Dunia kandungan digital Malaysia menyaksikan satu lagi momen bersejarah apabila Thousands of Years Media (ToYm) dengan kerjasama Sunstrong Entertainment, ToYm Wardrobe, WMDdan Flowers.com.my menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm di Majestic Marine Ballroom @ Confetti KL, Mines 2.
Lebih 300 tetamu VIP, penggiat industri, pencipta kandungan, selebriti dan media membanjiri ruang ballroom, menyaksikan malam penuh glam yang bukan sahaja meraikan bakat tempatan, tetapi juga mengiktiraf kreativiti luar biasa dari rantau Asia Timur. Budiey turut hadir sebagai wakil media & KOL, menyaksikan detik-detik paling epik sepanjang acara ini.
Dari Malaysia Ke Taiwan, Lebih 300 Penyertaan Disaring Demi Mencari Naskhah & Drama Mikro Paling Luar Biasa
Sejak penyertaan dibuka, pertandingan ini menerima lebih 300 karya original dari Malaysia, China, Hong Kong dan Taiwan. Bukan calang-calang! Ini membuktikan bahawa ToYm bukan sekadar platform tempatan, tapi tengah mengorak langkah jadi jenama serantau dalam dunia skrip dan drama mikro.
Ini selari dengan lonjakan minat terhadap kandungan berdurasi pendek yang semakin popular di TikTok, YouTube Shorts dan platform OTT. Trend global ni sedang berkembang, dan Malaysia dah pun mula menyertai arusnya.
Jment Lim Kongsi Visi & Misi ToYm Yang Bukan Saja Tentang Seni, Tapi Tentang Jiwa Manusia
Dalam ucapan rasmi pembukaan, Jment Lim — pengasas ToYm dan Sunstrong Entertainment — memberikan statement yang cukup menyentuh hati:
“Walaupun dunia ini tidak sempurna, selagi kita sanggup bertanggungjawab dan melakukan bahagian kita, kita tetap mampu menjadikan dunia kita sendiri— serta seluruh dunia — lebih baik sedikit demi sedikit.”
– Jment Lim
Kata-kata ini jadi semangat kepada semua kreator yang hadir malam itu. Jment juga berkongsi bahawa ToYm telah melaburkan dana besar dan komitmen jangka panjang dalam membina ekosistem kandungan yang asli dan berdaya saing, termasuk projek seperti Pertandingan Idol Bintang Baharu, Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro, dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik.
Dari Pentas Lokal Ke Arena Global: ToYm Bawa Kandungan Malaysia Ke Mata Dunia
Antara kisah kejayaan paling membanggakan yang dibawa malam itu adalah filem cereka “Snow in Midsummer” — karya yang bukan sahaja mendapat tempat di Festival Filem Antarabangsa Venice, tetapi turut memenangi anugerah besar seperti:
- Uncaged Award for Best Feature Film (NY Asian Film Festival ke-23)
- Firebird Award for Best Film (Young Cinema Competition – Festival Filem Antarabangsa Hong Kong ke-48)
Ini satu langkah besar untuk filem tempatan, dan secara tak langsung mengangkat naratif Malaysia ke persada antarabangsa.
In Character: Drama Mikro Bahasa Cina Pertama Malaysia Catat 14 Juta Tontonan
Bukan filem saja yang cemerlang. Untuk genre mikro drama pula, “In Character” menjadi game changer. Ia merupakan drama mikro berbahasa Cina pertama negara, dan mencatat lebih 14 juta tontonan dalam masa singkat. Jumlah ini mengatasi kebanyakan drama televisyen tradisional dan membuktikan format mikro drama sangat relevan untuk audiens hari ini.
Eksklusif: ToYm Bakal Terbit Lima Lagi Drama Mikro, Termasuk Dalam Bahasa Melayu
Dalam satu pengumuman mengejut, Jment turut mendedahkan bahawa ToYm kini dalam perancangan menerbitkan sekurang-kurangnya lima drama mikro baharu — termasuk dalam bahasa Melayu, serta bertemakan perayaan dan budaya Malaysia.
Langkah ini bukan sahaja menambah kepelbagaian kandungan, tetapi memperluas peluang buat penulis skrip dan pengarah muda untuk menyertai gelombang baru industri hiburan digital tanah air.
Fatimah Noryyah Tampil Memukau – Artis Baharu ToYm Yang Multifasetik
Salah satu detik paling ikonik malam itu ialah persembahan debut Fatimah Noryyah, artis wanita pertama ToYm. Dengan penuh gaya dan keyakinan, beliau menyanyikan:
- “Always Remember Us This Way”
- “Bukan Cinta Biasa” (lagenda Dato’ Siti Nurhaliza)
- Lagu klasik Mandarin “Tibetan Plateau”
Bukan calang-calang bakat — Fatimah fasih menyanyi dalam tiga bahasa, menjadikannya bakat versatil yang mampu menembusi pasaran serantau. Budiey yakin, beliau bakal jadi ikon baharu Malaysia jika diberi pentas yang lebih luas.
Pemenang-Pemenang Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro ToYm
Hadiah Utama
Tajuk: Murderous Girl
Hadiah Wang Tunai: RM30,000.00
Naib Juara
Tajuk: The Invisible Killer
Hadiah Wang Tunai: RM20,000.00
Sagu Hati (RM5,000 setiap pemenang):
- GOKILL
- Kepada Pelajar Baru (To New Students)
- Office Battle Royale
- A Very Tiring Day
- Healing Hearts
Pemenang-Pemenang Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm
Hadiah Utama
Tajuk: The Girl from the Other Side of the Galaxy
Pencipta: Yap Khai Jing
Hadiah Wang Tunai: RM100,000.00
Naib Juara
Tajuk: STEP BACK
Pencipta: Khairi Hizami Bin Zalani
Hadiah Wang Tunai: RM50,000.00
Sagu Hati (RM10,000 setiap pemenang):
- The Delivery Vault – Emagina Studio
- Devour – Chew Huat Yeow
- Miss Ctrl+Z – Felix Tai Voon Beng
- Satu Malam di PJ – Haffez Amin / Codils Media & Rights Eye Army Legacy
- She Is Coming – Goh Cheng How
Apa Kata Budiey?
Sebagai seorang yang aktif dalam liputan acara hiburan dan kandungan digital sejak 2007, Budiey melihat inisiatif seperti Pertandingan Drama Mikro ToYm ini bukan sekadar acara — tapi satu landskap baharu untuk pencipta cerita di Malaysia.
Dalam era di mana pengguna lebih cenderung menonton kandungan 1 minit berbanding 1 jam, drama mikro adalah solusi pintar dan masa depan hiburan Asia. ToYm berada pada kedudukan strategik untuk memimpin gelombang ini — dengan dana, visi dan tenaga kreatif yang segar.
Budiey menyeru agar lebih banyak pihak korporat, agensi kerajaan dan OTT platform tampil menyokong gerakan ini. Kerana dari skrip kecil dan pendek, kita sedang menanam benih untuk karya-karya besar masa depan.
Ini bukan pengakhiran, ini permulaan kepada satu revolusi kandungan Malaysia.