Selepas lebih tujuh tahun menunggu, akhirnya peminat francais Dragon Ball boleh tersenyum lebar apabila Bandai Namco Entertainment Inc. melancarkan Dragon Ball Gekishin Squadra, permainan aksi berpasukan yang bukan sahaja hadir di telefon pintar, malah merentasi pelbagai platform utama termasuk iOS, Android, PC, Nintendo Switch, PlayStation 4 dan PlayStation 5. Lebih menarik, permainan ini dilancarkan serentak di seluruh dunia pada 10 September 2025 dengan sokongan sembilan bahasa antarabangsa seperti Inggeris, Sepanyol, Portugis, Jepun dan lain-lain.
Bukan sekadar satu lagi spin-off, permainan ini digambarkan sebagai “tajuk global pertama dengan pengalaman rentas platform yang benar-benar lancar”, hasil kolaborasi erat Bandai Namco dengan Google Cloud yang menyediakan infrastruktur permainan masa nyata berskala besar.
Pertarungan Empat Lawan Empat Yang Penuh Strategi
Apa yang membuatkan Dragon Ball Gekishin Squadra ini hype ialah konsep perlawanan empat lawan empat (4v4)yang menuntut lebih daripada sekadar kekuatan individu. Pemain perlu bekerjasama dalam pasukan, menyerang kawasan lawan, bertahan dengan strategi, dan akhirnya merebut Dragon Ball untuk menjamin kemenangan.
Ini jelas membezakan Gekishin Squadra daripada siri Dragon Ball terdahulu seperti Dragon Ball Legends yang berpusat pada pertarungan individu. Kalau sebelum ini kita biasa tengok Goku, Vegeta atau Frieza bersaing seorang lawan seorang, kini Budiey rasa vibe permainan lebih mendekati esukan moden seperti MOBA atau tactical team shooters. Konsep inilah yang menjadikan permainan ini bukan sekadar nostalgia, tapi satu inovasi baharu dalam dunia Dragon Ball gaming.
Infrastruktur Google Cloud Jadi Penyelamat
Pelancaran global serentak ini bukan sesuatu yang mudah. Bayangkan jutaan pemain dari seluruh dunia masuk ke server dalam masa yang sama – kalau salah urus, confirm lag atau crash. Tapi Bandai Namco memilih Google Cloud untuk mengatasi cabaran ini.
Dengan Agones dan Google Kubernetes Engine (GKE), pengurusan server jadi lebih mudah dan boleh diskalakan. Paling penting, Google Spanner menjadikan data pemain konsisten di semua platform. Maksudnya, anda boleh main di telefon, sambung di konsol, dan data tetap selari – inventori, karakter, progress semua kekal.
Untuk memastikan matchmaking lebih pantas, mereka gunakan Memorystore for Redis yang mengurangkan masa menunggu. Ini sangat penting untuk pemain kasual dan juga hardcore gamer yang benci tunggu lama. Selain itu, pasukan pembangunan menggunakan BigQuery dan Looker untuk menganalisis data pemain, menambah baik keseimbangan permainan, serta merancang update pada masa depan.
Suara Daripada Bandai Namco Dan Google Cloud
Menurut Toshitaka Tachibana, penerbit utama Bandai Namco:
“Projek ini memerlukan rakan kongsi yang lebih daripada vendor biasa, dan kerjasama mendalam bersama Google Cloud adalah sebab utama permainan ini berjaya. Dari awal lagi, mereka bertindak sebagai sebahagian daripada pasukan kami, berkongsi visi yang sama. Kami sangat teruja untuk pemain merasai hasilnya.”
Sementara itu, Jack Buser, pengarah global permainan Google Cloud, menambah:
“Kolaborasi kami dengan Bandai Namco melalui Dragon Ball Gekishin Squadra mencerminkan masa depan pembangunan permainan. Ia memerlukan infrastruktur yang bukan sahaja berfungsi pada skala global, tetapi juga membina kepercayaan serta semangat kerjasama. Kami bangga menjadi sebahagian daripada projek ini dan menyediakan teknologi untuk membawa pengalaman Dragon Ball baharu kepada jutaan peminat.”
Dragon Ball Dan Sejarah Permainan Video
Bagi yang mengikuti francais ini, Dragon Ball bukan asing dalam dunia permainan video. Sejak era Super Famicomhingga ke konsol moden, kita sudah melihat ratusan tajuk daripada siri ini. Antara yang paling ikonik termasuk Dragon Ball Z: Budokai Tenkaichi, yang menjadi kegemaran peminat kerana roster karakter yang sangat luas, dan Dragon Ball FighterZ, permainan fighting kompetitif yang masih dimainkan di kejohanan esukan antarabangsa.
Namun, untuk platform mudah alih, kejayaan besar datang daripada Dragon Ball Legends (2018) dan Dokkan Battle(2015). Kedua-duanya berjaya menjana ratusan juta dolar dan mencipta komuniti global yang aktif. Kini, dengan Gekishin Squadra, Bandai Namco cuba menggabungkan kelebihan kedua-dua dunia – pengalaman mudah alih + konsol + PC, tetapi dalam bentuk cross-platform multiplayer.
Tarikh Pelancaran Dan Akses Global
Dragon Ball Gekishin Squadra boleh dimuat turun bermula 10 September 2025. Ia boleh diakses di seluruh dunia secara free-to-play, menjadikannya mesra untuk semua jenis pemain sama ada kasual atau hardcore. Untuk maklumat lanjut, peminat boleh rujuk laman rasmi: https://dbg-squadra.bn-ent.net/.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, ini bukan sekadar pelancaran permainan biasa – ini adalah strategi besar Bandai Namco untuk meletakkan Dragon Ball kembali di puncak arena gaming global. Dengan menggabungkan aksi pasukan 4v4, sokongan server mantap daripada Google Cloud, dan sejarah panjang Dragon Ball dalam industri, Gekishin Squadra berpotensi menjadi tajuk fenomena.
Budiey nampak permainan ini mampu tarik dua jenis pemain – generasi lama yang pernah main Budokai Tenkaichi, dan generasi baru yang lebih selesa dengan konsep rentas platform. Tambahan pula, pendekatan “play anywhere, with anyone” ini selari dengan trend semasa di mana pemain mahu fleksibiliti tanpa had.
Soalan sebenar sekarang – adakah Gekishin Squadra boleh mencabar dominasi permainan esukan lain seperti Mobile Legends, Valorant atau Fortnite? Kalau Bandai Namco serius dengan update berterusan dan kejohanan kompetitif, Budiey rasa jawapannya ya.