Samsung sekali lagi membuktikan kenapa mereka masih mendominasi arena telefon pintar global apabila mengumumkan pelancaran rasmi One UI 8, sistem antaramuka yang kini semakin canggih dengan suntikan kepintaran buatan (AI) multimodal. Pelancaran ini diumumkan pada 15 September 2025 di Seoul, Korea, dan menjadi satu titik tolak besar kerana ia bukan sekadar kemas kini biasa, sebaliknya satu langkah ke arah pendemokrasian AI untuk kegunaan harian semua pengguna Galaxy.
Menurut Samsung, pelancaran bermula dengan siri Galaxy S25, sebelum diperluaskan ke Galaxy S24, Galaxy Z Fold6, Galaxy Z Flip6, Galaxy S24 FE dan beberapa model lain menjelang hujung tahun. Bagi pengguna di Malaysia, tarikh pengedaran rasmi telah pun dijadualkan – jadi tak perlu lagi tertanya-tanya bila giliran telefon masing-masing akan menerima nafas baharu ini.
Cadangan Peribadi Yang Lebih Pintar Bersama Perlindungan Keselamatan Bertaraf Tinggi
Antara perkara paling menonjol dalam One UI 8 ialah bagaimana ia benar-benar faham gaya hidup pengguna. Sistem ini tak sekadar jadi “penurut arahan”, sebaliknya proaktif memberi cadangan peribadi yang sesuai dengan rutin harian anda.
Melalui ciri Now Bar, pengguna Galaxy Z Flip kini boleh tengok aktiviti aplikasi secara langsung serta perkembangan pemain media terus di FlexWindow. Yang menariknya, ia kini turut serasi dengan lebih banyak aplikasi pihak ketiga.
Ada juga Now Brief, seakan papan info harian anda, lengkap dengan kemas kini trafik, peringatan penting dan juga Samsung Moments – satu cara refleksi ringkas untuk tengok semula rutin harian. Malah, sistem ini juga beri cadangan hiburan – daripada muzik hingga video – berdasarkan minat dan langganan anda. Kalau ada Galaxy Watch, anda boleh dapat analisis kesihatan peribadi secara terus di situ.
Soal keselamatan data peribadi, Samsung tampak serius. Ciri baharu Knox Enhanced Encrypted Protection (KEEP)memastikan setiap aplikasi hanya boleh akses data yang berkaitan dengannya sahaja. Ini ibarat setiap aplikasi ada “peti besi” sendiri yang dilindungi kata laluan unik. Ditambah lagi dengan Knox Matrix, sistem ini boleh tandakan risiko serius dan log keluar akaun Samsung anda secara automatik, sekaligus beri panduan tambahan untuk melindungi data.
Lebih meyakinkan, Wi-Fi Selamat kini dipertingkat dengan post-quantum cryptography (PQC), menjadikannya lebih kebal walaupun anda guna rangkaian awam. Boleh lepak di kafe dengan Wi-Fi percuma tanpa risau data bocor.
Multimodal AI: Bila AI Faham Cara Anda Berfikir
One UI 8 bukan sahaja cantik di mata, tapi juga bijak di kepala. Dengan AI multimodal, pengalaman menggunakan peranti Galaxy terasa lebih intuitif. Ia mampu gabungkan input visual, audio dan konteks untuk bantu pengguna dalam segenap hal.
Contohnya, Gemini Live – bayangkan anda tengah tengok video, dan AI terus faham apa yang berlaku tanpa perlu buka aplikasi lain. Lebih seamless, lebih natural.
Tak cukup dengan itu, ada juga ciri Circle to Search with Google. Bayangkan tengah main game, anda hanya bulatkan watak di skrin dan sistem terus bagi info lengkap – dari strategi permainan hingga video tutorial. Fungsi terjemahan juga semakin hebat – teks boleh diterjemah terus atas skrin dalam masa nyata. Artikel berita, kapsyen media sosial, semua boleh terus dibaca dalam bahasa pilihan anda.
Reka Bentuk UX Yang Optimum Untuk Semua Peranti Galaxy
Apa yang menarik tentang One UI 8 ialah bagaimana ia fleksibel untuk pelbagai bentuk peranti Galaxy – dari telefon ke tablet.
