Desaru Coast, Johor kembali menjadi tumpuan dunia apabila Ombak Festival 2025 menutup tirainya pada 14 September dengan penuh gemilang. Selama tiga hari, dari 12 hingga 14 September, pantai yang terkenal dengan air lautnya yang jernih ini bertukar menjadi sebuah pentas global yang menyatukan lagenda muzik antarabangsa, artis serantau, seni, kulinari dan aktiviti mesra keluarga.
Suasana festival kali ini memang luar biasa – ribuan pengunjung dari pelbagai latar belakang hadir, ada yang datang dengan keluarga, ada yang hadir bersama geng muzik mereka, dan ada juga penggiat seni yang mencari inspirasi. Ombak Festival bukan sekadar acara hiburan, ia adalah perayaan budaya dan komuniti ASEAN yang mengetengahkan kreativiti tanpa batas.
Simply Red Raikan Ulang Tahun Ke-40 Eksklusif Untuk Asia Di Ombak
Kemuncak festival ini pastinya terletak pada persembahan eksklusif Simply Red sempena ulang tahun ke-40 mereka. Bayangkan suasana apabila kumpulan legenda ini mendendangkan lagu-lagu klasik mereka di pentas utama yang berlatarbelakangkan pantai Desaru – satu pengalaman yang benar-benar ikonik.
Pengarah Ombak Festival 2025, Karina Ridzuan, berkata:
“Ombak Festival 2025 direka sebagai satu perayaan berani terhadap kreativiti, budaya dan komuniti ASEAN. Tenaga di pentas dan dari penonton memang luar biasa, dari persembahan Simply Red yang eksklusif, nyanyian penuh jiwa Joss Stone dengan album baharunya, hingga bintang serantau seperti Phum Viphurit, Joe Flizzow, SonaOne dan Ismail Izzani. Semua ini menjadikan festival ini benar-benar pengalaman ASEAN yang tulen.”
Joss Stone, George Clinton Dan Flight Facilities Bawa Kelainan
Selain Simply Red, festival ini turut menyaksikan Joss Stone memukau dengan vokal penuh perasaan sambil memperkenalkan lagu daripada album terbarunya. George Clinton & Parliament Funkadelic pula membawa “funk vibes” yang memang legend, membuatkan penonton berdiri tanpa henti.
Bagi peminat muzik elektronik, kemunculan Flight Facilities dengan debut di Malaysia adalah momen yang ditunggu-tunggu. Duo ini membawa suasana “dance floor anthems” yang mengubah malam Desaru menjadi pesta penuh tenaga.
Bintang-bintang serantau tidak ketinggalan. Nama-nama besar seperti Joe Flizzow, SonaOne, Ismail Izzani, Zamaera, Phum Viphurit, Diskoria, Kyoto Protocol dan ramai lagi menjadikan pentas ini benar-benar meriah dengan warna muzik Asia Tenggara.
Gabungan Muzik, Seni Visual Dan Kulinari Yang Mengasyikkan
Ombak Festival 2025 bukan hanya tentang muzik. Pengunjung turut disajikan dengan pengalaman kulinari yang dikurasi dengan teliti. Sazón Tapas & Grill oleh Andrew Walsh serta Carbon KL’s Smoke & Fire membawa hidangan moden dengan teknik memasak inovatif. Di samping itu, Flavours of Johor memperkenalkan rasa tempatan kepada tetamu antarabangsa, menjadikan pengalaman makan lebih autentik.
Seni visual juga menyerlah dengan pameran oleh Segaris Art Center, bengkel zapin tradisional, bazar kraftangan Pasar Seloka, projek “upcycling” oleh Adeline Loo, hinggalah ke persembahan teater boneka oleh SIAPA Theatre. Suasana menjadi semakin hidup dengan aktiviti santai seperti Coast Drum Circle, vinyl pop-up Kena Sound dan sesi mahjong santai oleh All Tiled Up.
Zon Kanak-Kanak Dan Aktiviti Keluarga Meriahkan Festival
Bagi keluarga yang membawa anak kecil, festival ini menyediakan Ombak Kids Zone yang sarat dengan aktiviti interaktif. Dari Go Fly Kites, LEGOLAND Speed Building Challenge, puppet gergasi Meera & Fiz, Mereka Gameshingga ke Funfair of Forgotten Futures, semuanya memberi peluang kepada kanak-kanak merasai keriangan festival.
Untuk tahun ini juga, buat pertama kali Ombak Festival bekerjasama dengan Kiddocare, memberikan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang selamat supaya ibu bapa dapat menikmati festival dengan lebih tenang.
Desaru Coast Jadi Pusat Budaya Dan Pelancongan Serantau
Lebih daripada sekadar festival, Ombak 2025 menyerlahkan peranan Desaru Coast sebagai hab budaya dan pelancongan Asia Tenggara. Johor kini semakin dikenali sebagai destinasi yang mampu menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa, selari dengan kempen Visit Johor dan Visit Malaysia 2026.
Karina Ridzuan menambah:
“Festival ini lebih daripada sekadar hujung minggu penuh muzik. Ia mencerminkan komitmen Desaru Coast dalam menyokong Johor sebagai pusat acara budaya serantau. Kami amat berterima kasih kepada para pengunjung, rakan kongsi dan komuniti Johor kerana menjayakan satu lagi hujung minggu yang luar biasa di Desaru Coast.”
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, Ombak Festival 2025 membuktikan bagaimana sebuah acara muzik boleh menjadi lebih daripada sekadar hiburan. Ia adalah perayaan identiti ASEAN, menyatukan muzik, seni, makanan dan komuniti dalam satu ruang yang penuh energi. Keunikan festival ini terletak pada kepelbagaian – dari artis legenda dunia, bakat muda Asia Tenggara, sajian kulinari kelas dunia, hingga ke ruang mesra keluarga yang membuatkan semua generasi boleh sama-sama menikmati.
Kalau festival sebegini diteruskan dengan lebih konsisten, Budiey percaya Desaru Coast akan menjadi nama besar dalam peta festival dunia. Tahun depan, Ombak Festival 2026 pastinya lebih menarik, lebih segar, dan lebih berani. Untuk peminat muzik dan pencinta seni, ini adalah festival yang memang wajib masuk dalam kalendar tahunan.