in ,

Rasa Sakit Rasa Rindu Jadi Bukti Muzik Malaysia Indonesia Semakin Kukuh

Langkah Luncai Emas Ke Pasaran Indonesia Dengan Kolaborasi Eksklusif Komposer Malaysia Dan Penyanyi Indonesia

Luncai Emas terus membuktikan pengaruhnya dalam industri muzik serantau dengan langkah strategik menembusi pasaran muzik Indonesia. Pada 8 Ogos 2025, syarikat rakaman ini melancarkan single terbaharu berjudul “Rasa Sakit Rasa Rindu” bersama video muzik rasmi di saluran YouTube Luncai Emas dan semua platform digital.

Ini bukan sekadar pelancaran biasa. Ia merupakan kesinambungan daripada kejayaan besar lagu-lagu ikonik Malaysia seperti Tiara dan Isabella, yang pernah mencipta fenomena di Indonesia. Melalui kolaborasi terbaru ini, Luncai Emas bukan hanya mahu bernostalgia dengan formula lama, tetapi mengukuhkan kedudukannya sebagai label yang berani membawa karya komposer tempatan ke pentas antarabangsa.

Kolaborasi Dua Jiwa – Sentuhan Malaysia, Suara Indonesia

Projek ini mempertemukan Sang Hitam, komposer eksklusif Luncai Emas yang terkenal dengan lirik puitis dan gelap, bersama penyanyi Indonesia Andrigo, nama besar dalam dunia Pop Melayu. Gabungan ini seperti sebuah eksperimen muzik yang merentas sempadan, mengadun kejujuran lirik Malaysia dengan keaslian vokal Indonesia.

Sang Hitam meluahkan keyakinannya:
“Saya percaya lagu ini akan menyentuh ramai pendengar – tentang sakitnya kehilangan, indahnya rindu, dan ketakutan untuk membuka hati semula.”

Beliau menambah dengan penuh rasa teruja:
“Terima kasih juga Andrigo kerana menyampaikan lagu ini dengan penuh jiwa. Saya amat berbesar hati dan teruja untuk kerjasama ini. Juga kepada Luncai Emas di atas peluang ini kerana julung kalinya lagu saya diterbit dan dinyanyikan di Indonesia. Semoga usaha ini berjaya!”

Rasa Sakit Rasa Rindu Jadi Bukti Hubungan Muzik Malaysia Indonesia Semakin Kukuh

Sang Hitam – Pena Gelap Yang Menyentuh Jiwa

Nama pena Sang Hitam bukan asing bagi pencinta muzik Malaysia. Beliau terkenal dengan karya yang berani, memaparkan realiti kehidupan yang penuh luka, rindu, dan kehilangan. Setiap lirik yang ditulisnya membawa dimensi emosi yang mendalam, membuatkan pendengar merasa seperti sedang melalui pengalaman peribadi.

Antara karya popular Sang Hitam termasuk:

  • Kata Akhirmu – Ariff Bahran
  • Kepuraanmu – Luqman Faiz
  • Menggenggam Bahagia – Sufian Suhaimi
  • Bicara Rasa – Ariff Bahran
  • Sang Purnama – Wani Syaz

Karya terkininya, “Gelora Jiwa Meronta Asmara” nyanyian Tomok & Siti Nordiana, menegaskan lagi reputasinya sebagai penulis lirik dan komposer yang mampu menyentuh rasa.

Andrigo – Suara Dari Riau Yang Menyapa Hati

Andrigo, penyanyi asal Riau, sudah lebih 16 tahun mewarnai industri Pop Melayu. Beliau pernah bernaung di bawah label besar NAGASWARA, yang menaungi artis ternama seperti WALI, Zaskia Gotik, dan Siti Badriah. Dengan deretan hits seperti Pacar Selingan, Demi Cinta, Cinta Yolanda, dan Terbunuh Rindu, Andrigo sudah punya tempat di hati pendengar Indonesia.

Tentang kolaborasi ini, Andrigo berkongsi:
“Saya berharap lagu ini menjadi nafas baru dalam kerjaya saya di tahun 2025, dan diterima baik oleh pecinta muzik Indonesia dan Malaysia. Lagu ini sangat istimewa kerana muziknya dikemas dengan sentuhan slow rock Malaysia.”

Beliau turut menceritakan bagaimana projek ini bermula:
“Awalnya waktu itu Igo pernah berkomunikasi dengan Luncai Emas untuk rakam ulang Isabella, berjumpa dengan Dato’ M. Nasir dan ibu Jennifah selaku Pengarah Hakcipta Luncai Emas. Dari silaturrahim dan komunikasi tersebutlah akhirnya pada tahun 2025 realisasinya single ini.”

Strategi Menawan Pasaran Indonesia

Pelancaran single ini adalah hasil kerjasama Luncai Emas Sdn. Bhd. (Malaysia) dan PT. Dua Suara Media (Indonesia). Dengan Dodhy dari Kangen Band sebagai penerbit muzik dan gubahan oleh Sang Hitam, karya ini sarat dengan DNA slow rock Malaysia yang digemari di rantau ini.

PT. Dua Suara Media sendiri bukan calang-calang label. Ia pernah menerbitkan lagu “Cinta Sampai Mati” nyanyian Raffa Affar, yang mencatat sejarah sebagai lagu luar negara paling banyak dipersembahkan di Anugerah MACP 2023 dan 2024. Kerjasama ini jelas menunjukkan usaha serius Luncai Emas untuk mengangkat karya tempatan agar mampu bersaing di carta muzik serantau.

Fakta Ringkas Tentang Lagu

  • Judul Lagu: Rasa Sakit Rasa Rindu
  • Artis: Andrigo
  • Lirik & Komposer: Sang Hitam
  • Penerbit: Dodhy (Kangen Band)
  • Penggubah: Sang Hitam
  • Tarikh Rilis Video Muzik: 8 Ogos 2025
  • Publishing:
    • OP: Luncai Emas Sdn. Bhd. (Malaysia)
    • SP: PT. Dua Suara Media (Indonesia)
    • (P): Luncai Emas Sdn. Bhd. / Dua Suara Media

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, langkah ini adalah satu masterstroke. Industri muzik kini semakin global, dan kolaborasi seperti ini bukan saja membuka pintu pasaran baharu tetapi juga memperkukuh identiti muzik Malaysia. Dengan formula slow rock yang masih relevan dan digemari di Indonesia, ditambah dengan vokal Andrigo yang dekat dengan jiwa pendengar, Budiey yakin lagu ini ada potensi besar untuk mencipta fenomena.

Namun, cabaran terbesar adalah soal promosi dan pemasaran. Lagu ini perlu dipromosikan secara agresif di dua negara agar momentum tidak terhenti selepas pelancaran. Jika Luncai Emas bijak menggunakan media sosial, platform digital, serta memanfaatkan nostalgia lagu-lagu evergreen seperti Isabella dan Tiara, tidak mustahil “Rasa Sakit Rasa Rindu” akan jadi anthem baharu Malaysia-Indonesia.

Apa yang pasti, inilah masanya untuk kita melihat karya komposer Malaysia bukan sahaja berdiri megah di tanah air sendiri, tetapi juga diraikan di pentas antarabangsa.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Noryn Aziz Hidupkan Semula Jazz Melayu Dengan ‘Kaki Kiriku’