in , ,

Ulasan Filem ‘One Battle After Another’ Hidang Pertempuran Emosi & Misteri

Filem Ini Bermula Dengan Letupan Klimaks Dan Tidak Pernah Berhenti Mengejutkan Hingga Babak Penutup

Bayangkan sebuah filem yang bermula seakan babak penutup — ya, One Battle After Another berani buat begitu. Dari awal lagi ia mengheret penonton ke dalam klimaks penuh intensiti, terus menolak kita ke dunia yang penuh tegang, bercelaru, dan tidak pernah beri peluang untuk bernafas lega. Inilah nadi utama filem ini — tiada ruang kosong, tiada detik membosankan.

Apa yang membuatkan ia lebih menarik, arah cerita jauh berbeza daripada yang digambarkan dalam treler. Plot twistyang tidak dijangka, misteri yang berlapis, dan persoalan demi persoalan yang muncul menjadikan pengalaman menonton begitu mendebarkan. Setiap kali kita rasa sudah tahu ke mana hala tuju cerita, Anderson hadir dengan sesuatu yang baharu.

Paul Thomas Anderson Buktikan Dia Masih Raja Penceritaan Sinematik

Filem ini adalah bukti kenapa nama Paul Thomas Anderson selalu disebut-sebut sebagai salah seorang pengarah terhebat Hollywood. Dengan bajet lebih USD100 juta — filem termahal dalam kariernya — beliau menyampaikan sebuah karya yang bukan sahaja penuh aksi, tetapi sarat dengan kritikan politik, drama keluarga, komedi gelap, dan elemen thriller.

One Battle After Another bukan sekadar filem hiburan kosong. Ia adalah refleksi tentang kebodohan politik, kezaliman sistem, dan perjuangan manusia yang sering hilang arah. Gabungan genre yang berani ini menjadikan filem ini berasa segar, gila, tetapi relevan.

Ulasan Filem One Battle After Another Hidangkan Pertempuran Emosi & Misteri

Kisah French 75: Pemberontak, Revolusi Dan Harga Yang Perlu Dibayar

Kisah bermula dengan kumpulan French 75, sekumpulan pemberontak haluan kiri yang menentang sistem dengan menyerang kem imigresen dan organisasi korup. Di tengah kumpulan ini berdiri Perfidia Beverly Hills (Teyana Taylor), seorang wanita penuh marah dan idealisme. Dia bukan sekadar menentang kerajaan, tetapi juga bergelut dengan dirinya sendiri.

Kekasihnya, Bob Ferguson (Leonardo DiCaprio), lebih pasif — seorang pakar bom yang lebih rela mengikut arus berbanding mengejar revolusi. Namun, kehadiran seorang anak perempuan, Willa, mengubah segalanya. Bob mula fokus pada keluarga, sementara Perfidia semakin jauh, menolak tanggungjawab keibuan demi perjuangan politik.

Apabila Perfidia ditangkap, keadaan menjadi semakin rumit. Dia membocorkan maklumat tentang French 75, lalu memberi ruang kepada Steven J. Lockjaw (Sean Penn) — seorang kolonel berhaluan kanan yang obses dengan undang-undang darurat — untuk memburu kumpulan itu. Bob terpaksa melarikan diri bersama Willa, menukar identiti mereka, dan hidup dalam persembunyian. Enam belas tahun kemudian, kisah mereka kembali meletup apabila Willa hilang dan Bob dipaksa berdepan masa silamnya.

Lakonan Padu Dari Barisan Pelakon Ikonik

Leonardo DiCaprio sekali lagi membuktikan kebolehannya. Watak Bob kelihatan loser, pathetic, dan kadang-kadang menjengkelkan, tetapi itulah kekuatannya. Penonton akhirnya simpati, ketawa, dan rooting for him. Malah, ini mungkin antara lakonan paling lucu dalam karier DiCaprio, sesuatu yang jarang kita lihat daripadanya.

