Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, Apple Watch telah berkembang daripada sekadar jam tangan pintar kepada satu ekosistem kesihatan dan gaya hidup yang lengkap. Kini, dengan kemunculan Apple Watch Series 11, Apple cuba menetapkan standard baharu dalam dunia wearable – menggabungkan teknologi kesihatan, kecergasan, gaya, dan kelestarian alam sekitar dalam satu produk.
Apple Watch Series 11 bukan hanya jam tangan, ia adalah alat pemantau kesihatan peribadi, jurulatih kecergasan digital, pemberi amaran keselamatan dan pada masa yang sama, sebuah aksesori fesyen. Ia memberi mesej jelas bahawa Apple tidak mahu jam tangan ini hanya cantik di pergelangan tangan, tetapi juga berguna dalam meningkatkan kualiti hidup harian.
Reka Bentuk Nipis, Hayat Bateri Lebih Panjang Dan Ketahanan Maksimum
Apple tahu masalah utama jam tangan pintar ialah bateri cepat habis. Dengan Series 11, Apple menjanjikan sehingga 24 jam hayat bateri. Ini bermaksud anda boleh guna dari pagi hingga malam, malah terus dipakai untuk monitor tidur tanpa risau ia mati. Ditambah pula dengan fast charging – hanya 15 minit sudah cukup untuk memberi lapan jam kuasa.
Dari segi rekaan, Series 11 mengekalkan badan nipis yang selesa, tapi kali ini tampil lebih tahan lasak. Kaca Ion-X dengan salutan seramik menjadikannya dua kali lebih tahan calar. Untuk pengguna yang mahu lebih premium, versi titanium dengan sapphire crystal masih kekal sebagai pelindung paparan paling keras dalam industri.
Dengan ketahanan sebegini, Series 11 bukan sahaja sesuai dipakai ke pejabat atau gym, tapi juga ketika berenang, mendaki, atau aktiviti outdoor ekstrem. Apple mahu memastikan jam ini tidak sekadar gadget, tetapi teman setia dalam apa sahaja cabaran.
Sleep Score: Teknologi Sains Tidur Dalam Satu Skor
Kebanyakan jam pintar hanya fokus kira langkah, kalori dan kadar jantung. Apple melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan Sleep Score, ciri yang menilai kualiti tidur berdasarkan data sains sebenar.
Melalui sensor canggih, Series 11 memantau denyutan jantung, suhu pergelangan, oksigen dalam darah dan corak pernafasan. Ia bukan sekadar paparkan data mentah – tetapi menterjemahkannya kepada skor tidur yang mudah difahami. Skor ini dibina berdasarkan kajian daripada American Academy of Sleep Medicine dan World Sleep Society, jadi ia ada asas saintifik, bukan sekadar gimmick pemasaran.
Dengan skor ini, pengguna boleh tahu aspek mana yang perlu diperbaiki – sama ada tempoh tidur, konsistensi waktu tidur, atau berapa kali anda terjaga di tengah malam. Dalam erti kata lain, Apple cuba menjadikan jam ini sebagai ‘sleep coach’ peribadi.
Workout Buddy & Kecergasan Dipacu Apple Intelligence
Bagi yang aktif bersukan, Apple Watch Series 11 memperkenalkan Workout Buddy, jurulatih digital yang menggunakan Apple Intelligence. Ia memberi motivasi secara langsung berdasarkan data seperti kadar jantung, pace, jarak dan milestone kecergasan peribadi. Bayangkan sedang berlari dan jam anda memberi semangat seolah-olah ada jurulatih sebenar di sisi – inilah pengalaman yang cuba dibawa Apple.
Lebih menarik, Workout Buddy boleh disambung dengan muzik atau podcast automatik mengikut jenis senaman. Apple Music juga akan pilih playlist paling sesuai untuk workout anda. Jadi, setiap sesi kecergasan bukan sahaja produktif tetapi juga lebih menyeronokkan.
watchOS 26: Perisian Baharu Dengan Sentuhan Pintar
watchOS 26 membawakan Liquid Glass design, menjadikan pengalaman visual lebih ekspresif dan moden. Dua muka jam baharu – Flow dan Exactograph – menambah variasi fesyen digital pada pergelangan tangan.
Ciri Live Translation dalam Messages pula membolehkan teks diterjemah secara automatik. Fungsi Hold Assist dan Call Screening menambah lagi kemudahan, terutama bila menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.
Semua ciri ini menjadikan Apple Watch bukan sekadar jam, tetapi sebuah pusat kawalan mini pintar.
Pilihan Warna, Saiz Dan Koleksi Premium
Apple Watch Series 11 hadir dalam dua saiz: 42mm dan 46mm. Warna yang ditawarkan termasuk jet black, rose gold, silver dan space grey aluminium, manakala versi titanium menampilkan pilihan natural, gold dan slate.
Koleksi Hermès tampil dengan rekaan tali eksklusif seperti Faubourg Party knit band dan Grand H metal link band. Manakala koleksi Nike Sport Band dan Nike Sport Loop kini hadir dengan fabrik reflektif yang menambah elemen sporty.
Komitmen Apple 2030: Produk Lebih Hijau, Lebih Lestari
Series 11 juga membuktikan komitmen Apple dalam agenda Apple 2030 untuk menjadi neutral karbon menjelang 2030. Jam ini dibina dengan 40% bahan kitar semula, termasuk 100% kobalt kitar semula dalam bateri.
Proses pembuatan titanium menggunakan teknologi 3D printing yang mengurangkan penggunaan bahan mentah sebanyak separuh. Malah, keseluruhan pengeluaran dijalankan dengan 100% tenaga boleh diperbaharui.
Dari sudut kelestarian, Apple cuba memimpin pasaran dengan mesej bahawa teknologi moden tidak seharusnya merosakkan alam, tetapi menyumbang ke arah dunia yang lebih hijau.
Harga Dan Ketersediaan Di Malaysia
Apple Watch Series 11 akan mula dijual di Malaysia pada harga bermula RM1,799. Pesanan boleh dibuat melalui laman web rasmi Apple dan aplikasi Apple Store, dengan ketersediaan di kedai bermula 19 September.
Menariknya, pembelian Series 11 turut disertakan dengan tiga bulan percuma Apple Fitness+ dan Apple Music untuk pengguna baharu. watchOS 26 pula akan dilancarkan 15 September untuk model terpilih termasuk Series 6 ke atas, SE (generasi ke-2) dan semua model Ultra.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, Apple Watch Series 11 benar-benar mencerminkan hala tuju masa depan wearable – lebih pintar, lebih fokus pada kesihatan, lebih bergaya dan mesra alam. Ciri Sleep Score adalah highlight yang mampu membezakan Apple Watch dengan pesaing, kerana tidur ialah aspek kesihatan yang sering diabaikan tetapi sangat penting.
Kalau nak dibandingkan dengan jenama lain, ada yang tawarkan bateri lebih panjang atau harga lebih murah, tapi ekosistem Apple itulah yang buatkan Series 11 sukar ditandingi. Integrasi dengan iPhone, Apple Music, Apple Fitness+ dan aplikasi kesihatan menjadikannya seamless.
Budiey yakin, dengan harga RM1,799, jam ini mungkin dilihat premium, tetapi untuk pengguna Apple yang mahukan gabungan gaya, teknologi, kesihatan dan kelestarian, Apple Watch Series 11 ialah pelaburan yang berbaloi.