Apple sekali lagi mencuri perhatian dunia teknologi dengan memperkenalkan Apple Watch SE 3, jam tangan pintar generasi baharu yang hadir dengan pelbagai penambahbaikan menarik. Daripada ciri kesihatan canggih, kebolehan kecergasan, hingga keselamatan pintar, semuanya dibungkus dengan harga yang dikatakan cukup berbaloi. Dengan cip S10 berkuasa, model ini turut menambah baik paparan dengan Always-On display, sokongan gestur pintar seperti double tap dan wrist flick, Siri dalam peranti, serta pengecasan pantas yang akhirnya hadir buat kali pertama.
Naib Presiden Pemasaran Produk Apple Watch dan Kesihatan, Stan Ng, berkata:
“Apple Watch SE menawarkan cara terbaik untuk pengguna memulakan perjalanan dengan Apple Watch. Dengan lebih banyak ciri kesihatan, Always-On display, dan pengecasan pantas, kami teruja melihat bagaimana Apple Watch SE 3 menyokong lebih ramai orang di seluruh dunia untuk hidup lebih sihat dan aktif.”
Paparan Sentiasa Hidup Dan Pengecasan Pantas
Apple tahu betapa pentingnya paparan jam tangan pintar. Dengan Always-On display, pengguna tak perlu lagi angkat tangan atau sentuh skrin untuk lihat masa atau notifikasi. Ia lebih praktikal terutama semasa bersukan atau mesyuarat. Paparan ini dilindungi dengan kaca Ion-X khas yang 4 kali lebih tahan retak berbanding generasi terdahulu.
Bateri kekal bertahan sehingga 18 jam sehari, dan kini dengan pengecasan pantas, hanya 15 minit boleh memberi tambahan sehingga 8 jam penggunaan. Cas 45 minit sahaja sudah mencecah 80%, cukup praktikal untuk mereka yang sibuk.
Ciri Kesihatan Lebih Lengkap Dan Pintar
Salah satu tarikan besar SE 3 ialah Sleep Score, yang membantu pengguna memahami kualiti tidur secara lebih mendalam. Ia bukan sekadar kira jam tidur, tapi menganalisis konsistensi waktu tidur, jumlah gangguan, serta fasa tidur. Semua ini dipaparkan dalam bentuk skor mudah difahami. Apple menggunakan lebih 5 juta data tidur daripada kajian Apple Heart and Movement Study untuk membangunkan algoritma ini.
Selain itu, SE 3 turut dilengkapi dengan:
- Pengesan suhu pergelangan tangan, memberikan data kesihatan menyeluruh.
- Anggaran ovulasi retrospektif, membantu wanita memahami kitaran kesuburan.
- Notifikasi apnea tidur, memberi amaran jika terdapat tanda gangguan pernafasan serius ketika tidur.
Ciri ini melengkapkan set sedia ada seperti notifikasi kesihatan jantung, Cycle Tracking, kecergasan kardio, serta ciri keselamatan seperti Fall Detection, Crash Detection dan Emergency SOS.
Motivasi Harian Dengan Kecergasan Terkini
Apple Watch memang sinonim dengan gaya hidup aktif. Aplikasi Activity terus mengekalkan tiga gelang ikonik — Move, Exercise, dan Stand — yang mendorong pengguna capai sasaran harian. Dengan watchOS 26, hadir pula Workout Buddy, pengalaman kecergasan unik berasaskan Apple Intelligence. Ia memberi motivasi secara peribadi dan suarasemasa bersenam, bergantung pada data nadi, pace, jarak, atau milestone peribadi.
Pengguna juga boleh cipta workout tersuai, ikuti laluan larian lama dengan Race Route, serta dapatkan cadangan playlist muzik atau podcast automatik melalui Apple Music berdasarkan jenis senaman.
Kuasa Cip S10: Siri Lebih Pantas, Gestur Lebih Mudah
Cip S10 bukan sekadar laju, tapi membawa pelbagai fungsi baru. Siri kini lebih pantas kerana pemprosesan dibuat dalam peranti, tanpa bergantung sepenuhnya kepada internet. Data kesihatan juga boleh diakses terus dengan arahan suara.
Selain itu, pengguna boleh guna gestur sekali tangan:
- Double tap (sentuhan ibu jari dan jari telunjuk dua kali) untuk jawab panggilan, snooze alarm, buka notifikasi, dan banyak lagi.
- Wrist flick pula membolehkan notifikasi ditutup pantas tanpa sentuhan skrin.
Malah, Apple juga menambah Voice Isolation untuk panggilan telefon atau FaceTime supaya suara lebih jelas walaupun dalam suasana bising.