Sean Penn pula benar-benar menggila dengan wataknya sebagai Lockjaw. Dia menjelmakan seorang villain yang menjijikkan tetapi magnetik, watak yang boleh masuk ke dalam senarai penjahat ikonik sepanjang zaman.

Teyana Taylor memulakan filem dengan intensiti luar biasa sebagai Perfidia. Walaupun wataknya agak tenggelam di pertengahan cerita, karakternya tetap meninggalkan kesan mendalam.

Benicio del Toro muncul sebagai Sergio, guru seni mempertahankan diri untuk Willa. Dengan gaya tenang dan penuh kawalan, dia mampu mencuri tumpuan walaupun hanya dengan gerak mata.

Dan Chase Infiniti sebagai Willa menjadi “jantung” emosi filem ini. Walaupun dikelilingi pelakon besar, dia tidak kalah. Malah, dia berjaya membawa Willa sebagai remaja yang realistik — rapuh tetapi juga berani.

Ulasan Filem One Battle After Another Hidangkan Pertempuran Emosi & Misteri

Gandingan Genre Yang Liar Tetapi Konsisten

Apa yang membezakan One Battle After Another daripada filem aksi lain adalah bagaimana ia bergabung dengan genre lain tanpa nampak janggal. Babak serius boleh diselangi dengan humor yang menggigit, adegan kejar-mengejar penuh adrenalin tiba-tiba diiringi muzik yang “tak masuk akal” tetapi kena dengan vibe.

Anderson seperti sedang bermain dengan audiens, tetapi dengan penuh kawalan. Kita ketawa, kita cemas, kita berfikir — semua dalam satu masa.

Sinematografi, Muzik Dan Editing Yang Menjadi Nyawa Filem

Dari segi teknikal, ini adalah antara kerja terbaik PTA. Sinematografi penuh tenaga, walaupun hanya babak orang berjalan dalam bangunan terasa seperti konsert rock. Babak imigrasi raid yang diarahkan begitu rapi akan membuatkan penonton terpaku.

Muzik pula bukan sekadar latar, tetapi sebahagian daripada naratif. Kadang-kadang ia kontra dengan adegan, tetapi itulah yang menjadikan filem ini unik — ia menambah mood dan konsistensi. Editing pantas dan dinamik pula menjadikan keseluruhan filem terasa “alive”.

Kelemahan Yang Tidak Membunuh Filem

Ya, filem ini panjang — hampir tiga jam — dan ada bahagian yang terasa boleh dipendekkan. Watak Perfidia juga mungkin tidak dimaksimakan. Ada juga detik di mana “plot armor” terasa jelas. Namun, semua kelemahan ini kecil berbanding keseluruhan pakej besar yang ditawarkan.

Bagi Budiey, kelemahan itu langsung tidak menjejaskan kepuasan menonton. Malah, ia memberi ruang untuk penonton berbincang selepas menonton — sesuatu yang jarang berlaku dengan filem mainstream.

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, One Battle After Another bukan sekadar filem aksi politik Hollywood biasa. Ia adalah karya besar yang mencabar penonton untuk berfikir sambil terhibur. Dengan lakonan padu barisan bintang, pengarahan berani Paul Thomas Anderson, serta gabungan genre yang jarang dibuat orang, filem ini wajar dipanggil antara filem terbaik tahun 2025.

Adakah ia sebuah mahakarya? Mungkin ya, mungkin tidak — ia bergantung pada bagaimana anda menghadam mesej dan naratifnya. Tetapi apa yang pasti, ini adalah sebuah pengalaman sinematik wajib tonton. Jika anda mahu rasa debaran, ketawa, dan berfikir dalam satu malam, inilah filemnya. Dan percayalah, tengoklah di layar terbesar kerana inilah cara terbaik untuk menikmati One Battle After Another.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Galaxy Buds3 FE Bawa Masa Depan Komunikasi Ke Telinga