Satu berita yang cukup mengujakan peminat muzik retro Asia, khususnya di Malaysia. Kumpulan legenda Hong Kong, Grasshopper (草蜢) akhirnya kembali menggegarkan pentas tempatan selepas sekian lama. Konsert yang dinanti-nantikan ini diberi judul “Re: GRASSHOPPER Concert Tour 2025”, dan ia bakal berlangsung pada 27 Disember 2025 jam 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting. Tarikh ini bukan sebarang tarikh kerana ia jatuh pada hujung minggu terakhir tahun 2025 – menjadikan konsert ini sebagai penutup tahun yang penuh makna buat para peminat.
Konsert Selepas Dugaan Besar Dan Kebangkitan Semangat
Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa ialah ia merupakan kemuncak kepada jelajah Asia yang tertangguh tahun lalu selepas salah seorang ahli, Remus Choy (蔡一傑), terpaksa menjalani pembedahan otak. Berita itu mengejutkan ramai, namun selepas melalui proses pemulihan yang penuh inspirasi, Remus kini kembali sihat dan bersedia untuk naik semula ke pentas bersama dua lagi ahli, Calvin Choy (蔡一智) dan Edmund So (蘇志威).
“Ia tentang Recover, Restart, Reunion, dan Rearrange. Selepas Remus pulih, kami memulakan semula perjalanan ini, bersatu kembali dengan peminat di seluruh Asia, dan menyusun semula lagu-lagu klasik untuk memberi pengalaman yang lebih segar,” jelas Calvin penuh semangat.
Empat Dekad Dalam Industri Dan Simbol Keabadian
Sudah 40 tahun sejak Grasshopper muncul di persada muzik. Dari generasi ke generasi, lagu-lagu mereka menjadi soundtrack kehidupan ramai peminat, mengiringi zaman muda, cinta, dan persahabatan. Nama konsert kali ini, “Re: GRASSHOPPER”, bukan sekadar tajuk kosong. Ia simbol kepada ketahanan, kebangkitan semula, dan kekuatansebuah kumpulan yang tidak pernah hilang relevansi walaupun zaman sudah berubah.
Senarai Lagu Ikonik Dan Persembahan Segar
Peminat boleh menjangkakan deretan lagu hits yang pernah menjadi siulan ramai seperti “Love Trap”, “Half a Heart”, “Forget Love Samba” dan “Baby, I’m Sorry”. Namun bukan itu sahaja, Grasshopper juga menjanjikan sesuatu yang lebih segar dengan susunan semula lagu-lagu klasik mereka, persembahan tarian bertenaga, interaksi mesra bersama penonton, serta beberapa lagu baharu.
Antara yang paling dinantikan ialah lagu “Old but Spicy”, karya terbaru Remus sendiri. Lagu ini menurutnya adalah sebuah himpunan semangat tentang ketahanan, pertumbuhan, dan api semangat yang tidak pernah padam walaupun usia semakin meningkat.
“Saya tulis ‘Old but Spicy’ sebab macam halia, makin tua makin pedas rasanya,” seloroh Remus yang disambut gelak tawa Calvin dan Edmund.
Analogi Hotpot Hong Kong Yang Menghiburkan
Ketika ditanya mengenai makna memulakan semula jelajah ini, Calvin berseloroh sambil membuat perbandingan yang cukup unik: “Macam makan hotpot Hong Kong – sekali rasa, mesti nak lagi, dan kali kedua akan rasa berbeza.”
Edmund pula mencelah dengan bersahaja: “Dan kali ini, ada hidangan baru!”
Remus menambah dengan penuh gurauan: “Dan ada lebih banyak rempah! Lagu baru saya memang berapi.”
Dialog spontan ini membuktikan karisma dan semangat persaudaraan Grasshopper yang tidak pernah luntur walaupun empat dekad berlalu.
Nostalgia, Persatuan Dan Jambatan Generasi
Dengan gaya persembahan penuh karisma, kehadiran Grasshopper bukan sekadar konsert, tapi sebuah pengalaman lintas generasi. Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu Grasshopper, ini adalah peluang untuk bernostalgia. Manakala bagi peminat muda, inilah masa untuk merasai sendiri mengapa kumpulan ini terus kekal sebagai antara nama paling berpengaruh dalam dunia Mandopop selama 40 tahun.
Harga Tiket, Jualan Awal Dan Tawaran Eksklusif
Tiket untuk “Re: GRASSHOPPER Concert Tour 2025” akan mula dibuka pada 12 September jam 12 tengah hari untuk ahli Genting Rewards Card (GRC) Gold ke atas, manakala jualan umum bermula 17 September jam 3 petang.
Harga tiket adalah seperti berikut:
- RM868 (VIP)
- RM768 (PS1)
- RM568 (PS2)
- RM468 (PS3)
- RM268 (PS4)
Setiap tiket dikenakan caj pemprosesan sebanyak RM4. Khas untuk ahli Genting Rewards Card (GRC), akan ada diskaun eksklusif 10% untuk kategori VIP hingga PS3.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, peminat boleh melayari rwgenting.com.
Tentang Resorts World Genting Dan Genting Malaysia
Konsert ini akan berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting (RWG), pusat hiburan yang terkenal dengan fasiliti bertaraf dunia. RWG bukan sekadar lokasi konsert, tetapi destinasi pelancongan dan hiburan utama Malaysiadengan lebih 10,500 bilik hotel, taman tema, pusat beli-belah, restoran, kasino, dan ruang konvensyen.
Sebagai sebahagian daripada Genting Malaysia Berhad, RWG telah lama menjadi mercu tanda hiburan antarabangsa. Malah, tahun ini RWG turut menyambut ulang tahun ke-60 Genting Group dengan pelbagai acara menarik, menjadikan kehadiran Grasshopper sebagai pelengkap kepada sambutan berprestij ini.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey sendiri, kehadiran Grasshopper ke Malaysia hujung tahun ini adalah sesuatu yang wajib ditonton. Bayangkan sebuah kumpulan yang sudah empat dekad dalam industri, kembali dengan semangat baru selepas dugaan besar. Bukan mudah untuk kekal relevan selama itu, apatah lagi dalam dunia hiburan yang penuh saingan.
Budiey percaya konsert ini bukan sahaja akan mengubat rindu peminat lama, tetapi juga membuka mata generasi muda tentang kekuatan muzik klasik yang tidak pernah dimamah usia. Dan kalau nak jujur, analogi hotpot Hong Kong tu memang kena – sekali rasa, confirm nak lagi. Jadi, kalau anda peminat muzik Mandopop atau sekadar ingin menutup tirai 2025 dengan sesuatu yang berbeza, ini adalah konsert yang anda tak boleh lepaskan.