M+Global, platform dagangan saham No.1 di Malaysia yang terkenal dengan aplikasi dagangan serba lengkap, telah mencipta sejarah apabila melancarkan kedai konsep saham pertama di Malaysiayang berlokasi di KL Eco City. Pelancaran ini disambut meriah kerana ia menandakan perubahan besar dalam cara rakyat Malaysia mendekati literasi kewangan, menjadikan pelaburan bukan sekadar angka di skrin, tetapi pengalaman nyata yang melibatkan sentuhan manusia.
Kedai ini dibangunkan khas untuk memenuhi keperluan generasi muda yang semakin sedar tentang kepentingan kewangan peribadi tetapi masih keliru untuk memulakan langkah. M+Global yakin bahawa pelaburan dengan panduan yang betul adalah kunci untuk membina masa depan yang lebih stabil, dan inilah yang cuba ditawarkan melalui ruang eksklusif ini.
Pendidikan Kewangan Jadi Fokus Utama
Apa yang menjadikan kedai konsep ini unik ialah fokus utamanya kepada pendidikan kewangan. Tidak semua orang berani melabur kerana mereka takut tersilap langkah. Menurut Lim Chia Wei, Pengarah Urusan M+Global, misi kedai konsep ini adalah jelas: “Less Guessing, More Guiding”.
Beliau menegaskan, “Kami mahu rakyat Malaysia bergerak daripada hanya menyimpan wang kepada membina kekayaan secara bijak. Kedai konsep ini bukan sahaja menyediakan ruang untuk belajar asas pelaburan, tetapi juga memberi bimbingan berterusan daripada lebih 200 pakar berlesen.”
Di sini, pengunjung boleh menghadiri sesi perkongsian, seminar dan bengkel yang membicarakan strategi pelaburan dari asas hingga ke tahap lanjutan. Konsepnya mudah – ilmu kewangan untuk semua, sama ada anda seorang pelabur baru atau sudah berpengalaman.
Celik Kewangan Malaysia Masih Lemah Dan Perlu Diperbaiki
Walaupun rakyat Malaysia semakin sedar tentang pentingnya celik kewangan, realitinya masih ramai yang berada pada tahap membimbangkan. Data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan MyFLIC Index hanya meningkat sedikit dari 57.1 pada 2018 ke 59.1 pada 2024 – angka ini jelas membuktikan perjalanan kita masih jauh.
Kajian Financial Capability and Inclusion (FCI) juga mendedahkan fakta yang mengejutkan – 61% rakyat Malaysia tidak mampu menyediakan RM1,000 jika berlaku kecemasan. Malah, walaupun ramai mendakwa menyimpan secara tetap, simpanan itu sering habis digunakan untuk kos sara hidup harian.
Lebih menyedihkan, isu beban hutang terus menghantui rakyat, khususnya anak muda. 26% mengaku terperangkap dengan hutang berlebihan, termasuk hutang pelajaran dan hutang kad kredit. Situasi ini membuktikan bahawa rakyat memerlukan ruang pembelajaran kewangan yang lebih praktikal dan mesra rakyat, bukan sekadar teori di atas kertas.
Gabungan Digital Dan Sentuhan Manusia
Berbeza dengan aplikasi dagangan lain yang hanya beroperasi secara digital, M+Global percaya bahawa sentuhan manusia tidak boleh diketepikan. Dengan lebih 60 tahun pengalaman Malacca Securities, mereka mahu memastikan setiap individu mendapat konsultasi peribadi yang sesuai dengan keadaan hidup dan matlamat kewangan masing-masing.
Bayangkan, anda boleh terus berjumpa pakar, bertanya soalan secara berdepan, malah mendapat bimbingan eksklusif yang disesuaikan dengan situasi kewangan anda. Ini menjadikan pelaburan lebih realistik, mesra, dan memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia.
Program Edukasi Yang Lebih Segar Dan Menarik
Kedai konsep ini bukan sekadar tempat belajar cara membeli saham. Ia dibina sebagai hab pembelajaran pelaburan moden dengan pendekatan lebih kreatif. Antara program yang sudah dijadualkan termasuk:
- BBK Network (Oktober) – terkenal kerana menjadikan topik wang lebih seronok, mudah difahami, dan dekat dengan gaya hidup anak muda.
- Financial Faiz (November) – ikon pendidikan kewangan yang berkongsi strategi praktikal membina kekayaan dan mencapai kebebasan kewangan.
- Tetamu Misteri (Januari) – personaliti kewangan istimewa yang akan diumumkan kemudian, menambah lagi keterujaan.
Dengan pendekatan sebegini, M+Global mahu menjadikan literasi kewangan sesuatu yang relevan, menyeronokkan dan mudah diikuti, bukan sekadar angka kaku yang membosankan.
Toh Ee Wei Jadi Duta Jenama Pertama M+Global
Lebih menarik, pelancaran ini turut memperkenalkan Toh Ee Wei, bintang muda badminton negara, sebagai duta jenama pertama M+Global. Beliau baru sahaja mencipta sejarah dengan memenangi emas beregu campuran di Kejohanan Dunia 2025 di Paris – kemenangan yang menjadi simbol ketekunan, disiplin dan keberanian.
Lim Chia Wei berkata, “Kami memilih Toh Ee Wei kerana beliau adalah contoh nyata bahawa kejayaan memerlukan ilmu, ketabahan dan strategi yang betul. Sama seperti pelaburan, tanpa bimbingan, ramai akan tersungkur. Beliau adalah simbol inspirasi bahawa kita boleh berjaya jika tahu arah yang ingin dituju.”
Pemilihan duta dari kalangan atlet juga membawa mesej penting – pengurusan kewangan tidak hanya untuk orang bisnes atau pelabur berprofil tinggi, tetapi untuk semua lapisan masyarakat termasuk atlet negara.
Tarikan Dan Aktiviti Eksklusif Untuk Pelawat
Sempena pelancaran kedai konsep ini, M+Global menawarkan beberapa promosi yang pasti menarik perhatian:
- Kopi percuma kepada pelawat yang berkongsi pengalaman di media sosial.
- Cabutan gashapon untuk pelanggan yang meninggalkan ulasan 5-bintang di Google.
- Figurin Teh Tarik Mau eksklusif untuk 50 pelanggan pertama yang membuka akaun baharu melalui aplikasi M+Global.
Promosi ini bukan sahaja menceriakan suasana, tetapi memberi peluang rakyat Malaysia merasai sendiri bagaimana pelaburan boleh dikaitkan dengan gaya hidup moden.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, pelancaran kedai konsep saham pertama M+Global di KL Eco City ini adalah langkah yang sangat berani dan wajar dipuji. Di saat rakyat Malaysia masih berdepan isu hutang, simpanan jangka pendek dan kurang ilmu pelaburan, ruang seperti ini hadir sebagai game changer.
Budiey percaya, jika inisiatif ini diperluaskan ke bandar-bandar lain seperti Johor Bahru, Penang, dan Kota Kinabalu, ia mampu melahirkan gelombang baharu rakyat yang lebih berani melabur, lebih bijak mengurus kewangan, dan tidak lagi takut untuk bercakap tentang pelaburan saham.
Mesejnya jelas: Celik kewangan bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan asas untuk masa depan yang lebih stabil. Dengan adanya platform seperti M+Global, rakyat Malaysia kini mempunyai peluang untuk belajar, mencuba, dan membina keyakinan dalam dunia kewangan global.