in , ,

Tabber, Miso & Rad Museum Bakal Gegarkan Peminat Malaysia Pada 4 Oktober Ini

Tiga Bintang Korea Dari Label You.Will.Know Hadir Buat Pertama Kali Dengan Persembahan Penuh Jiwa, Cerita Peribadi, Eksperimen Muzik Tanpa Batasan Dan Janji Momen Magis Bersama Peminat Malaysia

Nama Tabber, Miso dan Rad Museum bukan asing dalam dunia muzik Korea Selatan. Mereka bertiga datang daripada label berprestij You.Will.Know, yang dikenali dengan artis-artis berbakat besar seperti Dean. Pada 4 Oktober ini, trio ini akan hadir ke Kuala Lumpur buat pertama kali untuk sebuah konsert yang dijangka menjadi medan pertemuan penuh emosi antara muzik alternatif Korea dengan jiwa peminat Malaysia.

Dalam satu temubual eksklusif, mereka membuka hati bercerita tentang harapan, gaya muzik, ritual sebelum pentas dan impian mereka untuk lebih dekat dengan peminat tempatan. Bukan sekadar kisah muzik, tetapi juga tentang siapa diri mereka yang sebenar di sebalik setiap lagu.

Tabber Mahu Benar-Benar Rasa Kuala Lumpur

Tabber mengaku kunjungannya ke Malaysia sebelum ini agak terburu-buru. “When I was here last time, we didn’t have enough time to go around the city, so this time I’m hoping to explore more,” katanya. Kali ini, beliau tekad untuk menikmati suasana Kuala Lumpur sepenuhnya. Malah, apabila diminta menyenaraikan tempat yang mahu dilawati, dia dengan rendah hati meminta cadangan. Media tempatan pantas menyebut KLCC, Bukit Bintang, Jalan Alor dan Kampung Baru. Mendengarnya, ketiga-tiga artis itu tersenyum. “We’ll definitely check it out, thank you so much,” balas mereka.

Ini menunjukkan Tabber bukan sekadar datang untuk beraksi di pentas, tetapi mahu benar-benar memahami budaya Malaysia – dari mercu tanda moden hinggalah ke warisan kulinari jalanan.

TABBER - 1

Miso Ingat Lagi Kolaborasi Bersama Lil Cherry

Apabila soalan diajukan tentang pengalaman paling mencabar, Miso terus mengimbas kolaborasinya dalam lagu ‘Emotions’ bersama Lil Cherry. “When I met her on the music video set, she filmed her scenes in a very dramatic and cool way, which left a deep impression on me,” jelas Miso dengan penuh semangat.

Tentang identiti muziknya yang sering dilabel dreamy dan soulful, Miso menjawab penuh jujur: “It wasn’t intentional. The sound just comes out naturally when I produce music. I think the things I pursue in life naturally lead me in this direction.”

Di sinilah kekuatan Miso – kejujuran dan organik dalam berkarya. Dia tidak berpura-pura mencipta bunyi untuk trend, sebaliknya membiarkan kehidupan dan pengalamannya menentukan arah muziknya.

Rad Museum Umpama Pameran Seni Hidup

Nama unik Rad Museum sering menimbulkan persoalan. Menjawabnya, dia berkata: “Just to put it simply, we are individually showing things while putting on a museum-like exhibition and among them, I’m THE museum.”

Baginya, setiap karya muzik adalah seumpama karya seni dalam sebuah pameran. Setiap trek ialah satu ruangan, satu emosi, satu pengalaman. Dia sendiri menjadi muzium yang menampung dan mempersembahkan pelbagai bentuk ekspresi.

Eksperimen Muzik Tanpa Sempadan

Apabila ditanya tentang genre baharu, jawapan mereka membuktikan betapa fleksibelnya artis generasi ini. Tabber tidak terikat dengan label genre. “I just incorporate whatever feelings I’m drawn to at the time… So in the future, I might do something unexpected and blend in a lot of different sounds.”

Rad Museum pula menyebut hasratnya untuk menghasilkan muzik house, sementara Miso mahu mencuba techno dan electronic beat. Eksperimen sebegini jelas mencerminkan identiti label You.Will.Know, yang terkenal kerana berani mencabar norma muzik arus perdana Korea.

