Samsung Electronics Co., Ltd. baru sahaja mengumumkan pelancaran rasmi One UI 8, sistem antaramuka terbaharu mereka yang direka untuk memberi pengalaman lebih pintar, peribadi, dan selamat kepada pengguna. Bermula minggu ini, kemas kini ini sudah boleh dirasai oleh pengguna siri Galaxy S25, sebelum diperluaskan kepada model lain seperti Galaxy S24, Galaxy Z Fold6, Galaxy Z Flip6, Galaxy S24 FE, serta beberapa siri lain menjelang akhir tahun ini.
Menurut Samsung, tujuan utama One UI 8 adalah untuk membawa teknologi AI multimodal kepada lebih ramai pengguna, menjadikan hidup harian lebih mudah, pintar, dan tersusun tanpa perlu pengguna berbuat banyak.
Cadangan Peribadi Dengan Perlindungan Data Yang Lebih Mantap
Salah satu tarikan besar One UI 8 ialah kemampuannya memberikan cadangan proaktif dan diperibadikan mengikut rutin harian pengguna. Misalnya, melalui Now Bar, pengguna boleh melihat aktiviti aplikasi secara langsung dan perkembangan pemain media pada skrin luar Galaxy Z Flip. Ia kini juga menyokong lebih banyak aplikasi pihak ketiga.
Bukan itu sahaja, ciri Now Brief menyediakan kemas kini harian seperti maklumat trafik, peringatan penting dan juga Samsung Moments, di mana pengguna boleh menilai semula rutin harian mereka. Lebih menarik, ia turut menawarkan cadangan hiburan seperti muzik dan video berdasarkan minat serta langganan pengguna. Malah, maklumat kesihatan daripada Galaxy Watch kini boleh diakses dengan mudah.
Dari sudut keselamatan, Samsung memperkenalkan Knox Enhanced Encrypted Protection (KEEP), iaitu seni bina baharu yang melindungi data peribadi daripada dicuri atau disalah guna. KEEP mencipta storan tersendiri dalam aplikasi supaya hanya aplikasi itu sahaja boleh mengakses data sensitif. Selain itu, Knox Matrix mampu menandakan risiko keselamatan dan secara automatik mengeluarkan peranti daripada akaun Samsung jika ada ancaman besar.
“Kami mahu pengguna rasa yakin bahawa walaupun AI semakin pintar, privasi mereka tetap terjamin,” kata jurucakap Samsung.
AI Multimodal Untuk Pengalaman Lebih Semula Jadi
One UI 8 dibangunkan berasaskan AI multimodal yang menggabungkan keupayaan visual, audio, dan konteks sekali gus. Ini membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti Galaxy secara lebih intuitif.
Ciri Gemini Live contohnya, membolehkan komunikasi masa nyata dengan AI yang memahami apa yang pengguna sedang lihat atau tonton tanpa perlu bertukar aplikasi. Bayangkan anda sedang menonton video, dan anda boleh terus bertanya soalan berkaitan tanpa keluar dari skrin.
Selain itu, Circle to Search with Google kini lebih berkuasa dengan bantuan semasa permainan video. Pengguna boleh bulatkan mana-mana objek di skrin untuk mendapatkan info tambahan, strategi permainan, atau terjemahan teks secara langsung. Ini menjadikan pengalaman bermain game lebih interaktif dan membantu.
UX Baharu Disesuaikan Dengan Pelbagai Peranti Galaxy
Samsung turut menekankan bahawa One UI 8 dioptimumkan untuk pelbagai jenis peranti, dari telefon pintar hinggalah tablet besar. Dengan kemas kini ini, pengguna boleh melakukan lebih banyak perkara secara serentak dan lebih efisien.
Sebagai contoh, AI Results View membolehkan hasil daripada AI dipaparkan dalam Split View atau Floating View, jadi pengguna masih boleh nampak kandungan asal. Fungsi Multi Window pada skrin besar kini membolehkan pengguna tarik dan lepas hasil AI terus ke dalam kerja mereka.
Bagi yang suka berkarya, ciri seperti Drawing Assist dan Writing Assist menjadikan proses kreatif lebih mudah dan teratur.
Tambahan pula, Audio Eraser kini boleh memadam bunyi latar belakang seperti angin atau trafik hanya dengan satu butang, menjadikan pengalaman menonton video atau mendengar audio lebih bersih.
Malah, pengguna juga boleh menyesuaikan paparan jam mengikut gambar latar, mencipta wallpaper unik melalui galeri, atau menghasilkan potret haiwan peliharaan dengan Portrait Studio. Semua ini memberikan kebebasan penuh untuk mengekspresikan diri.
Jadual Kemas Kini Di Malaysia Dan Promosi Menarik
Untuk pasaran Malaysia, Samsung telah mengumumkan jadual kemas kini One UI 8:
- Galaxy S25 Series – 18 September 2025
- Galaxy S24 Series, Z Fold6 & Z Flip6 – 25 September 2025
- Galaxy S23 Series, Z Fold5 & Z Flip5 – 2 Oktober 2025
- Galaxy S22 Series, Z Fold4 & Z Flip4 – 6 Oktober 2025
- Galaxy S21 FE – 16 Oktober 2025
Menariknya, hingga 30 September 2025, Samsung menawarkan promosi naik taraf storan berganda untuk pembelian peranti baharu Galaxy Z Series. Contohnya, membeli model 12+256GB akan mendapat naik taraf automatik ke 12+512GB tanpa caj tambahan, bernilai RM600.
Model yang ditawarkan termasuk:
- Galaxy Z Fold7 – harga bermula RM7,799 dengan pilihan warna Silver Shadow, Blue Shadow, Jetblack, dan Mint (eksklusif dalam talian).
- Galaxy Z Flip7 – harga bermula RM4,999 dengan warna Blue Shadow, Coral Red, Jetblack, dan Mint (eksklusif dalam talian).
- Galaxy Z Flip7 FE – harga bermula RM3,999 untuk storan 128GB, eksklusif dalam talian.
Apa Kata Budiey?
Kalau kita tengok, Samsung bukan sekadar keluarkan kemas kini biasa. One UI 8 ni ibarat “otak tambahan” yang letak terus dalam peranti kita. Ia tahu rutin kita, boleh bagi cadangan tepat masa, dan dalam masa yang sama, ia jaga privasi kita dengan sistem keselamatan yang makin ketat.
Bagi Budiey, langkah Samsung ini bukan sahaja menunjukkan mereka serius tentang demokratisasi AI, tapi juga faham kebimbangan pengguna tentang isu data peribadi. AI tanpa keselamatan memang menakutkan, tapi AI yang dikawal dengan baik boleh jadi peneman hidup seharian yang sangat membantu.
Cadangan Budiey, kalau anda pengguna tegar Galaxy, jangan lepaskan peluang cuba One UI 8 bila ia dah sampai ke peranti anda. Lagi best, kalau tengah fikir nak upgrade ke Galaxy Z Series, sekarang lah masanya sebab ada tawaran storan berganda yang memang berbaloi.