Apple Watch Untuk Kanak-Kanak
Satu lagi ciri menarik: Apple Watch For Your Kids. Ibu bapa boleh benarkan anak mereka guna Apple Watch walaupun tanpa iPhone sendiri. Ia membolehkan mereka hubungi ibu bapa, kongsi lokasi melalui Find My, guna SOS kecemasan, dan pada masa sama beri anak kebebasan dengan Memoji, aplikasi, dan sasaran aktiviti harian.
Paparan tahan lasak, speaker terbina dalam, dan pengecasan pantas menjadikan SE 3 pilihan sesuai untuk generasi muda yang lebih aktif.
watchOS 26: Rekaan Baharu Dan Lebih Pintar
Dengan watchOS 26, Apple menyuntik Liquid Glass design yang lebih segar pada muka jam, notifikasi, Smart Stack, hingga ke pusat kawalan. Dua muka jam baharu turut diperkenalkan: Flow dan Exactograph, selain lebih 20 muka jam lain yang dikemaskini.
Tambahan lain termasuk Live Translation untuk mesej, aplikasi Notes terus di jam, serta fungsi pintar seperti Hold Assist dan Call Screening apabila digabungkan dengan iPhone berdekatan.
Harga, Warna Dan Kelestarian
Apple Watch SE 3 ditawarkan dalam saiz 40mm dan 44mm, dengan pilihan warna midnight dan starlight aluminium case. Harga bermula dari RM1,049, menjadikannya model paling mampu milik dalam keluarga Apple Watch baharu.
Apple juga menekankan aspek kelestarian. SE 3 menggunakan 40% bahan kitar semula, termasuk 100% kobalt kitar semula dalam bateri dan aluminium kitar semula dalam casing. Ia dibuat menggunakan 100% tenaga boleh diperbaharui serta pembungkusan kertas sepenuhnya berasaskan fiber.
Perbandingan Dengan Apple Watch Series 11
Bila sebut Apple Watch SE 3, ramai juga yang terus banding dengan Apple Watch Series 11 yang baru dilancarkan. Memang kedua-duanya berkongsi DNA yang sama, tapi ada beberapa perbezaan ketara yang patut pembaca tahu.
1. Paparan & Rekaan
Series 11 hadir dengan paparan LTPO OLED yang lebih terang, dengan kecerahan yang boleh mencecah tahap lebih tinggi berbanding SE 3. Ia juga menampilkan rekaan yang sedikit lebih premium dengan pilihan bahan seperti stainless steel atau titanium, berbanding SE 3 yang hanya ditawarkan dalam aluminium case.
2. Kesihatan & Sensor
Series 11 lebih lengkap dengan sensor EKG dan pengesan oksigen dalam darah (SpO2), sesuatu yang tidak ada pada SE 3. Jadi, kalau pengguna lebih fokus kepada pemantauan kesihatan secara klinikal, Series 11 lebih sesuai. Namun begitu, SE 3 sudah cukup mantap dengan Sleep Score, ovulasi, apnea tidur, dan suhu badan, yang lebih praktikal untuk kegunaan harian.
3. Cip & Prestasi
Kedua-duanya menggunakan cip S10, jadi dari segi kelajuan dan responsif, SE 3 tak jauh beza dengan Series 11. Bezanya, Series 11 lebih dioptimumkan dengan ciri Apple Intelligence yang lebih menyeluruh, terutama untuk fungsi AI generatif.
4. Bateri & Pengecasan
Kedua-duanya menawarkan 18 jam penggunaan dengan pengecasan pantas. Jadi dari sudut ini, tiada beza besar.
5. Harga
Ini faktor paling ketara. Series 11 bermula sekitar RM1,999, hampir dua kali ganda harga SE 3 yang hanya RM1,049. Kalau bajet jadi pertimbangan, SE 3 jauh lebih mesra poket.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, Apple Watch SE 3 memang satu pakej lengkap untuk mereka yang baru nak cuba jam tangan pintar Apple, tapi tak mahu berbelanja besar untuk model Ultra atau Series 11. Kehadiran Always-On display dan pengecasan pantas memang game changer, apatah lagi dengan tambahan ciri kesihatan seperti Sleep Score dan notifikasi apnea tidur.
Cuma Budiey terfikir, dengan semua ciri hebat ni, adakah Apple secara halus cuba menjadikan SE sebagai model paling “mainstream” yang bakal tarik lebih ramai pengguna Android untuk beralih? Sebab, pada harga bawah RM1,100 dengan fungsi sehebat ini, ia seakan memecahkan stereotype bahawa Apple Watch hanya untuk golongan elit.
Kalau ditanya Budiey, Apple Watch SE 3 ialah jam tangan pintar paling berbaloi yang Apple hasilkan setakat ini. Ia bukan sekadar aksesori gaya hidup, tapi peneman kesihatan dan kecergasan yang sebenar.