in ,

Dua Daripada Tiga Lelaki di Malaysia Berisiko Mengalami Masalah Seksual

Kesihatan Seksual Lelaki Masih Jadi Isu Sensitif Tetapi Perlu Dibincangkan Secara Terbuka

Topik kesihatan seksual lelaki di Malaysia jarang dibincangkan secara terbuka, walaupun hakikatnya ia adalah masalah besar yang kian meningkat. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa dua daripada tiga lelaki Malaysia berisiko mengalami masalah seksual sepanjang hidup mereka – khususnya mati pucuk atau Erectile Dysfunction (ED) dan pancut awal atau Premature Ejaculation (PE).

Isu ini tidak sekadar melibatkan keyakinan diri lelaki, malah memberi kesan langsung kepada kebahagiaan rumah tangga, kesejahteraan emosi pasangan, dan kestabilan keluarga. Hakikatnya, apabila lelaki gagal berfungsi secara optimum dari segi seksual, ia boleh menjejaskan hubungan intim, mencetuskan konflik dalam rumah tangga, malah menurunkan kualiti hidup secara keseluruhan.

Menurut Dr. Ahmad Samhan, Pengarah Urusan HIM Wellness, realitinya masih ramai lelaki memilih untuk berdiam diri kerana berasa malu, sehingga akhirnya pihak isteri yang mengambil langkah pertama untuk mendapatkan bantuan.

“Kesihatan seksual lelaki bukan sekadar isu individu, tetapi memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat. Apabila lelaki sihat, rumah tangga lebih bahagia, dan produktiviti hidup turut meningkat,”

Dua Daripada Tiga Lelaki Malaysia Berisiko Masalah Seksual

Faktor Pendorong Masalah Seksual: Bukan Sekadar Umur Tetapi Gaya Hidup Dan Tekanan

Ramai yang menyangka masalah seksual hanya datang bersama usia, tetapi realitinya ia semakin kerap dialami oleh lelaki muda. Tekanan darah tinggi, kencing manis, obesiti, stres kronik, tahap hormon rendah, dan tabiat merokokadalah antara punca utama. Budaya gaya hidup moden – tidur tidak cukup, pemakanan tidak seimbang, ketagihan skrin, dan tekanan kerja – hanya menambah parah.

Statistik global turut membuktikan bahawa lebih 150 juta lelaki di seluruh dunia menderita masalah ED, dan angka ini dijangka meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2025. Di Malaysia pula, data daripada beberapa kajian tempatan menunjukkan bahawa lebih 60% lelaki berusia 40 tahun ke atas pernah mengalami simptom ED, tetapi kurang daripada separuh yang mendapatkan rawatan.

Masalah ini bukan sahaja isu kesihatan, tetapi juga isu sosio-emosi. Lelaki yang terkesan sering dilanda rasa rendah diri, hilang fokus kerja, dan tertekan kerana berasa gagal sebagai suami atau pasangan.

Dua Daripada Tiga Lelaki Malaysia Berisiko Masalah Seksual

Rawatan Moden, Terapi Klinikal Dan Gaya Hidup Sihat Sebagai Solusi

Berita baiknya, teknologi perubatan moden dan perubahan gaya hidup menawarkan jalan keluar. Antara kaedah yang digalakkan termasuk:

  • Rawatan gaya hidup sihat – berhenti merokok, mengawal paras gula, dan melakukan senaman konsisten.
  • Terapi klinikal moden – rawatan shockwave terbukti membantu memperbaiki aliran darah zakar secara semula jadi.
  • Senaman kegel dan teknik kawalan minda – membantu meningkatkan stamina dan kawalan semasa hubungan intim.
  • Makanan tambahan berdaftar dan selamat – memberi sokongan tambahan kepada fungsi seksual lelaki.

“Berita baiknya, rawatan dan solusi tersedia dalam pelbagai bentuk menerusi perubahan gaya hidup hinggalah kepada kaedah moden seperti rawatan shockwave. Semua ini mampu membantu lelaki kembali yakin,” jelas Dr. Ahmad.

Pakar juga menegaskan bahawa mendapatkan rawatan awal sangat penting. Lebih cepat masalah dikenal pasti, lebih tinggi peluang untuk dipulihkan tanpa komplikasi serius.

Dua Daripada Tiga Lelaki Malaysia Berisiko Masalah Seksual

Pecahkan Stigma: Dari Isu Taboo Kepada Perbincangan Terbuka

Seminar Pengukuhan dan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki yang dianjurkan di Klinik Kesihatan Sungai Besi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi platform penting untuk membuka topik ini secara lebih telus. Program ini menekankan mitos dan fakta seputar kesihatan seksual lelaki, serta menggalakkan masyarakat untuk menghapuskan stigma.

Budaya “malu nak cerita” sering membuatkan lelaki menderita dalam diam. Malah, ada yang menganggap ED atau PE sebagai tanda kelemahan moral atau kegagalan peribadi, sedangkan ia adalah isu kesihatan yang boleh dirawat.

“Saya harap program ini dapat menjadi platform berterusan dalam memecahkan stigma dan mengubah persepsi masyarakat bahawa kesihatan lelaki adalah sebahagian penting daripada kesihatan keluarga dan negara,” tegas Dr. Ahmad.

HIM Wellness Sebagai Pusat Rujukan Lelaki Malaysia

Sebagai pusat kesihatan lelaki yang berpusat di Kuala Lumpur, HIM Wellness Sdn. Bhd. berperanan besar dalam mendidik, memberi konsultasi profesional, serta menyediakan program kesedaran untuk lelaki Malaysia. HIM Wellness turut menyokong usaha KKM dengan menyediakan rawatan klinikal moden, pemeriksaan awal, dan pendidikan tentang gaya hidup sihat.

Dengan pendekatan holistik yang merangkumi kesihatan fizikal, mental dan sosial, pusat ini mahu lelaki lebih berani tampil untuk mendapatkan bantuan tanpa rasa malu.

Apa Kata Budiey?

Budiey rasa sudah tiba masanya lelaki Malaysia buang rasa ego dan mula bercakap secara terbuka tentang kesihatan seksual. Jangan biarkan stigma dan rasa malu mengekang hakikat bahawa ia adalah sebahagian daripada kesihatan keseluruhan. Kalau sanggup habiskan ribuan ringgit untuk kereta, gajet atau supplement bina otot, kenapa tidak untuk kesihatan seksual sendiri?

Budiey percaya lebih banyak program seumpama ini perlu diperluaskan ke peringkat komuniti, sekolah, dan syarikat. Lelaki perlu dididik sejak awal bahawa menjaga kesihatan seksual bukan sekadar soal nafsu, tetapi soal kesihatan, keseimbangan hidup, dan masa depan keluarga.

Bagi Budiey, langkah pertama adalah berani buka mulut, berani buat pemeriksaan, dan berani berubah. Jangan tunggu sehingga rumah tangga goyah baru mahu mencari penyelesaian. Dengan rawatan moden, sokongan psikologi, serta gaya hidup yang sihat, masalah ini bukan sahaja boleh dirawat, tetapi boleh dicegah dari awal.

Dua Daripada Tiga Lelaki Malaysia Berisiko Masalah Seksual

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Samsung Galaxy Buds3 FE Tampil Audio Mantap Dengan Harga Bajet