Ciri AI Results View membolehkan anda tengok hasil AI dalam Split View atau Floating View, jadi kandungan asal anda tak hilang dari pandangan. Multi Window pula semakin mantap – anda boleh tarik dan lepas imej atau teks yang dijana AI terus ke dalam kerja anda. Nak melakar atau menulis pun lebih smooth dengan Drawing Assist dan Writing Assist.
Lebih memudahkan, Gemini Live kini boleh terus digunakan di FlexWindow untuk carian suara bebas tangan. Manakala Audio Eraser jadi penyelamat bila rakam video di luar – hanya satu tap untuk buang bunyi bising macam angin atau trafik.
Bagi yang suka personalisasi, jam digital kini ada reka bentuk adaptif – tulisan boleh melilit wajah atau objek dalam gambar supaya tetap jelas tanpa ganggu visual. Ketebalan, warna dan saiz fon pun boleh dikustom ikut citarasa. Malah, FlexWindow juga boleh dihias dengan wallpaper auto-curated dari Gallery, lengkap dengan pilihan emoji dan warna latar.
Alat Kreatif Dikuasakan AI: Dari Potret Haiwan Hingga Subtitel Panggilan
Satu lagi highlight yang buat pengguna Galaxy teruja ialah alat kreatif berkuasa AI. Portrait Studio misalnya, boleh tangkap ekspresi haiwan peliharaan anda dan terus jadikan potret artistik ala studio.
Panggilan telefon pula tak lagi terjejas oleh bising persekitaran kerana Call Captions boleh tukarkan suara kepada teks secara langsung. Kalau nak berkomunikasi dalam bahasa berbeza, gunakan sahaja Interpreter – taip dan ia terus terjemahkan dengan pantas.
Jadual Rollout One UI 8 Di Malaysia
Untuk pengguna di Malaysia, Samsung telah tetapkan jadual rasmi kemas kini ini:
- Galaxy S25 Series – 18 September 2025
- Galaxy S24 Series, Galaxy Z Fold6, Z Flip6 – 25 September 2025
- Galaxy S23 Series, Z Fold5, Z Flip5 – 2 Oktober 2025
- Galaxy S22 Series, Z Fold4, Z Flip4 – 6 Oktober 2025
- Galaxy S21 FE – 16 Oktober 2025
Jadi, kalau anda pemilik salah satu model ini, bersedialah untuk sambut wajah baharu Galaxy anda dalam minggu-minggu terdekat.
Promosi Menarik Galaxy Z Series Dengan One UI 8
Selain perisian baharu, Samsung juga tawarkan promosi hebat. Hingga 30 September 2025, anda boleh alami sendiri One UI 8 pada Galaxy Z Series terkini sambil nikmati naik taraf storan berganda tanpa caj tambahan bernilai sehingga RM600.
Contohnya, Galaxy Z Fold7 ditawarkan pada harga bermula RM7,799 (12+256GB), manakala versi 1TB penuh kuasa dijual pada RM9,899. Untuk Galaxy Z Flip7, harga bermula RM4,999 dengan storan 256GB, manakala model 512GB pula pada RM5,599. Ada juga edisi khas Galaxy Z Flip7 FE (eksklusif dalam talian) bermula RM3,999. Pilihan warna pun pelbagai, termasuk Silver Shadow, Blue Shadow, Jetblack, Coral Red, dan Mint eksklusif online.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, One UI 8 ini bukan sekadar kemas kini, tapi satu revolusi kecil yang bakal ubah cara kita menggunakan telefon pintar. Samsung nampaknya betul-betul serius dalam menjadikan AI lebih mesra pengguna, sambil kekal fokus pada isu keselamatan data. Kombinasi personalized suggestion, multimodal AI, dan integrasi kreatif ini bakal menjadikan Galaxy sebagai teman harian yang lebih bijak.
Cuma persoalannya – adakah pengguna sanggup manfaatkan sepenuhnya fungsi AI ini, atau sekadar menggunakannya pada tahap asas? Apa yang jelas, Samsung sedang membuka jalan, dan masa depan peranti mudah alih mungkin lebih bergantung pada AI berbanding yang kita bayangkan.