Selepas lebih sedekad lamanya penantian, peminat teknologi akhirnya boleh menarik nafas lega kerana Instagram versi iPad kini sedang dibangunkan secara agresif oleh Meta. Walaupun aplikasi WhatsApp untuk iPad baru sahaja dilancarkan secara rasmi — setelah bertahun-tahun diminta pengguna — kini tiba giliran Instagram untuk tampil dengan versi yang benar-benar mesra tablet.
Menurut laporan terkini oleh Mark Gurman dari Bloomberg dalam naskhah terbaharunya melalui Power On, beliau menyatakan bahawa:
“Saya diberitahu bahawa pekerja Meta kini aktif menguji Instagram untuk iPad dan pembangunan sedang berjalan sepenuhnya. Saya menjangkakan ia akan dilancarkan pada tahun ini jika semuanya berjalan lancar.”
Ini merupakan berita yang cukup dinanti-nantikan, terutamanya oleh pengguna iPad yang selama ini terpaksa menggunakan aplikasi Instagram versi iPhone yang sekadar diperbesarkan. Ia bukan sahaja tidak selesa, malah kelihatan seperti penyelesaian sementara yang terlalu lama tertangguh.
Kenapa Meta Ambil Masa Selama Ini? Adakah Ini Drama Teknologi Antara Gergasi?
Bukan sedikit yang mempersoalkan kenapa Instagram masih belum wujud secara rasmi dalam versi iPad, sedangkan aplikasi itu dimiliki oleh syarikat teknologi gergasi dan telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan pengguna iPhone.
Teori popular menyebut: ia adalah disebabkan sengketa ‘dendam teknologi’ antara Mark Zuckerberg dan Tim Cook. Ya, ini bukan sekadar soal teknikal semata-mata. Ia dipercayai berkait rapat dengan ketegangan lama antara dua pemimpin syarikat teknologi terbesar dunia.
Antara detik penting yang dikatakan mencetuskan perbalahan ini ialah apabila Tim Cook pernah menyindir Meta secara terang-terangan, apabila ditanya mengenai skandal privasi Cambridge Analytica. Jawapan Cook:
“Saya takkan berada dalam situasi seperti itu.”
Kenyataan pedas ini dikatakan menyentuh ego Zuckerberg, lalu mengeruhkan lagi hubungan antara Apple dan Meta. Tambahan pula, isu berkaitan aplikasi Onavo yang menyebabkan Meta digantung secara terbuka dari program pembangun Apple juga menambah lagi bara dalam api.
Namun begitu, keengganan Meta untuk menyediakan versi iPad bagi Instagram tetap dianggap pelik. Ini kerana Instagram sangat sesuai digunakan di skrin besar, untuk menonton kandungan visual, video dan menjelajah tanpa gangguan.
Tekanan Semasa Dan Persaingan TikTok Mungkin Ubah Segalanya
Menurut Gurman, antara sebab teknikal utama aplikasi iPad sebelum ini ditangguh adalah kerana isu resolusi gambar yang rendah, yang kelihatan lebih jelas dan ketara pada paparan bersaiz besar seperti iPad.
Tetapi kini, landskap penggunaan Instagram telah banyak berubah. Kandungan yang dikongsikan pengguna hari ini bukan lagi hanya gambar segi empat. Sebaliknya, terdapat video berskrin lebar, kandungan beresolusi tinggi, serta siaran langsung jangka panjang. Semuanya lebih nikmat ditonton di skrin besar — satu ruang yang kini diterajui oleh pesaing mereka iaitu TikTok.
Ya, TikTok sudah lama tersedia di iPad, dan terus mendominasi perhatian pengguna, terutama Gen Z. Meta, yang sebelum ini mengharapkan TikTok akan kecundang di mahkamah melalui sekatan perundangan, kini nampaknya terpaksa menerima hakikat bahawa pesaing mereka itu masih terus bernafas dan mengaut trafik besar-besaran di kalangan pengguna tablet.
Dengan pertumbuhan jumlah pengguna iPad yang semakin besar, dan revenue stream Meta yang semakin tersekat, adalah logik untuk Meta bertindak segera. Apa pun alasan mereka sebelum ini — sama ada teknikal atau ego — ia tak lagi relevan. Pasaran bergerak pantas dan siapa lambat, pasti kecundang.
Apa Kata Budiey?
Sebagai seorang pengguna setia iPad dan pencinta aplikasi visual seperti Instagram, Budi percaya pelancaran rasmi Instagram untuk iPad akan menjadi satu game changer buat pengguna tablet di seluruh dunia. Selama ini, kita sekadar bergantung pada aplikasi versi iPhone yang tidak langsung memberikan pengalaman yang imersif dan selesa.
Budi juga melihat langkah ini sebagai satu pengakuan penting dari Meta bahawa mereka tidak boleh lagi bergantung pada strategi lama dan perlu lebih terbuka dalam membina semula kepercayaan serta sokongan pengguna.
Terlambat atau tidak, sekurang-kurangnya mereka masih sempat. Tapi harapnya kali ini bukan sekadar khabar angin — dan kita dapat melihat Instagram untuk iPad dilancarkan secara rasmi sebelum hujung tahun ini. Jangan sampai TikTok curi semua perhatian baru nak sedar, ya Meta?