Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) kembali dengan kelainan luar biasa tahun ini apabila memperkenalkan sebuah galeri eksklusif yang dinamakan Galeri Teroka Digital Immersif dan Eksploratif, anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
Galeri ini menjadi tumpuan utama bukan sahaja kerana keunikannya yang memadukan elemen digital dan interaktif, tetapi juga kerana peranannya yang besar dalam mengangkat sejarah, seni dan warisan perbukuan tanah air ke peringkat yang lebih moden dan mesra generasi muda.
Galeri ini merupakan satu penghormatan kepada warisan penulisan negara dengan memaparkan koleksi karya-karya ikonik daripada penulis tempatan — daripada zaman klasik sehinggalah ke karya kontemporari. Jadi dengan adanya galeri semacam ini, pengunjung dapat melihat sendiri bagaimana sejarah perbukuan negara bermula.
Ninot Aziz Sebagai Kurator: Satu Peranan Yang Sarat Makna Dan Tanggungjawab
Galeri ini dikurasi oleh Ninot Aziz, seorang tokoh penting dalam dunia kesusasteraan tanah air yang juga merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara (Persalina).
Budiey sempat menemubual Ninot Aziz pada hari Sabtu lalu sebelum berlangsungnya acara Perluncuran Buku Antologi Penglipur Lara ~ Cerita Rakyat Asia Tenggara.
Semasa ditemubual, Ninot Aziz penuh semangat berkata, “Saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) untuk menjadi kurator kepada galeri ini. Galeri ini membawa sejarah dan warisan industri buku kita daripada zaman manuskrip lama hinggalah ke bulan!”
Ninot menjelaskan bahawa galeri ini memperlihatkan keilmuan, kesusasteraan dan pemikiran tinggi yang tersimpan dalam masyarakat kita bermula dari zaman manuskrip lama. Dengan pendekatan visual yang lebih moden, ia dapat memperkenalkan khazanah ini kepada anak-anak muda dan keluarga dengan cara yang lebih menarik dan bermakna.
Ketika ditemubual, Ninot turut berkongsi bahawa antara perkara paling istimewa dalam galeri ini ialah rekaan naratif dan visual yang membawa pengunjung mengembara secara emosi, dari naskhah kuno yang ditulis tangan sehinggalah ke zaman digital.
Beliau menyebut, “Kita ingin anak-anak muda bukan sekadar melihat, tetapi benar-benar merasai kehebatan manuskrip warisan kita. Ini bukan lagi tentang membaca sejarah, tapi mengalami sejarah itu sendiri.”
Beliau turut menjelaskan bahawa proses kurasi bukan hanya melibatkan pemilihan bahan, tetapi juga membentuk cerita kolektif yang mencerminkan jiwa bangsa dan aspirasi serantau. “Apa yang kita paparkan bukan hanya koleksi statik, tapi naratif hidup yang membuktikan dunia perbukuan kita masih dinamik dan kaya,” katanya dengan penuh yakin.
Lunar Kodeks: Arkib Karya Sastera Yang Dibawa Ke Bulan
Salah satu tarikan utama di Galeri Teroka ini ialah pameran berkenaan Lunar Kodeks, iaitu sebuah projek global yang melibatkan lebih 250,000 karya daripada seluruh dunia, termasuk 50,000 penulis, pelukis dan pembuat filem. Menurut Ninot, arkib ini dibawa ke bulan melalui lapan misi Lunar Module dan menjadi simbol kejayaan pengkarya di peringkat dunia.
Daripada Asia Tenggara sahaja, terdapat penyertaan daripada semua negara Asia Tenggara Malaysia, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Thailand. Nama-nama penulis dan pengkarya dari rantau ini turut dipamerkan, menjadikan galeri ini bukan sahaja pameran tempatan, malah lambang kerjasama serantau dalam industri buku.
Ninot turut menambah bahawa pencapaian ini sebenarnya adalah satu manifestasi kuasa budaya Asia Tenggara yang kini mula mendapat tempat di arena global. “Kita bukan lagi penonton kepada kejayaan budaya luar. Kini, kita juga pemain utama dalam naratif dunia,” ujar Ninot yang jelas bangga dengan pencapaian ini.
Sambutan Luar Biasa Dan Penganjuran Paling Besar Dalam Sejarah PBAKL
PBAKL 2025 berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun dengan skala penganjuran terbesar setakat ini, melibatkan 1,172 reruai, termasuk 28 pempamer antarabangsa dari ASEAN, Iran, United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu. Kerana sambutan hangat, penganjur terpaksa menambah pavilion khas di tingkat empat dan memasang marquee tent di luar bangunan WTC Kuala Lumpur.
Tema tahun ini, “Buku: Membaca, Memimpin”, membawa mesej yang kuat tentang pembudayaan ilmu dan pembentukan kepimpinan melalui literasi. Penganjuran ini juga menjadi lebih istimewa apabila Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025, dengan segmen khas memfokuskan kepada kerjasama perbukuan serantau.
Kerjasama Hebat Dan Semangat Dalam Masa Yang Singkat
Apa yang lebih mengagumkan, menurut Ninot Aziz, adalah usaha galeri ini berjaya direalisasikan dalam masa hanya empat minggu. “Alhamdulillah, bila nak jadi, Allah mudahkan. Kita mendapat kerjasama hebat daripada MBKM, DBP, PNM dan Kota Buku. Tidak lupa dedikasi pasukan content creator diketuai oleh Jamalee Bashah dan Darwisy, Ilustrator Walid Muhammad dan editor, Dr Nasirin Abdillah. Kita tak fikir panjang. Kita fikir untuk menjadikan ini sesuatu yang berjaya,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa tanpa semangat kolaboratif yang tinggi, projek ini mungkin sukar menjadi realiti. “Apa yang saya nampak ialah roh kebersamaan antara institusi, pengkarya dan penyokong budaya. Kita semua bergerak dalam satu misi — menyuntik semula kebanggaan terhadap budaya buku kita.”
Walaupun mengakui terdapat banyak cabaran dari segi proses, beliau percaya bahawa reaksi positif daripada pengunjung membuktikan bahawa usaha ini sangat berbaloi. “Anak-anak muda, keluarga… mereka bangga dengan apa yang dipamerkan di sini. Ini tempat untuk mereka refleksi, nikmati dan rasa bangga,” katanya penuh yakin.
Apa Kata Budiey?
Budiey melihat pengenalan Galeri Teroka Digital Immersif dan Eksploratif ini sebagai satu langkah progresif dalam menjadikan dunia buku lebih inklusif, hidup dan relevan. Ia bukan sekadar pameran, tetapi pengalaman budaya yang menyentuh jiwa. Dalam dunia yang serba digital ini, pendekatan yang menggabungkan visual moden dan warisan klasik adalah strategi yang bijak untuk mendekatkan generasi muda kepada sejarah perbukuan negara. Tambahan pula, usaha mengangkat penulis serantau ke peringkat global melalui projek Lunar Kodeks memperlihatkan bahawa kita sedang berada di ambang gelombang baharu kesusasteraan Asia Tenggara. Semoga inisiatif sebegini dapat diteruskan dan dikembangkan ke pesta-pesta buku lain di seluruh Malaysia.