Taman Safari Indonesia (TSI) bukan sekadar nama, tapi sudah menjadi simbol kepada pemuliharaan hidupan liar dan edutainment keluarga di rantau Asia Tenggara. Dengan kehadiran mereka yang semakin kuat di Malaysia, TSI jelas mahu mengajak rakyat Malaysia untuk melihat Indonesia dari perspektif yang berbeza – bukan sekadar destinasi pelancongan biasa, tetapi sebuah perjalanan yang menyatukan hiburan, ilmu, dan tanggungjawab terhadap alam.
Sejak ditubuhkan pada 1981, TSI telah berkembang daripada sebuah taman safari kecil di Cisarua, Bogor kepada rangkaian besar dengan enam taman safari dan empat resort eksklusif. Hari ini, mereka bukan sahaja menerima lebih 5 juta pengunjung setiap tahun, tetapi juga diiktiraf sebagai peneraju dalam industri pelancongan lestari.
Tarikan Eksklusif Yang Buat Pelancong Malaysia Rasa Teruja
Apa yang buat TSI begitu istimewa? Jawapannya adalah pengalaman yang takkan dilupakan. Setiap lokasi mempunyai identiti dan kisahnya sendiri.
Di Bali, wujud Marine Safari Bali – sebuah taman marin yang membawa pengunjung “menyelam” ke dunia ekosistem tropika hingga ke dasar lautan. Di sini, anda boleh melihat jerung, ikan pari, penguin, malah menyaksikan pertunjukan Varuna, teater bawah laut pertama di Indonesia yang menggabungkan hiburan seni pentas dengan mesej pemuliharaan laut. Ia bukan sekadar pertunjukan, tetapi pengalaman yang membuka mata tentang pentingnya menjaga ekosistem marin.
Sementara itu, di Jawa Timur, The Grand Taman Safari Prigen terkenal sebagai taman safari terbesar di Asia Tenggara. Tarikan paling ikonik di sini ialah peluang untuk Sarapan dan Makan Malam bersama Zirafah di Baobab Safari Resort. Bayangkan sedang menikmati hidangan sambil zirafah berkeliaran bebas di sisi anda. Ia bukan hanya “Insta-worthy moment”, tetapi pengalaman yang membawa anda lebih dekat dengan haiwan.
Di Bogor pula, TSI menggabungkan suasana hutan hujan tropika dengan kawasan safari terbuka, membolehkan pengunjung menyaksikan haiwan seperti singa, harimau dan badak dari jarak dekat – seakan-akan berada dalam dokumentari National Geographic, tetapi versi realiti.
Peranan Serius Dalam Pemuliharaan Dan Pendidikan
TSI bukan hanya menjual tiket masuk dan hiburan. Mereka aktif menjalankan program pemuliharaan spesies terancamseperti orang utan, burung jalak Bali, dan naga Komodo. Lebih menarik, mereka juga terlibat dalam usaha antarabangsa seperti projek pemuliharaan panda gergasi bersama China serta inisiatif bank sperma harimau yang menjadi langkah penting dalam penyelidikan genetik.
TSI juga merupakan ahli aktif dalam European Association of Zoos and Aquaria (EAZA), menandakan pengiktirafan global terhadap peranan mereka. Setiap projek pemuliharaan bukan sahaja dijalankan dalam konteks taman, tetapi juga melibatkan pelepasan hidupan liar kembali ke habitat asal untuk memastikan keseimbangan ekosistem.
Malaysia Jadi Rakan Strategik Dalam Visi Pelancongan Lestari
Bagi TSI, Malaysia bukan sekadar pasaran – ia adalah rakan strategik. Alexander Zulkarnain, Pemangku Pegawai Pemasaran ACT Taman Safari Indonesia Group menegaskan:
“Malaysia lebih daripada sekadar jiran. Ia adalah rakan utama dalam visi kami untuk menawarkan pengalaman pelancongan mesra keluarga, berpendidikan dan berteraskan pemuliharaan. Kami dengan sukacitanya menjemput para pelancong Malaysia untuk meneroka taman kami, mengenali kepelbagaian biodiversiti Indonesia dan bersama kami dalam misi melindungi hidupan liar untuk generasi akan datang.”
Kenyataan ini mencerminkan kesedaran TSI bahawa rakyat Malaysia kini semakin memilih percutian yang lebih berimpak – bukan sahaja untuk berseronok, tetapi juga untuk belajar dan memberi sumbangan kepada kelestarian alam.
Jakarta Jadi Destinasi Moden Dengan Identiti Baharu
Selain taman safari, Jakarta kini sedang melalui transformasi besar sebagai destinasi pelancongan. Menurut Andhika Permata, Ketua Jabatan Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Jakarta:
“Dengan membawa tema Enjoy More The Unexpected of Jakarta, kota ini bukan lagi sekadar tempat transit atau perniagaan. Jakarta telah berubah menjadi destinasi penuh pengalaman. Dari warisan hingga pencakar langit, dari makanan jalanan hingga santapan mewah, Jakarta menawarkan segalanya.”
Ini bermakna pelancong Malaysia bukan sahaja boleh ke taman safari, tetapi juga boleh meneroka sebuah metropolis yang kini semakin mesra pelancong dengan tarikan berlapis – dari budaya, sejarah, hingga hiburan moden.
Taman Safari Indonesia Dan Komuniti Setempat
TSI juga mempunyai pendekatan inklusif. Mereka aktif membantu komuniti sekitar dengan mencipta peluang pekerjaan, mendapatkan bekalan makanan haiwan daripada petani tempatan, bekerjasama dengan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) serta menyokong pembangunan desa pelancongan. Langkah ini memastikan manfaat pelancongan tidak berhenti kepada pelancong semata-mata, tetapi mengalir terus kepada masyarakat sekitar.
Apa Kata Budiey?
Budiey melihat langkah Taman Safari Indonesia memperkukuh kehadiran di Malaysia ini sebagai satu strategi bijak. Industri pelancongan global kini sedang bergerak ke arah pengalaman bermakna – di mana pelancong bukan sekadar mahu melancong, tetapi mahu pulang dengan cerita, pengetahuan, dan rasa bahawa mereka telah menyumbang sesuatu.
TSI menawarkan gabungan yang seimbang antara hiburan dan pemuliharaan. Kanak-kanak boleh berseronok melihat haiwan dari dekat, manakala orang dewasa boleh belajar tentang kepentingan memelihara biodiversiti. Lebih penting, rakyat Malaysia kini ada sebab baharu untuk memilih Indonesia – bukan sekadar kerana pantai Bali atau shopping di Jakarta, tetapi kerana pengalaman safari yang unik dan penuh makna.
Bagi Budiey, masa depan pelancongan haruslah begini: lebih bertanggungjawab, lebih memberi kesedaran, dan lebih mendalam. Dengan TSI membuka pintu seluasnya untuk pelancong Malaysia, inilah peluang untuk kita semua menjadi sebahagian daripada misi besar melindungi alam – sambil menikmati pengembaraan yang luar biasa.