in ,

Siti Halijah Tampil Dengan ‘Sila-Sila Ke Melaka’ Promosi Pelancongan

Lagu Baharu Ini Dicipta Dengan Jiwa Cinta Negeri, Sarat Dengan Warisan Dan Semangat Melaka Yang Membara

Dalam usaha menyemarakkan semula semangat pelancongan tempatan, penyanyi Melaka, Siti Halijah tampil dengan sebuah buah tangan istimewa berjudul “Sila-Sila Ke Melaka”, sebuah lagu yang cukup meriah dan kaya dengan unsur budaya serta sejarah negeri bersejarah itu. Lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi satu bentuk penghargaan kepada bandaraya warisan dunia, Melaka, yang kaya dengan identiti pelbagai budaya, kisah lagenda, dan nilai sejarah yang tidak lapuk dek zaman.

Lebih menarik, lagu ini turut menjadi simbol langkah berani Siti Halijah dalam mengorak langkah baharu dalam karier seninya apabila rilis rasmi lagu ini dibuat secara digital, sempena menyambut Tahun Melawat Malaysia 2025 yang akan dilancarkan di Melaka pada bulan September akan datang.

Di Sebalik Lagu: Dari Pentas Pertandingan Ke Pasaran Digital

Untuk yang belum kenal, Siti Halijah bukanlah nama asing dalam dunia seni suara di Melaka. Beliau merupakan bekas ahli kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan pernah mencipta nama melalui Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia pada tahun 2011. Dalam pertandingan tersebut, lagu “Sila-Sila Ke Melaka” telah dipersembahkan dan berjaya merangkul gelaran juara serta memenangi Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia.

Kejayaan tersebut mencetuskan idea untuk merakam dan menerbitkan lagu ini secara rasmi. Tambah menarik, lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Anwar Jaapar atau lebih dikenali sebagai Cik Mai, yang juga merupakan anak jati Melaka.

Siti Halijah Tampil Dengan 'Sila-Sila Ke Melaka' Promosi Pelancongan Melaka

Susunan Muzik Segar Dengan Semangat Tradisi

Menurut Siti Halijah, lagu ini diberi nafas baharu dengan susunan muzik lebih segar dan kontemporari oleh komposer berbakat, Amy Bong. Liriknya pula diperkaya dengan tema Melaka yang sarat nilai sejarah, seperti frasa ikonik “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”. Ia merupakan satu metafora yang cukup kuat menggambarkan semangat dan jiwa warga Melaka yang dikenali dengan kepintaran dan keberanian mereka.

Lagu ini mempunyai mesej tentang bandaraya Melaka sebagai pusat warisan dunia, yang diiktiraf oleh UNESCO. Ia merupakan simbol warisan budaya dan daya tarikan utama negara kita kepada dunia luar,” jelas Siti Halijah lagi.

Promosi Pelancongan Melaka Melalui Irama Dan Lirik

Secara tidak langsung, penerbitan lagu ini menjadi satu lagi bentuk promosi kreatif untuk mempopularkan Melaka sebagai destinasi pelancongan. Lagu ini diharap dapat menyemarakkan semangat melancong dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus merangsang ekonomi pelancongan negeri.

Lagu ini juga dilihat seiring dengan usaha kerajaan negeri dan kementerian pelancongan untuk menjadikan muzik sebagai medium penyampaian naratif budaya dan sejarah yang lebih dekat di hati rakyat dan pelancong.

Terbitan Luncai Emas Dengan Sokongan Penuh Digital

Luncai Emas, sebuah label muzik yang cukup terkenal dengan terbitan muzik berunsur tradisi dan warisan, bertindak sebagai penerbit serta pengedar rasmi digital lagu dan lirik ini. Versi audio lagu kini boleh distrim melalui semua saluran digital utama, manakala video muzik rasmi “Sila-Sila Ke Melaka” telah dimuat naik di saluran YouTube rasmi Luncai Emas.

Dengan langkah ini, Siti Halijah tidak sekadar menyanyi untuk halwa telinga semata-mata, tetapi turut mengangkat martabat seni suara tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Lirik Lagu: Kaya Dengan Simbolik Sejarah Dan Kebanggaan Negeri

Lirik lagu ini tidak hanya bersifat santai dan menghiburkan, malah disulami dengan bahasa puitis yang menggambarkan keunikan Melaka:

“Bijaknya Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat
Tinggalan sejarah yang silam, memberi kesan yang mendalam”

Chorus lagu ini yang berbunyi:

“Sila sila ke Melaka, Bandaraya Warisan Dunia
Sila sila ke Melaka, Di sini semua bermula…”

…jelas menyuntik semangat untuk menjejakkan kaki ke bumi bersejarah ini.

Apa Kata Budiey?

Sebagai seorang pencinta seni dan pengkaji budaya pop tempatan, Budiey melihat lagu ini sebagai satu langkah berani dan penuh makna. Dalam kesibukan lagu-lagu urban yang sering mendominasi carta, “Sila-Sila Ke Melaka” muncul sebagai nafas segar — satu bentuk muzik patriotik yang mesra telinga dan sesuai dipasarkan kepada semua peringkat umur.

Budiey berpendapat, inisiatif seperti ini wajar diperluaskan, bukan sahaja untuk mempromosikan pelancongan, tetapi juga memelihara warisan muzik dan budaya yang semakin dilupakan. Kalau lebih banyak negeri berani menghasilkan lagu tema seperti ini, pasti industri pelancongan dan muzik tanah air akan lebih bersinar.

Jadi, kalau korang belum dengar lagu ni, silakan ke YouTube dan platform digital kegemaran korang. Dengar sendiri betapa indahnya Melaka diceritakan melalui lirik dan melodi. Mana lagi? Melaka ler!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Malam Gala Tayangan Perdana Filem Ejen Ali 2 di GSC IOI Putrajaya