Suria FM sekali lagi melakar sejarah baharu apabila mengumumkan penyertaan Muhammad Irsyad Bin Tarudin, atau lebih mesra dikenali sebagai Irsyad, sebagai penyampai rasmi untuk segmen malam terbaharu, Kafe Suria. Irsyad akan memulakan tugas rasmi beliau pada Isnin, 19 Mei 2025, dan akan menemani pendengar setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam.
Segmen Kafe Suria direka khusus untuk mencipta suasana santai dan mesra seperti berada di sebuah kafe moden. Dalam peranan unik sebagai ‘barista maya’, Irsyad bukan sekadar menyampaikan lagu, tetapi hadir sebagai teman bual malam yang menyambut dengan penuh ramah, mendengar dengan penuh empati, dan menyajikan kombinasi lagu-lagu popular dari pelbagai genre.
Apa yang membezakan Kafe Suria adalah pendekatannya yang lebih dekat dengan jiwa anak muda masa kini. Kandungannya penuh dengan isu viral, perbincangan budaya pop, kisah harian dan topik kerjaya — semua ini dibincangkan dalam nada santai, segar dan penuh keikhlasan. Ia adalah pilihan tepat buat mereka yang ingin meleraikan tekanan selepas seharian bekerja, belajar, atau sekadar mahu ditemani suara penyampai yang memahami isi hati.
Irsyad Bukan Calang-Calang Orang, Latar Akademiknya Memang Hebat!
Irsyad bukan hanya berbakat dalam bidang penyiaran, tetapi juga seorang yang berpendidikan tinggi dan aktif dalam dunia akademik. Beliau mendapat pendidikan awal di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dalam bidang Asasi Sains.
Seterusnya, beliau menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Agroteknologi) dalam bidang Akuakultur dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains (Master) dalam Akuakultur di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sepanjang tempoh pengajiannya, Irsyad aktif dalam pembentangan akademik, dan kerap dijemput menjadi hos pelbagai acara, membuktikan kebolehannya bukan hanya di bilik darjah tetapi juga di pentas dunia sebenar.
Tak Gentar Ganti DJ Lin – Irsyad Hormati Legasi, Bawa Kelainan Segar
Segmen Suria Cinta yang sebelum ini dikendalikan oleh DJ Lin, kini akan bersiaran setiap Sabtu dan Ahad dari jam 8.00 malam hingga 1.00 pagi. Ini membuka laluan untuk Irsyad mengambil alih waktu malam pada hari biasa menerusi Kafe Suria. Apabila ditanya tentang tugas besar ini, Irsyad tidak memandangnya sebagai tekanan, malah melihatnya sebagai satu peluang emas.
Kata Irsyad, “Saya tidak datang untuk mengubah suasana yang telah terbina, sebaliknya menghormati legasi itu sambil membawa elemen baharu yang lebih segar dan sesuai dengan selera generasi muda.” Tambahnya lagi, beliau yakin dengan hala tuju Suria FM dan melihat Kafe Suria sebagai ruang yang membolehkan pendengar mendekati dunia radio dalam cara yang lebih inklusif, relaks dan terkini.
DJ Lin Puji Irsyad, Kafe Suria Dijangka Jadi Ruang Komuniti Baharu Pendengar Setia
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Irsyad. Katanya, “Dengan kehadiran Irsyad sebagai penyampai baharu, kami yakin beliau mampu membawa pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan jiwa pendengar. Kafe Suria bukan hanya menghiburkan, malah mewujudkan suasana santai selepas penat bekerja dan membina komuniti pendengar yang aktif dan setia.”
DJ Lin turut menegaskan bahawa lagu-lagu jiwang dan nostalgia era 90-an yang menjadi identiti segmen malam akan terus dipertahankan untuk menggembirakan peminat Suria Cinta yang setia.
Empat Segmen Dalam Kafe Suria, Setiap Malam Ada Kejutan Menarik!
Untuk memeriahkan lagi suasana malam, Kafe Suria menawarkan empat segmen utama setiap malam:
NTT (Nak Tahu Tak?) – 8.00 malam
Sorotan topik viral, makanan trending, gajet baharu dan cerita semasa untuk membuka malam dengan mood santai dan berinformasi.
ON SET – 9.00 malam
Kupasan tentang dunia hiburan termasuk filem, drama dan siri menarik, lengkap dengan trivia dan fakta yang jarang diketahui.
KOLPI (Call & Kopi) – 10.00 malam
Segmen interaktif di mana pendengar boleh telefon atau WhatsApp Irsyad untuk berbual, hantar ucapan atau sekadar meluahkan rasa hati.
LAST (Lagu Sebelum Tidur) – 11.00 malam
Waktu untuk tenangkan fikiran sebelum tidur. Pendengar boleh minta lagu cinta, galau, atau lagu-lagu yang menggamit memori untuk dimainkan khas buat mereka.
Apa Kata Budiey?
Kemasukan Irsyad ke Suria FM dengan konsep segmen Kafe Suria adalah satu langkah strategik dan segar untuk menambat hati generasi muda yang mahukan hiburan yang realistik, relevan dan bersahaja. Irsyad bukan hanya hadir dengan suara yang lunak, tapi dengan pengalaman, latar pendidikan kukuh dan sikap rendah diri yang menyenangkan.
Budiey percaya Kafe Suria akan menjadi pilihan utama pendengar malam, bukan sekadar untuk hiburan, tetapi juga untuk mendapatkan semangat, informasi dan sokongan emosi dari komuniti radio yang memahami. Untuk Irsyad, ini bukan sekadar pekerjaan, tapi sebuah panggilan jiwa – dan untuk kita sebagai pendengar, ini adalah peluang untuk menemui suara baru yang mampu menemani malam dengan lebih bermakna.
Jadi, jangan lupa temujanji anda bermula Isnin ini, 19 Mei 2025, jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, hanya di Suria FM. Nak tahu lebih lanjut? Layari www.suria.my dan ikuti semua saluran media sosial rasmi Suria Malaysia.