in , ,

Drama Seadanya Kita Tampil Dengan Kisah Antara Ibu Tunggal & Rockstar Muda

Drama Terbaharu Viu Malaysia Mengangkat Tema Perbezaan Usia, Harapan Dan Peluang Kedua Dalam Sebuah Kisah Menyentuh Hati

Viu Malaysia kembali dengan sebuah drama bersiri yang dijangka mencuri hati penonton bermula 7 Ogos 2025, iaitu Seadanya Kita (Unexpectedly Yours). Drama romantik 15 episod ini akan ditayangkan secara eksklusif di Viudengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat, membawakan tema cinta luar jangkaperbezaan usiaharapan, dan peluang kedua yang penuh emosi.

Kali ini, Viu mempertaruhkan gandingan Emma Maembong dan Mierul Aiman – dua nama besar yang buat pertama kali digandingkan di layar drama, dengan lakonan penuh jiwa yang dijangka menjadi bualan ramai.

Drama SEADANYA KITA

Kisah Tentang Luka Lama, Harapan Baru Dan Cinta Yang Tidak Dirancang

Cerita bermula dengan Alani (Emma Maembong), seorang ibu tunggal yang berusaha membina semula hidupnya bersama anak lelaki, Iqi (Mikael Noah), selepas ditinggalkan oleh suami, Farouq (Shahz Jaszle). Lima tahun kemudian, tatkala kehidupannya mula stabil, kemunculan semula Farouq mengganggu ketenangan yang susah payah dibinanya.

Di tengah kekalutan itu, Alani bertemu dengan Kerol (Mierul Aiman), seorang penyanyi rock muda yang masih bergelut dengan masa silamnya. Hubungan mereka bermula atas urusan kerja, namun perlahan-lahan berkembang menjadi sesuatu yang lebih mendalam. Kehadiran Kerol membawa suasana baru dalam keluarga kecil Alani – malah, tanpa disedari, Kerol mula mengambil peranan penting dalam hidup Iqi. Persoalannya, adakah Alani bersedia membuka pintu hatinya sekali lagi?

Seadanya Kita bukan sekadar drama cinta tipikal. Ia memaparkan dilema seorang wanita yang terperangkap antara masa lalu yang ingin peluang keduamasa kini yang perlu dipertahankan, dan masa depan yang menjanjikan kebahagiaan.

Barisan Pelakon Mantap Dan Pasukan Produksi Berpengalaman

Selain Emma dan Mierul, drama ini turut dibarisi pelakon berkaliber seperti Shahz Jaszle, Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan dan Mikael Noah. Setiap watak diberikan penghayatan mendalam untuk memastikan penonton benar-benar merasai perjalanan emosi setiap karakter.

Di kerusi pengarah, Feroz Kader – nama yang tidak asing dalam industri – membawa sentuhannya selepas kejayaan drama Pabila Dia Tersenyum. Diterbitkan oleh Global Film Station, kerjasama ini sekali lagi membuktikan komitmen Viu dalam menghasilkan naskhah tempatan yang dekat di hati penonton.

Menurut Imillya Irwani Roslan, Pengarah Produksi Viu Malaysia:

“Kami amat teruja untuk membawakan Seadanya Kita kepada para penonton. Drama ini istimewa kerana ia mempertemukan buat pertama kali gandingan Mierul Aiman dan Emma Maembong. Keserasian mereka amat menyentuh perasaan dan memberi kejujuran kepada sebuah kisah yang mendalam tentang cinta, keluarga dan pilihan hidup – termasuklah persoalan sama ada perbezaan usia benar-benar menjadi halangan atau sekadar persepsi.”

Drama SEADANYA KITA

Lagu Tema Penuh Emosi Dari Syamel

Drama ini turut menampilkan lagu tema rasmi berjudul “Berakhir Kita”, nyanyian Syamel. Lagu ini dicipta oleh Shazriq Azeman dan Omar K dari World Peace Music, membawa melodi balada yang menyayat hati, seiring dengan mood dan tema drama. Lagu ini dilancarkan serentak dengan episod pertama dan boleh didengari di semua platform penstriman utama serta saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

Platform Dan Cara Menonton

Seadanya Kita boleh ditonton secara eksklusif di Viu. Penonton boleh memuat turun aplikasi Viu melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery, atau menonton di TV pintar dan laman web rasmi www.viu.com. Ikuti perkembangan dan promosi drama ini di Facebook, Instagram, YouTube, X, dan TikTok rasmi Viu.

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, Seadanya Kita punya ramuan lengkap untuk jadi drama kegemaran penonton – gandingan pelakon yang kuat, plot yang menyentuh emosi, dan produksi yang kemas. Apa yang membuatkan drama ini menarik adalah keberaniannya menyentuh isu perbezaan usia dalam percintaan, yang jarang diangkat dalam drama tempatan.

Kisahnya mungkin kelihatan seperti cerita cinta biasa, tetapi di balik itu ia mengupas konflik dalaman yang realistik – bagaimana seorang wanita yang pernah dikecewakan, masih berhak mencari bahagia, walaupun dalam bentuk yang tidak dijangka. Ditambah pula dengan elemen muzik melalui watak Kerol, ia memberi dimensi tambahan yang membuatkan penonton bukan sekadar menonton, tetapi turut merasai getaran setiap babak.

Kalau Viu berjaya mengekalkan momentum emosi dari episod pertama hingga terakhir, Budiey yakin drama ini bukan saja akan trending, malah meninggalkan kesan mendalam di hati penontonnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Persembahan Sulung Kumar Sanu di Malaysia Hidupkan Romantis Era Bollywood