Konsert Oktober Dijanjikan Sarat Kejutan

Soal apa yang boleh dijangka peminat di konsert 4 Oktober nanti, Rad Museum tersenyum dan berkata: “The fact that it’s our first time coming altogether and performing in Malaysia, already feels like a real surprise.”

Ramai peminat mengharapkan kemunculan Dean, tetapi Rad Museum menjelaskan dengan sopan: “Since he is in the midst of concentrating on his album… he won’t be coming.”

Meskipun begitu, Tabber tetap optimis tentang kemungkinan mereka menghasilkan projek bersama suatu hari nanti. “It would be really cool if we have a song where we each do our own thing separately, but it all comes together and fits perfectly.”

Ritual Sebelum Pentas Dan Tema Persembahan

Setiap artis ada cara unik menenangkan diri. Rad Museum memilih power nap 15 minit, Tabber pula mengubah rasa nervous menjadi motivasi, sementara Miso lebih suka bermeditasi selama 5-10 minit untuk mencari ketenangan.

Tentang tema persembahan, Rad Museum berkata: “I hope it would be a stage where we create a moment where we can all immerse ourselves together.” Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi pengalaman kolektif yang penuh emosi.

Rahsia Kreatif Dan Inspirasi Baru

Rad Museum mendedahkan sesuatu yang berbeza daripada imej kebanyakan artis: “People usually think artists work a lot at night, but I only work in the morning or daytime.”

Miso pula menekankan kejujuran dalam berkarya: “No matter the genre or beat, I think my own unique sound comes out.” Tabber pula mengakui sedang kembali ke akar muzik lama dengan mendengar Whitney Houston dan artis klasik lain.

Inilah bukti bagaimana muzik mereka lahir daripada gabungan pengalaman peribadi, kejujuran dan inspirasi global.

Lagu Yang Paling Mencerminkan Diri

Rad Museum memilih ‘Hanryang’, lagu yang membawa maksud santai dan tenang. Tabber mahu peminat mendengar ‘History Glam’, manakala Miso mengangkat single terbarunya ‘Happy’. Untuk peminat baharu, mereka turut mencadangkan ‘Dancing in the Rain’ (Rad Museum), ‘Let It Go’ (Miso) dan lagu terbaharu Tabber yang belum dilancarkan.

Visual, Seni Dan Hobi Peribadi

Selain muzik, aspek visual juga sangat penting. Rad Museum mereka sendiri kulit albumnya, Tabber bekerja secara individu, manakala Miso bekerjasama dengan artis visual kegemaran. Ini membuktikan ketiga-tiganya bukan sekadar musisi, tetapi juga artis multidimensi.

Di luar muzik, hobi mereka berbeza-beza. Tabber suka seni visual, Rad Museum minat fesyen dan senaman, manakala Miso gemar melukis, mencuba restoran baharu serta membaca tentang berita dunia dan sejarah. Semuanya memperkayakan lagi jiwa seni mereka.

Apa Kata Budiey?

Apa yang jelas, Tabber, Miso dan Rad Museum bukan artis biasa. Mereka datang membawa muzik Korea alternatif dan RnB yang unik, berani bereksperimen dan jujur dengan diri sendiri. Label You.Will.Know membuktikan lagi reputasinya sebagai kolektif yang mencungkil artis-artis dengan suara tersendiri dan identiti visual yang kuat.

Bagi Budiey, kehadiran mereka ke Kuala Lumpur ialah peluang emas untuk peminat menyaksikan bagaimana budaya muzik Korea moden bertembung dengan kehangatan penonton Malaysia. Ia lebih daripada sekadar konsert – ia satu pertemuan dua dunia, dua budaya, dan satu momen magis yang pasti sukar dilupakan.

Soalan Budiey: adakah anda sudah bersedia untuk menyaksikan malam penuh soul, alternatif dan eksperimentasi ini di Kuala Lumpur?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Loco Gegarkan Kuala Lumpur Dengan Scraps Tour Pada 2 November Ini