in , ,

Malik Choo Bawa Cinta Tulus Dalam Karya Solo Pertama Berjudul ‘Suka Kamu’

Daripada Lagu Kolaborasi Viral Ke Karya Solo Pertama Malik Choo. Kisah Moden Tentang Menerima Seadanya

Dalam dunia muzik tempatan, nama Malik Choo bukanlah sekadar tempelan. Dia adalah suara yang pernah mengisi ruang trending, wajah yang pernah menghidupkan kempen jenama besar, dan personaliti yang tidak takut untuk bereksperimen. Namun, selepas beberapa tahun bermain di zon selesa sebagai artis undangan lagu-lagu viral, Malik kini membuat langkah yang lebih berani — keluar dari bayang-bayang kolaborasi dan berdiri dengan identiti sendiri.

Lahirnya single ‘Suka Kamu’ pada 8 Ogos 2025 adalah seperti pengisytiharan rasmi: Malik Choo kini bukan sekadar ‘side character’ dalam cerita muzik orang lain. Dia kini protagonis dalam kisahnya sendiri.

Cinta Yang Tidak Hanya Memuja Rupa

Diterbitkan oleh PERSATUAN, ‘Suka Kamu’ mengangkat naratif cinta yang realistik dan dekat dengan realiti anak muda sekarang. Malik bersama penulis bersama Shazee Ishak dan Mambang bijak membina lirik yang tidak terlalu berpuitis tetapi cukup melekat di kepala. Korusnya – “Ku suka kamu seperti kamu” – kedengaran seperti ayat biasa, tapi di situlah magisnya. Ia mudah dihafal, mudah dinyanyikan, tapi sarat makna tentang penerimaan tanpa syarat.

Dalam dunia yang semakin terperangkap dengan penampilan, filter media sosial, dan obsesi terhadap ‘perfect image’, lirik ini seperti satu tamparan manis – mengingatkan kita bahawa cinta yang kekal adalah cinta yang melihat lebih daripada luaran.

Malik Choo Bawa Cinta Tulus Dalam Karya Solo Pertama Berjudul ‘Suka Kamu’

Video Muzik Yang Bukan Sekadar Cantik Dipandang

Ramai penyanyi buat video muzik hanya untuk hiasan. Tapi Malik Choo tidak memilih jalan itu. Dia membawa masuk pengarah Fareez Nasir, yang dikenali dengan sentuhan visual bercerita, untuk menghidupkan lagu ini. Hasilnya, kita dapat sebuah kisah yang bukan sahaja romantik, tetapi memainkan kad identiti Malaysia dengan sangat bijak.

Plotnya mengisahkan seorang penghantar barang yang pemalu (Malik) yang berkenalan dengan gadis lantang dan berani (Wan Nasuha). Di permukaan, ia mungkin kelihatan seperti klise cerita cinta. Namun, di sebalik itu, ia membicarakan sesuatu yang lebih besar: bahawa cinta tidak membezakan warna kulit, latar belakang atau agama.

Malik sendiri menjelaskan, “Saya mahukan video muzik itu menceritakan kisah dari sudut pandangan peribadi, dari sudut seorang muallaf, dan bersamanya, keindahan masyarakat berbilang kaum Malaysia. Video muzik dan lagu ini sangat bermakna buat saya – sebagai insan yang kembali kepada fitrah. Saya merasai kemesraan rakyat Malaysia, di mana cinta bukan dinilai dari asal usulmu, tapi dari pilihan jiwamu.”

Itu bukan sekadar promosi, tapi pengakuan yang lahir dari pengalaman hidupnya sendiri.

Malik Choo Bawa Cinta Tulus Dalam Karya Solo Pertama Berjudul ‘Suka Kamu’

Dari Nama Viral Kepada Figura Serius Dalam Muzik

Bagi mereka yang mengikuti perjalanan Malik, dia pernah menjadi Malik Abdullah, nama yang sering muncul dalam projek-projek besar. Lagu ‘Kita Jaga Kita’ bersama YB Altimet dan Cuurley bukan sahaja menjadi soundtrack tidak rasmi semasa pandemik, malah mencecah 10 juta tontonan di YouTube. Begitu juga dengan ‘Lelaki Di Telefon’bersama Afieq Shazwan, yang mencatat 1.7 juta penstriman di Spotify dan 11 juta tontonan di YouTube.

Dia juga pernah menjadi ahli kumpulan ‘Chop’ dalam rancangan realiti Astro The Last TRIO Standing. Tambah menarik, Malik fasih Bahasa Kantonis, Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggeris, memberi dia kelebihan untuk menembusi pelbagai pasaran dan komuniti.

Malik Choo_05

Mentor Hebat, Platform Kukuh

Perjalanan solo Malik tidaklah bersendirian. Di belakangnya berdiri YB Altimet, bukan sahaja sebagai mentor, tetapi juga sebagai inspirasi dan figura penting dalam pembentukan identiti muziknya. Altimet juga akan membuat penampilan istimewa dalam video muzik ‘Suka Kamu’, menjadikan kolaborasi ini bukan sekadar pertemuan artis dan mentor, tetapi gabungan dua generasi rap yang saling menghormati.

Menariknya, projek ini turut direalisasikan melalui geran DKK Industri Muzik Dana Kebolehan Pasaran (Domestik 2.0), hasil inisiatif MyCreative Ventures bersama KKMM (Kementerian Komunikasi). Menurut pihak SVLTAN Management, sokongan ini membuktikan kerajaan serius mahu memajukan industri kreatif tempatan, dan Malik adalah contoh artis yang menggunakan peluang itu dengan betul.

Malik Choo Bawa Cinta Tulus Dalam Karya Solo Pertama Berjudul ‘Suka Kamu’

Impian Lebih Besar: Bawa ‘Suka Kamu’ Ke Dunia

‘Suka Kamu’ bukan sekadar untuk pasaran Malaysia. Dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, Malik dan SVLTAN Management mahu mengangkat lagu ini ke pentas antarabangsa. Strateginya jelas — gunakan keunikan identiti Malaysia, gabungkan dengan naratif universal tentang cinta, dan posisikan Malik sebagai suara Asia yang segar.

Bagi yang ingin mengikuti perjalanan Malik Choo, boleh ikuti beliau di semua media sosial:
Instagram: @malikchoo
Twitter: @malikchoo
TikTok: @malikchoo

Apa Kata Budiey?

Budiey lihat ‘Suka Kamu’ sebagai statement piece Malik Choo – lagu yang bukan sahaja memperkenalkan dirinya sebagai artis solo, tetapi juga sebagai pencerita. Malik bijak mengimbangi mesej yang bermakna dengan melodi yang mesra telinga. Dalam dunia muzik pop Malaysia yang kadang-kadang terlalu dibanjiri formula cinta generik, ‘Suka Kamu’ hadir sebagai alternatif yang lebih tulus, grounded, dan relatable.

Dan kalau nak jujur, Budiey rasa Malik ada potensi untuk jadi salah seorang artis yang mampu pecah tembok antara pasaran lokal dan antarabangsa. Dia ada cerita, dia ada suara, dan sekarang dia ada lagu yang boleh jadi pasportnya ke pentas dunia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MOVE Perkenal Discover Asean Pacu Pelancongan Serantau Lebih Lancar