Dalam satu malam yang penuh makna dan simbolik untuk dunia keusahawanan tempatan, pelakon dan usahawan, Reen Rahim, sekali lagi mencipta sejarah peribadi apabila menerima Anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025. Majlis yang diadakan sempena Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025, menyaksikan bintang drama dan filem ini berdiri bangga bersama suaminya, Hazim Zainal, sebagai wajah kejayaan dan ketekalan dalam dunia perniagaan.
Menurut Reen, pengiktirafan ini bukan hanya tentang trofi, tetapi lebih kepada semangat yang dihidupkan semula, sebuah suntikan motivasi agar mereka tidak berhenti berjuang dalam membangunkan produk penjagaan diri mereka, iaitu Reen Rahim Hygiene Wash.
“Kami berharap kejayaan kami membangunkan perniagaan ini memberi inspirasi kepada mereka yang sedang berusaha membangunkan jenama sendiri,”
– Reen Rahi
Reen Rahim Bangkit Dari Bawah Dengan Usaha Tanpa Jemu
Apa yang menjadikan kejayaan Reen dan Hazim luar biasa adalah permulaan mereka yang serba sederhana. Tanpa warisan syarikat besar atau latar belakang bisnes yang kukuh, mereka memilih untuk turun padang sendiri, mengasah strategi, membentuk produk dan membina kepercayaan pelanggan – satu langkah demi satu langkah.
“Kami sangat terharu dan bersyukur apabila terpilih menerima anugerah yang cukup berprestij ini. Trofi ini ibarat penguat semangat dan batu loncatan untuk kami tidak berputus asa dalam membantu masyarakat menerusi Reen Rahim Hygiene Wash,” kata Reen dengan nada yang penuh ikhlas.
Tambahnya lagi, mereka berdua berharap agar kisah perjalanan ini memberi impak kepada orang lain yang masih sedang berusaha mengejar impian. Reen juga menyeru agar orang ramai terus percaya dengan mimpi sendiri walau kelihatan jauh dan mustahil.
“Saya tidak pandai bagi nasihat tetapi, tiada yang mustahil dalam hidup selagi kita berusaha dan berdoa kepada Tuhan. Jangan pernah abaikan impian anda. Teruskan bermimpi dan berdoa supaya dimakbulkan,”katanya lagi.
Dua Anugerah Dalam Satu Malam, Karier Reen Terus Bersinar
Bukan sekadar di arena perniagaan, karier seni Reen juga turut mendapat pengiktirafan. Pada malam yang sama, Reen turut menerima Anugerah Aktres Paling Dikagumi Malaysia 2025, sebuah penghargaan yang cukup bermakna selepas lebih 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
Anugerah ini sekaligus membuktikan bahawa Reen bukan hanya ikon keusahawanan baharu, tetapi juga masih kukuh sebagai pelakon berbakat besar, yang kekal relevan dan dikagumi ramai.
Hazim Zainal Kongsi Rahsia Kejayaan, Siap Seloroh Lagi
Dalam nada bersahaja, suami Reen, Hazim Zainal turut meluahkan perasaan gembira dan syukur atas pencapaian mereka. Walaupun mengakui mereka masih “kerdil” dalam dunia perniagaan, Hazim percaya restu ibu bapa dan reda Tuhan jadi penentu utama keberkatan rezeki.
“Kami ini kerdil dalam dunia perniagaan tetapi dengan restu dan doa ibu bapa, akhirnya perniagaan kami membuahkan hasil. Tanpa mereka, tanpa reda Allah, kami mungkin telah berputus asa,” kata Hazim yang jelas amat merendah diri.
Namun, beliau sempat menyelitkan sedikit jenaka yang mencuit hati ketika ditanya rahsia kejayaan mereka.
“Kalau ada yang tanya apa tips kejayaan, jangan lawan cakap isteri,” selorohnya sambil ketawa kecil.
Hadir Dengan Penuh Bergaya Di Malam Anugerah Berprestij
Reen dan Hazim turut berkongsi momen indah mereka ketika menghadiri majlis tersebut, yang dianjurkan oleh NiagaTimes buat kali kesembilan. Mereka tampil serasi, bergaya dan penuh keyakinan – simbol kepada pasangan yang bukan sahaja kuat di rumah, tetapi juga kuat di pentas bisnes.
Untuk makluman, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2022, dan sejak itu telah mula mengukir nama bersama sebagai usahawan berjaya yang tidak bergantung pada populariti semata-mata, tetapi menggerakkan jenama dengan ilmu dan semangat.
Apa Kata Budiey?
Melihat kepada kisah kejayaan Reen Rahim dan suaminya, Budiey merasakan inilah contoh pasangan selebriti yang bukan hanya glamour semata-mata, tetapi ada “substance” dalam perjuangan mereka. Mereka membina jenama dari akar umbi, bukan hasil ‘short cut’ atau populariti semata. Inilah nilai yang patut diserap oleh usahawan muda – jangan takut untuk bermula kecil, asalkan niat betul, ilmu cukup dan usaha konsisten.
Budiey juga tertarik dengan kerendahan hati Hazim dan cara Reen menyuntik harapan kepada orang lain, bukannya sekadar berbangga dengan pencapaian. Ini yang membezakan seorang usahawan dengan ikon sebenar. Jadi buat korang yang tengah struggle nak mulakan bisnes, tengok kisah Reen ni – bermula dari bawah, tapi sentiasa percaya pada kuasa mimpi dan usaha yang berterusan.