluas ke Klebang dan Dataran Keris, Alor Gajah.
- Inisiatif Melaka Bila Larut Malam, di mana pusat pelancongan dan pusat beli-belah dibuka sehingga jam 2 pagi dengan tawaran hanya RM10 – memberi peluang kepada golongan B40 menikmati hiburan dan pelancongan.
- Kerjasama bersejarah dengan Hard Rock Café Melaka dan Zus Coffee Malaysia, menjadikan Melaka negeri pertama di Malaysia mencipta sinergi sebegini.
- Mengangkat permainan tradisional seperti Konda Kondi dan Dam Aji, sehingga Melaka mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjur Pertandingan Dam Aji Terbesar di Malaysia pada tahun 2024.
Selain itu, Melaka memperkenalkan inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) dengan lebih 1,400 sukarelawan terlatih. Sehingga kini, ia berjaya mengendalikan lebih 300 kes kecemasan, sekali gus meningkatkan keselamatan pelancong. Menariknya, sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024, negeri ini mencatat rekod sifar jenayah di kawasan tumpuan pelancong – satu pencapaian yang membuktikan Melaka sebagai destinasi selamat dan kondusif.
VMTM 2025 Sokongan Penuh Agensi Dan Negeri
Penganjuran kali ini turut disokong agensi-agensi di bawah MOTAC seperti Istana Budaya, ASWARA, Lembaga Seni Visual Negara, ITC, Jabatan Warisan Negara, Kraftangan Malaysia, MyCEB dan Hotel Seri Malaysia. Tidak ketinggalan badan pelancongan negeri seperti Tourism Melaka, Tourism Pahang, LADA, Tourism Perak, Tourism Johor dan Sarawak Tourism Board yang memperkukuh lagi pengaruh acara ini.
Apa Kata Budiey?
Melihat kepada skala dan matlamat besar yang digerakkan melalui VMTM 2025, jelaslah Malaysia sedang mengorak langkah berani untuk memastikan VM2026 bukan sekadar kempen biasa tetapi satu gelombang besar yang mampu mengubah lanskap pelancongan negara. Apa yang menarik, pendekatan yang dilaksanakan kali ini bukan sahaja menyasarkan pelancong antarabangsa, tetapi memberi tumpuan besar kepada pelancongan domestik – satu langkah strategik kerana rakyat Malaysia sendiri adalah pengguna utama industri ini.
Bagi Budiey, inisiatif seperti Melaka Bila Larut Malam dan Zon Bebas Kenderaan menunjukkan bahawa pelancongan bukan sekadar tentang menarik pengunjung, tetapi bagaimana ia boleh memberi impak terus kepada masyarakat tempatan, terutama peniaga kecil dan keluarga B40. Jika model ini berjaya diperluaskan ke negeri lain, Malaysia boleh menjadi contoh terbaik bagaimana pelancongan inklusif dan mampan dijayakan.
Soalnya sekarang, mampukah kita mengekalkan momentum ini hingga ke 2026? Jika semua pihak – kerajaan, penggiat industri, peniaga kecil, dan rakyat – berganding bahu, Budiey yakin Malaysia bukan sahaja mencapai sasaran 35.6 juta pelancong, malah mampu muncul sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.