in ,

Fiza Frizzy Dedah Ditipu Influencer & Ejen Percutian, Rugi Lebih RM30,000

Bila Impian Jadi Mimpi Ngeri: Fiza Frizzy Tampil Lantang Bongkar Penipuan Percutian Berskala Besar

Tak semua percutian berakhir dengan tawa dan memori manis. Kadang-kadang, sehelai pasport dan setitik kepercayaanpun boleh jadi perangkap licik. Itulah realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh pengacara popular, Fiza Frizzy, apabila beliau tampil mendedahkan kisah sebenar yang menggemparkan ramai pihak – ditipu oleh ejen percutian palsu hingga rugi lebih RM30,000, malah turut melibatkan ramai pempengaruh dan selebriti lain yang senasib dengannya.

Fiza atau nama sebenarnya Nur Hafizah Md Saad, berkata dia diperkenalkan kepada ejen percutian yang dikenali sebagai Ira oleh seorang rakan pempengaruh yang selama ini dipercayai. Tetapi siapa sangka, kepercayaan itu jadi punca padah.

“Saya diperkenalkan dengan ejen itu oleh seorang rakan pempengaruh. Kawan itu memang bersungguh-sungguh cakap ejen itu sudah terbukti dipercayai dan memang perniagaannya sah,” jelasnya kepada media.

Percutian Ke Jepun Yang Bertukar Mimpi Buruk

Bayangkan, segala itinerary dah siap, pakaian dah ‘packing’, anak-anak pun dah teruja. Tapi bila tibanya tarikh 29 Mei – hari yang sepatutnya jadi permulaan kepada memori indah ke Tokyo, tiket penerbangan masih belum dihantar, sedangkan bayaran sebanyak RM8,400 sudah dilangsaikan kepada ejen.

Akhirnya, kerana tidak mahu kecewakan keluarganya – terutamanya anak-anak yang tak sabar nak lihat Doraemon secara ‘live’, Fiza nekad untuk tanggung sendiri kos tambahan.

“Saya terpaksa keluarkan lagi RM25,000 daripada poket sendiri untuk percutian itu. Tapi terus-terang, saya memang tak gembira langsung. Jiwa kacau sebab rasa diperdaya. Tapi demi anak-anak, saya kuatkan hati,” katanya.

Fiza juga mengakui dia sudah mula rasa tak sedap hati seawal sehari sebelum berlepas, namun tetap memberi ruang kepada ejen untuk menunaikan janji – tapi semuanya hanya harapan kosong.

Bila Duit Lesap, Hati Remuk Tapi Fiza Pilih Untuk Bangkit

Walaupun ejen itu berjanji akan pulangkan semula wangnya, sehingga kini hanya RM1,500 dikembalikan. Tetapi Fiza bukan hanya mencari semula wangnya, dia kini berjuang untuk menyedarkan masyarakat, supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik yang semakin berleluasa di media sosial.

“Tak kisahlah dapat atau tidak duit itu balik. Saya tampil ke depan sebab saya nak wujudkan kesedaran kepada semua. Cukuplah saya jadi mangsa, jangan ada orang lain yang lalui apa saya lalui,” tegasnya.

30 Lagi Mangsa Terkandas – Siapa Seterusnya?

Apa yang lebih membimbangkan, Fiza mendakwa bahawa dia bukanlah satu-satunya mangsa. Lebih 30 individu laintermasuk rakan pempengaruh, selebriti dan ahli keluarga mereka turut terjerat dalam penipuan yang sama. Ia bukan lagi satu kes terpencil, tetapi satu modus operandi yang tersusun dan terancang.

“Lebih teruk, rupanya ada lebih 30 lagi mangsa. Jadi, ‘scammer’ tu memang berbahaya. Saya tak boleh diam. Saya kena jadi suara untuk yang lain.”

Beliau juga mendedahkan bahawa kes ini sedang disiasat oleh pihak polis, selepas beliau membuat laporan rasmi di Balai Polis Hartamas. Tambah mengejutkan, penipuan ini pernah dilaporkan sebelum ini – membuktikan bahawa si penipu ini masih bebas dan aktif menjalankan kegiatan haram.

Budiey Kupas: Kenapa Scam Percutian Kian Menjadi-Jadi?

Budiey sebagai seorang pengulas gaya hidup dan KOL yang aktif, merasakan kisah seperti ini tidak seharusnya dipandang remeh. Ia mencerminkan bagaimana kuasa pengaruh di media sosial boleh digunakan untuk tujuan salah oleh individu tidak bertanggungjawab. Di sebalik ‘feed’ yang indah dan ‘posting’ yang estetik, terdapat ramai mangsa yang sedang menyembunyikan luka kerana tertipu.

Malah, scammer kini semakin bijak, mereka tidak lagi beriklan secara terang-terangan – sebaliknya menggunakan strategi halus dengan menyelinap masuk ke dalam rangkaian kenalan yang dipercayai. Bila ada ‘endorsement’ dari pempengaruh, ramai terus yakin tanpa buat semakan lanjut.

Budiey ingin ingatkan semua pembaca, tak kisahlah pakej itu murah, nampak real, atau dikenali melalui mutual friend sekali pun – pastikan korang buat semakan terlebih dahulu. Google nama syarikat. Cari review daripada pelanggan sebelum. Semak status syarikat dengan SSM. Kalau perlu, buat panggilan terus kepada agensi pelancongan sah yang berdaftar dengan MOTAC.

Dan kalau ada rakan yang terjebak atau jadi mangsa, jangan malu untuk bersuara. Suara anda mungkin boleh selamatkan orang lain.

Apa Kata Budiey?

Kisah Fiza Frizzy ini adalah kisah semua orang – siapa sahaja boleh terkena. Budiey percaya, pendekatan berdiam diri hanya akan beri ruang untuk scammer terus bermaharajalela. Kita perlu sokong lebih ramai selebriti dan pempengaruh yang berani tampil bersuara, kerana dari situ, barulah masyarakat akan mula peka.

Buat pempengaruh dan KOL, tolonglah buat semakan sebelum rekomen apa-apa kepada followers. Reputasi kita bukan sahaja tanggungjawab peribadi, tapi juga amanah kepada mereka yang percaya. Jangan kerana satu kolaborasi, ramai yang terkorban.

Dan buat semua yang pernah terkena, ingat… anda tidak keseorangan. Suara anda penting. Jangan biar trauma ini terus mematahkan semangat anda untuk bercuti, bermimpi atau percaya kepada dunia luar. Cuma, kali ini… percaya dengan lebih bijak.

Jangan tunggu sampai kita sendiri jadi mangsa. Buka mata. Ambil tahu. Sebar maklumat. Supaya tiada lagi Fiza yang kedua, ketiga atau ke-31.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lindungi Data Peribadi Anda Dengan Samsung Galaxy A56 5G & A36 5G